Pendidikan sepatutnya bertindak lebih daripada sebagai pengisian intelek kerana pendidikan emosi dan sosial juga merupakan keperluan untuk pembentukan sahsiah murni agar kanak-kanak membesar menjadi manusia yang berbudi bahasa dan berempati kepada satu sama lain.
Literasi atau keupayaan sosial dan emosi merupakan antara aspek penting pendidikan yang tidak patut disisihkan. Dalam zaman gajet dan media sosial ini, kebanyakan kanak-kanak mempunyai literasi atau kecelikan digital pada usia yang sangat muda tetapi bukan semuanya mempunyai literasi sosial dan emosi.
Ditambah pula jika ibu bapa sendiri ralit dengan pekerjaan dan gajet masing-masing, kekurangan interaksi yang mendidik di rumah dan ketiadaaan pengisian di sekolah membentuk anak-anak yang buta sosial dan emosi. Kes buli di sekolah merupakan salah satu tanda kebutaan sosial dan emosi.
Roots of Empathy: program literasi sosial dan emosi
Roots of Empathy, yang bermaksud Akar Empati ialah program literasi sosial dan emosi yang dimulakan pada tahun 1996 di Canada dan kini diamalkan di pelbagai negara. Bertujuan untuk membina masyarakat yang lebih damai dan penyayang dengan meningkatkan tahap empati pada kanak-kanak, program ini menggunakan bayi sebagai medium untuk membicarakan tentang perasaan dan subjek lain yang sering kali diabaikan dalam kaedah pembelajaran biasa.
Program ini melibatkan bayi yang dibawa ke dalam bilik darjah setiap tiga minggu sekali. Seorang pelatih akan melatih murid dalam kelas untuk memerhatikan perkembangan bayi dan menentukan perasaannya. Bayi bertindak sebagai ‘guru’ dalam pembelajaran ini, sementara pelatih membantu murid mengenal pasti perasaan yang ditunjukkan bayi serta merenungkan perasaan mereka sendiri dan perasaan orang lain.
Dengan cara ini, murid-murid yang terlibat belajar mengenai perasaan dan menjadi lebih sensitif terhadap perasaan orang lain, atau lebih berempati. Program ini melibatkan kanak-kanak daripada 5 hingga 13 tahun. Kajian mendapati kanak-kanak yang didedahkan kepada program literasi sosial dan emosi seperti ini mengurangkan sikap agresif dan budaya membuli dalam kalangan pelajar sekolah.