backup og meta

Perkembangan Bayi Ketika Berumur 3 Tahun

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/03/2021

    Perkembangan Bayi Ketika Berumur 3 Tahun

    Setiap pasangan ibu bapa sudah pasti sangat ternanti-nanti dan tertanya-tanya berkenaan perkembangan bayi mereka. Segala perkembangan dari saat lahir sehingga masuk usia kanak-kanak, ibu bapa semestinya sangat peka dan teruja melihat anak mereka membesar.

    Apabila anak mula mencecah umur 3 tahun, pelbagai perubahan dalam perkembangan bayi akan berlaku pada si comel anda. Ingin mengetahui mengenai perkembangan bayi berumur 3 tahun dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

    Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa perkembangan yang ditunjukkan oleh bayi berumur 3 tahun ini mungkin adalah bayangan atau gambaran tentang dirinya pada masa akan datang. Perkembangan ini pula dipengaruhi oleh ibu bapa, kawan-kawan dan individu di sekeliling mereka. Jadi, sebagai ibu bapa anda sendiri perlu menjadi ‘role model’ yang baik untuk anak kesayangan anda.

    Perkembangan bayi berumur 3 tahun

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Profesor Stella Chess dan Alexander Thomas dari New York University School of Medicine, terdapat 9 perkembangan bayi berumur 3 tahun, iaitu:

    #1. Fokus bayi semakin bagus

    Pertama sekali, anda mungkin akan perasan bahawa fokus mereka akan menjadi semakin bagus. Ia boleh dilihat melalui aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan seharian seperti bermain, makan dan minum, menonton televisyen atau mendengar radio. Anda akan dapati bahawa mereka lebih fokus melakukan tiap-tiap perkara.

    #2. Respon bayi mula berubah

    Bayi anda mungkin akan berubah dari segi respon mereka. Cuba panggil atau sahut mereka dari jauh dan perhatikan responnya, anda pasti dapat melihat bahawa mereka akan lebih mudah memberikan respon kepada anda. Ini semua disebabkan oleh fungsi sensori mereka yang kian berfungsi dengan lebih baik seiring perjalanan usia.

    #3. Reaksi bayi lebih mendalam

    Selain respon, reaksi anak anda juga akan mula berubah. Anda boleh lihatnya dengan memerhatikan bagaimana anak anda mengekspresikan emosi mereka terhadap setiap situasi yang berbeza. Reaksi yang lebih mendalam ini menunjukkan anak anda sudah semakin faham dengan emosi mereka sendiri.

    #4. Ketahanan mental bayi lebih kuat

    Disebabkan emosi mereka mula berkembang dan berfungsi dengan lebih baik, ketahanan mental bayi juga akan menjadi lebih kuat. Anda boleh cuba beri halangan atau cabaran untuk dia sebelum memperolehi sesuatu seperti suruh mereka senyap sebelum menonton rancangan televisyen kegemaran mereka. Sudah pasti mereka boleh melakukannya.

    #5. Bayi mula memahami tentang penyesuaian

    Ibu bapa boleh memerhatikan ini melalui penglibatan perubahan yang berlaku dalam hidup mereka. Mungkin dahulu bayi anda asyik menangis sahaja apabila berhadapan dengan sebarang perubahan, perhatikan ketika mereka berumur 3 tahun kelak. Mereka mungkin lebih bijak dan cepat menyesuaikan diri.

    #6. Bayi mula mendekati atau menjauhi sesuatu

    Jika dahulu bayi anda sangat gemar dengan patung lembut, mungkin sekarang tidak lagi. Ini ekoran perkembangan yang berlaku pada mental dan fizikal mereka. Disebabkan itu juga, mereka cenderung untuk mula mendekati sesuatu perkara yang baharu seperti bermain di luar rumah bersama individu yang dirasakan sebagai kawan-kawan mereka.

    #7. Tahap aktiviti bayi meningkat

    Seiring dengan perkembangan mental dan fizikal mereka, aktiviti bayi anda juga akan mula meningkat. Ini melibatkan tahap tenaga, semangat dan aktiviti motor am mereka yang sudah berfungsi dengan lebih baik. Disebabkan itu, mereka akan menjadi lebih aktif dan sangat gemar bermain.

    #8. Pusingan perkembangan bayi lebih tetap

    Selain mental, fizikal bayi yang berumur 3 tahun juga akan mula menunjukkan perubahan atau perkembangan. Anda boleh lihat kitaran makan dan minum mereka akan mula berubah. Selain itu, kitaran bayi anda untuk tidur, membuang air dan fungsi tubuh badan mereka yang lain juga akan berubah menjadi lebih tetap dan berkala.

    #9. Kualiti mood bayi

    Akhir sekali, anda boleh perhatikan mood mereka. Ketika ini, mood mereka akan mudah berubah-ubah. Seketika mereka akan jadi ceria, dan pada masa yang lain pula serius atau lurus. Perubahan pada mood mereka ini mempunyai kaitannya dengan perkembangan emosi mereka yang kian mengadaptasi persekitaran mereka dengan lebih baik.

    Menurut kajian lagi, kesemua 9 perkembangan ini akan ada pada bayi anda yang berumur 3 tahun. Pun begitu, yang membezakannya daripada tiap-tiap bayi yang lain adalah tahap setiap perkembangan ini. Berdasarkan biologi, perkembangan ini boleh berubah mengikut masa. Terdapat beberapa faktor yang mampu mempengaruhi perubahan perkembangan ini antaranya adalah rumah, sekolah dan juga cara didikan ibu bapa mereka.

    perkembangan bayi

    Faktor yang mempengaruhi perkembangan bayi

    Secara umumnya, faktor-faktor ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu:

  • Bayi yang ‘senang’

  • Mereka ini tidak banyak buat perangai dan mempunyai rutin seharian seperti makan, minum dan tidur yang tetap. Selain itu juga, mereka sangat mudah menyesuaikan diri dalam apa-apa keadaan sekalipun dengan baik. Pun begitu, mereka mungkin sudah terlalu selesa dengan rutin yang tetap itu dan tidak suka dengan gangguan terhadapnya. Oleh itu, ibu bapa perlu bimbing mereka dengan menetapkan jadual yang tetap sahaja.

    • Bayi yang ‘susah’

    Berbeza dengan bayi yang ‘senang’, mereka ini sangat tidak teratur. Rutin seharian mereka seperti makan, minum dan tidur sudah pasti tidak tetap dan sesuka hati sahaja. Mereka juga tidak mahu sebarang peraturan yang tetap dan jika dipaksa, akan mula membuat perangan. Jadi, ibu bapa tidak boleh memaksa mereka untuk mengikut kata-kata anda. Sebaliknya, bersabar kerana mereka memerlukan lebih perhatian daripada anda.

    • Bayi yang tidak boleh menyesuaikan diri

    Mereka ini pula adalah gabungan kedua-duanya. Rutin seharian mereka mungkin tetap dan teratur tetapi juga tidak boleh mengikut sebarang peraturan baharu. Jika anda memaksanya, mereka akan mula protes dan mendiamkan diri sahaja. Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah kerap dedahkan mereka kepada banyak situasi sosial yang baharu untuk melatih mereka untuk menjadi lebih terbuka.

    Pun begitu, ini hanyalah gambaran dan pandangan sahaja. Anda sebagai ibu bapa mereka sudah pasti lebih mengenali dan mengetahui setiap perkembangan bayi anda. Apa yang paling penting sebenarnya, anda meletakkan sepenuhnya perasaan kasih sayang dan tanggungjawab semasa mendidik mereka untuk mereka membesar menjadi individu yang baik kelak.

    Sebagai ibu bapa juga, sudah menjadi tugas anda untuk membantu mereka dalam perkembangannya. Jadi, apakah yang boleh anda lakukan?

    Muzik & perkembangan bayi

    perkembangan bayi

    Muzik memberikan kesan yang besar kepada emosi setiap individu, begitu juga kepada bayi. Alunan dodoi atau lullaby boleh menenangkan bayi yang sedang meragam. Malahan, bermain atau mendengar muzik juga boleh menaikkan mood bayi anda selain memberi manfaat kepada minda dan meningkatkan kemahiran bahasa si comel.

    Apakah kaitan muzik dengan perkembangan bayi?

    Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa muzik mempunyai kaitan dengan perkembangan otak bayi. Secara saintifiknya, bayi dilahirkan dengan berbilion sel otak, yang dipanggil neuron. Semasa tahun pertama kehidupan bayi, pembentukan neuron berlaku di mana neuron membentuk hubungan dengan neuron yang lain. Semakin lama, hubungan yang sering menggunakan otak itu akan menjadi lebih kuat.

    Bayi yang membesar dengan mendengar muzik akan membina hubungan berkaitan muzik yang kuat di dalam otak. Malahan itu juga, sesetengah muzik sebenarnya memberi kesan kepada cara berfikir. Muzik klasik boleh membantu seseorang itu untuk meningkatkan penaakulan spatial, sekurang-kurangnya dalam masa yang pendek. Dan, mempelajari alat muzik juga akan memberikan kesan yang lebih panjang dalam kemahiran berfikir tertentu.

    Adakah muzik membantu bayi menjadi lebih bijak?

    Kebanyakan ibu bapa akan tertanya-tanya adakah bayi mereka akan menjadi lebih bijak jika didedahkan dengan muzik. Ya, tidak dapat disangkal lagi bahawa muzik adalah sangat baik untuk bayi kerana ia bukan sahaja boleh menenangkan emosi si comel, malahan juga membantu mereka untuk tidur dengan lebih lena.

    Dalam pada itu, manfaat muzik kepada tumbesaran bayi adalah lebih mendalam lagi. Muzik sebenarnya mampu mengubah cara otak bayi anda berkembang. Tambahan pula, setiap bayi dan anak kecil menggemari muzik, di mana anda akan lihat mereka mengikut irama muzik, menyanyi bersama ataupun berdansa mengikut alunan muzik yang dimainkan.

    Walau bagaimanapun, tidak banyak kajian yang dilakukan terhadap kaitan muzik dalam menjadikan seseorang bayi lebih bijak. Sesetengah pakar berpendapat bahawa dengan belajar bermain alat muzik dapat membantu kanak-kanak menjadi lebih bijak dalam matematik. Namun, kesimpulan tersebut dibuat bertumpukan kepada kanak-kanak yang lebih besar, bukannya bayi yang masih kecil. Pun begitu, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa dengan belajar muzik pada usia muda memberi pengaruh yang mendalam kepada perkembangan otak.

    Kajian yang melibatkan pelajar kolej dan kanak-kanak usia lima tahun mendapati bahawa mendengar muzik yang menenangkan berupaya meningkatkan prestasi mereka dalam ujian kognitif dan menggalakkan kreativiti. Satu kajian lain pula kepada bayi usia 2 bulan menunjukkan bahawa bayi boleh mengingati melodi ringkas yang diperdengarkan kepada mereka. Malahan, ada kajian yang menunjukkan bahawa janin seawal usia kandungan 35 minggu boleh membezakan dan mengingat pelbagai bunyi yang diperdengarkan pada mereka.

    Apakah jenis muzik yang terbaik untuk bayi anda?

    Menurut pakar, bayi tidak mendiskriminasikan bahasa sehingga usia mereka 6 bulan, malahan bayi juga tidak memilih tentang jenis muzik. Namun, apabila bayi berusia 10 hingga 12 bulan, mereka akan mula menunjukkan kegemaran mereka terhadap pilihan muzik yang biasa ibu dan bapa mereka minati. Contohnya, jika anda kerap mendengar muzik jazz semasa memasak, si comel anda mungkin akan tertarik kepada muzik jazz.

    Selain itu, ada juga pakar yang mencadangkan muzik klasik untuk diperdengarkan kepada bayi. Ini kerana muzik klasik mempunyai struktur muzik yang lebih kompleks. Bayi seawal usia tiga bulan lagi sudah boleh memilih struktur dan juga mengenali pilihan muzik klasik yang pernah didendangkan kepada mereka.

    Malahan itu, penyelidik juga percaya bahawa kerumitan muzik klasik mampu menjana otak untuk menyelesaikan masalah spatial dengan lebih cepat. Jadi, dengan memperdengarkan anak anda kepada muzik klasik dapat memberikan kesan yang berbeza kepada otaknya, berbanding jika anda memperdengarkan si comel kepada jenis muzik lain.

    Permainan susun suai gambar & perkembangan bayi

    perkembangan bayi

    Selain muzik, permainan susu suai gambar atau ‘jigsaw puzzle’ juga mampu membantu perkembangan bayi, atau lebih tepat lagi ketika mereka mula menjangkau usia kanak-kanak.

    Apakah itu permainan susun suai gambar?

    Permainan susun suai gambar merupakan sebuah permainan yang sangat bermanfaat dan sesuai dimainkan oleh kanak-kanak. Selain dapat mengisi masa lapang dengan permainan yang berfaedah, permainan susun suai gambar ini juga dapat membantu melatih fungsi otak anak anda. Oleh itu, segera kenalkan anak anda dengan permainan susun suai gambar dan ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai manfaatnya.

    • Menanam keyakinan diri anak anda

    Permainan ini adalah sangat mencabar dan memerlukan skil dan strategi yang baik bagi anak anda menyelesaikannya. Sepanjang proses menyiapkan set permainan susun suai gambar ini, pelbagai kemahiran akan diperolehi oleh anak anda. Kejayaan anak anda dalam menyempurnakan suatu set susun suai gambar ini akan mendatangkan perasaan puas hati dan bangga terhadap diri mereka sendiri. Ini merupakan permulaan yang baik dalam usaha menanam keyakinan diri anak anda.

    • Meningkatkan tumpuan dan memori anak anda

    Permainan ini dapat meningkatkan tumpuan anak anda. Ini kerana permainan ini memerlukan fokus yang sangat lama dalam meneliti dan mencari kepingan yang sesuai dalam permainan susun suai gambar ini. Selain itu, permainan ini juga dapat meningkatkan memori anak anda. Ini kerana kanak-kanak kebiasaannya gemar untuk bermain set permainan susun suai gambar yang sama lalu menyebabkan mereka mudah untuk mengingati setiap kepingan dalam suatu set permainan tersebut. Ini sekali gus dapat membantu dalam meningkatkan daya tumpuan dan ingatan anak anda.

    • Melatih kemahiran motor dan koordinasi anak anda

    Permainan ini merupakan antara cara yang terbaik dan menarik untuk membantu melatih kemahiran motor anak anda. Ini kerana permainan ini memerlukan anak anda untuk memegang, mengangkat serta mencantum kepingan set permainan susun suai gambar ini setepatnya. Selain itu juga, permainan ini dapat melatih koordinasi mata dan tangan anak anda. Ini kerana permainan ini turut memerlukan manipulasi koordinasi mata dan tangan yang sesuai. Permainan ini akan menjadi latihan yang bagus untuk kemahiran menulis anak anda kelak.

    • Melatih kemahiran sosial anak anda

    Kadangkala, permainan ini juga boleh dimainkan secara berkumpulan. Selain dapat menanam semangat bekerjasama dan berkomuniti, permainan ini secara tidak langsung dapat melatih anak anda untuk berkomunikasi antara satu sama lain dalam usaha mereka berbincang mengenai kesesuaian kepingan set permainan susun suai gambar yang dimainkan mereka. Ini sekali gus dapat melatih kemahiran sosial anak anda.

    • Mengajar anak anda erti kesabaran

    Permainan ini adalah sangat mencabar dan memerlukan masa dan kesabaran yang sangat tinggi. Sepanjang proses mencantum dan menyempurnakan setiap kepingan set permainan susun suai gambar ini, anak anda akan mula mengajar diri mereka sendiri akan erti kesabaran. Secara tidak langsung juga, mereka turut akan menanam sikap tidak putus asa dalam diri.

    • Menajamkan skil penyelesaian masalah anak anda

    Tentu sahaja permainan ini adalah tidak mudah bagi kanak-kanak. Mereka memerlukan pemikiran yang logik dan kreatif demi menyelesaikan masalah dalam set permainan susun suai gambar yang dimainkan mereka. Sepanjang bermain permainan ini, mereka dapat menajamkan skil penyelesaian masalah mereka menerusi pemikiran logik dan kreatif yang dapat digunakan untuk permainan susun suai gambar yang seterusnya. Skil ini juga sangat penting bagi menjalani kehidupan mereka dewasa kelak.

    • Menambahkan pengetahuan kognitif anak anda

    Permainan ini boleh wujud dalam bentuk gambar yang pelbagai tema dan topik. Contohnya gambar haiwan, tumbuh-tumbuhan, kenderaan dan makanan. Selain itu juga, permainan ini turut mempunyai kepelbagaian dalam bentuk, warna malahan saiznya. Ini secara tidak langsung dapat merangsang kepekaan visual dan sekali gus menambahkan pengetahuan kognitif anak anda yang gemar bermain permainan ini.

    Jika hendak dibandingkan dengan permainan dalam talian yang terdapat dalam komputer atau telefon pintar, permainan tradisi susun suai gambar ini merupakan pilihan terbaik untuk anak anda. Ini kerana permainan ini bukan sahaja dapat memberi hiburan malahan secara tidak langsung dapat mendidik dan melatih fizikal dan mental anak anda.

    Untuk membiasakan mereka dengan permainan ini, mungkin anda boleh beri mereka bermain-main dan berjinak-jinak dengannya seawal usia bayi lagi! Cuma pastikan permainan tersebut tidak berbahaya buat mereka yang masih kecil.

    Konklusi

    Konklusinya, terdapat banyak perkembangan bayi berumur 3 tahun yang menarik dan seronok untuk anda lihat. Dari tahun ke tahun, anda sebagai ibu bapa boleh mencatatkan setiap perkembangan bayi anda untuk melihat tumbesarannya dari aspek mental dan fizikal. Sudah pasti ia akan mengujakan anda, bukan?

    Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang penting dalam menjadi ‘role model’ mereka. Selain itu, anda juga boleh membantu mereka untuk menjadi kanak-kanak yang bijak dengan mendedahkannya kepada muzik dan juga permainan susun suai gambar. Kedua-duanya mampu memberi pelbagai impak yang positif terhadap perkembangan bayi anda.

    Oleh itu, jadilah ibu bapa yang baik demi perkembangan bayi anda yang lebih sihat dan sejahtera!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan