Penderaan Kanak-kanak: Fahami Mengenainya dan Bertindak Segera

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 17/06/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Penderaan kanak-kanak bukan lagi fenomena baru. Malah ia berlaku di seluruh dunia. Peningkatan mendadak kes penderaan kanak-kanak ini ternyata menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, khususnya ibu bapa kerana terdapat kes penderaan kanak-kanak menyebabkan kecederaan serius, kecacatan dan juga kematian.

Petikan daripada laporan Berita Harian menyatakan, menurut statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang tempoh dua tahun bermula 2015 mencatatkan 4,652 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan membabitkan penderaan fizikal yang tertinggi iaitu 2,470 kes, seksual (2,012 kes) dan emosi (170 kes).

Definisi Penderaan Kanak-kanak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan penderaan kanak-kanak sebagai semua bentuk penderaan sama ada fizikal, emosi, seksual, pengabaian, penyalahgunaan, penipuan atau eksploitasi yang boleh menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada kesihatan, kehidupan, pembangunan atau kemuliaan kanak-kanak yang dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab, amanah atau kuasa ke atas kanak-kanak.

Kadang-kadang kita perlu membezakan antara penyalahgunaan dan hak ibu bapa kepada disiplin anak. Ibu bapa mempunyai hak untuk mendisiplinkan anak mereka selagi dilakukan dengan cara yang munasabah dan sederhana dan tidak merupakan kekejaman.

Bentuk Penderaan Kanak-kanak

penderaan kanak-kanak

i. Fizikal

Penderaan fizikal berlaku apabila kanak-kanak dicederakan oleh ibu atau bapa atau penjaga secara sengaja atau berniat. Contoh-contoh penderaan fizikal menendang, menumbuk, mencekik dan memukul. Sementara itu, kecederaan yang selalu dikaitkan dengan penderaan fizikal adalah lebam, calar, kecederaan otak, pendarahan, patah tulang dan beberapa kes yang melibatkan kematian.

ii. Seksual

Penderaan seksual adalah penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti seksual yang tidak difahami sepenuhnya apa yang sedang dilakukan. Contoh penderaan seksual termasuk perbuatan seks dengan kanak-kanak, rogol, mendedahkan alat kelamin, pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak. Tindakan lain seperti memegang, mencium, menggosok bahagian peribadi kanak-kanak dan tingkah laku seksual yang tidak normal juga tergolong dalam penderaan seksual.

iii. Emosi

Penderaan emosi adalah trauma psikologi yang menyerang pemikiran dan lapisan perlindungan supaya minda terganggu untuk jangka masa pendek atau panjang mengikut tahap keadaan trauma yang berlaku. Ia mungkin kegagalan memenuhi keperluan kanak-kanak untuk berkasih sayang, perhatian dan rangsangan walaupun penjagaan fizikal yang baik boleh disediakan atau mungkin penderaan lisan, penolakan dan ugutan berterusan untuk membahayakan kanak-kanak. Ia mungkin juga merujuk kepada tingkah laku negatif ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

iv. Pengabaian

Pengabaian kanak-kanak adalah apabila ibu bapa atau penjaga tidak memberikan penjagaan, pengawasan, kasih sayang dan sokongan yang diperlukan untuk kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Pengabaian kanak-kanak termasuk:

  • Pengabaian fizikal dan pengawasan yang tidak mencukupi
  • Pengabaian emosi
  • Pengabaian perubatan
  • Pengabaian pendidikan

Simptom dan Tanda Amaran Penderaan Kanak-kanak

penderaan kanak-kanak

Penderaan kanak-kanak boleh berlaku dalam kalangan mana-mana keluarga atau sekolah. Adalah sukar untuk kanak-kanak untuk mendedahkan bahawa mereka didera. Berikut adalah beberapa tanda yang boleh anda lihat untuk mengetahui bahawa kanak-kanak tersebut didera, antaranya:

  • Kanak-kanak mengasingkan diri dari rakan dan aktiviti normal
  • Mudah menjadi marah, agresif atau bermusuhan
  • Menunjukkan prestasi yang buruk di sekolah
  • Menunjukkan tanda kemurungan atau ketakutan luar biasa, hilang keyakinan
  • Kerap tidak hadir ke sekolah atau aktiviti sosial
  • Sering memberontak atau gemar menipu
  • Mencuba untuk membunuh diri

Tanda penderaan fizikal

Penderaan fizikal itu boleh dikategorikan kepada sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ingin mencederakan kanak-kanak terbabit. Ia boleh berlaku dari bentuk disiplin dan hukuman yang tidak bersesuaian. Sebagai contoh, menggunakan tali pinggang ke atas kanak-kanak. Kanak-kanak yang didera secara fizikal akan mempunyai tanda-tanda berikut:

  • Kecederaan yang tidak dapat dijelaskan atau dengan alasan
  • Masalah perubatan dan pergigian yang tidak dirawat

Tanda penderaan seksual

Penderaan seksual adalah sesuatu yang rumit kerana mangsa akan berasa bersalah dan malu. Oleh kerana ini, penderaan seksual kanak-kanak jarang dilaporkan. Harus sentiasa diingatkan bahawa penderaan seksual tidak bermakna ia melibatkan perhubungan secara fizikal. Mendedahkan kanak-kanak kepada situasi dan kandungan berbaur seksual juga dianggap sebagai penderaan seksual. Berikut beberapa tanda penderaan seksual:

  • Mempunyai tingkah laku seksual yang tidak sesuai
  • Hamil atau mengalami masalah jangkitan seksual
  • Mempunyai masalah pada alat sulit, seperti kesakitan atau mempunyai masalah berjalan atau duduk
  • Terdapat darah pada seluar dalam

Tanda penderaan emosi

Penderaan emosi boleh menjejaskan kesihatan mental dan perkembangan sosial kanak-kanak, meninggalkan parut dalam sepanjang kehidupan psikologi. Walaupun penderaan emosi mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom fizikal, berikut adalah beberapa tanda yang boleh anda perhatikan:

  • Hilang keyakinan diri atau harga diri
  • Alami kemurungan atau kegelisahan
  • Sakit kepala atau sakit perut yang ketara dan tidak dapat dijelaskan
  • Mengasingkan diri dari aktiviti sosial, rakan, atau ibu bapa
  • Terdesak mencari perhatian dan kasih sayang
  • Perkembangan emosi yang terganggu
  • Kerap tidak hadir ke sekolah atau penurunan dalam prestasi sekolah, hilang minat
  • Mengelakkan situasi tertentu
  • Hilang kemahiran pembangunan yang ada sebelum ini

Tanda pengabaian

Masalah pengabaian kanak-kanak sukar untuk dikenal pasti. Pengabaian ini adalah kegagalan memberikan perlindungan kepada kanak-kanak. Ibu bapa atau individu dewasa mungkin tidak berupaya memberikan perlindungan disebabkan ketidakupayaan, masalah kesihatan seperti kemurungan atau kecederaan serius. Berikut adalah beberapa tanda-tanda pengabaian kanak-kanak:

  • Kanak-kanak bersikap acuh tidak acuh
  • Masalah penjagaan kebersihan diri
  • Masalah pertumbesaran; berat dan ketinggian
  • Kekurangan dalam keperluan fizikal seperti pakaian
  • Mencuri makanan atau duit
  • Prestasi merosot di sekolah
  • Kurang penjagaan dari aspek perubatan dan psikologi
  • Makan banyak atau menyembunyikan makanan
  • Gangguan emosi; mudah marah dan kecewa
  • Kehilangan berat badan yang keterlaluan

Pada masa dan keadaan tertentu, tanda penderaan kanak-kanak boleh dilihat pada ibu bapa dan guru. Antaranya seperti:

  • Membenarkan disiplin secara fizikal dan mengalakkan individu lain untuk melakukan perkara yang sama
  • Mengabaikan ketidakselesaan fizikal atau mental kanak-kanak
  • Memberikan alasan tidak logik berkaitan kecederaan kanak-kanak
  • Menyalahkan kanak-kanak untuk setiap kesilapan, memaki hamun dan menggunakan panggilan atau istilah negatif
  • Inginkan perhatian dan penjagaan dari kanak-kanak, dan menjadi cemburu apabila kanak-kanak terbabit melebihkan individu lain
  • Menafikan segala masalah yang wujud di sekolah mahupun di rumah, atau menyalahkan kanak-kanak tersebut untuk masalah yang wujud
  • Menuntut tahap prestasi fizikal atau akademik yang tidak bersesuaian
  • Membataskan pergaulan atau perhubungan kanak-kanak dengan individu lain

Kesan Penderaan Kanak-kanak

penderaan kanak-kanak

Pengabaian dan penderaan kanak-kanak mungkin akan memberikan kesan signifikan ke atas tahap kesihatan kanak-kanak tersebut pada masa lalu, sekarang dan masa depan. Di samping itu, penganiayaan yang dilakukan boleh menyebabkan pelbagai kesan terhadap perkembangan, psikologi dan fizikal kepada kanak-kanak.

Impak proses pembesaran

Kajian mengenai embriologi dan pediatrik menyatakan bahawa perkembangan otak pada tahap luar biasa semasa peringkat pembesaran awal bayi dan zaman kanak-kanak. Oleh itu, pendedahan berulang kepada peristiwa yang memberikan tekanan boleh mendatangkan kesan  kepada tindak balas tekanan otak, menjadikannya tidak aktif dan kurang penyesuaian diri. Penyelidikan juga mendapati terdapat hubung kait antara penderaan pada zaman kanak-kanak dengan masalah kesihatan pada masa depan. Antara masalah tersebut adalah:

  • Perkembangan otak yang tidak sesuai
  • Ketidakseimbangan antara kemahiran sosial, emosi dan kognitif
  • Kecacatan bahasa tertentu
  • Kesukaran dalam penglihatan, berkata-kata dan mendengar
  • Berisiko untuk hadapi masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kanser, jangkitan paru-paru kronik, penyakit hati, obesiti, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan tahap protein C-reaktif yang tinggi
  • Merokok, penyalahgunaan alkohol dan dadah

Impak psikologi

Kanak-kanak yang menderita akibat penganiayaan cenderung untuk menjadi kurang berkeyakinan dan tidak percaya kepada individu dewasa. Mereka mungkin sukar dan tidak mampu meluahkan perasaan sebenar mereka, menyebabkan wujudnya gangguan dalam mengawal emosi. Semakin lama penderaan berlaku, semakin serius impak yang akan berlaku. Dalam sesetengah situasi, penderitaan berterusan sehingga zaman remaja, dan alam dewasa. Ia juga boleh membawa kepada kegelisahan kronik dan kemurungan.

Beberapa kesan yang mungkin berlaku terhadap tahap kesihatan mental kanak-kanak akibat penderaan yang dihadapi termasuk:

  • Kegelisahan – kemurungan
  • Gemar menyendiri
  • Kesukaran untuk fokus
  • Kesukaran untuk tidur
  • Gangguan pemakanan
  • Tidak selesa dengan sentuhan fizikal
  • Gemar mencederakan diri sendiri
  • Percubaan untuk membunuh diri

Impak fizikal

Mengenal pasti kesan fizikal penderaan adalah penting untuk mengetahui tentang penganiayaan yang berlaku. Ini membolehkan anda melaksanakan langkah perlindungan selanjutnya kepada mangsa.

Tanda penderaan fizikal kanak-kanak adalah lebih mudah untuk dilihat berbanding penderaan yang lain, seperti pengabaian atau penderaan emosi. Kewujudan satu tanda penderaan fizikal tidak semestinya bermaksud kanak-kanak tersebut menderita akibat penderaan. Tetapi, mengetahui tentang tanda penderaan itu mungkin boleh menjadi petunjuk untuk melihatnya dengan lebih teliti.

Beberapa tanda penderaan fizikal dapat dilihat dalam senarai di bawah:

  • Lebam, bengkak
  • Terseliuh atau keretakan
  • Terbakar
  • Kesukaran untuk duduk atau berjalan
  • Kesakitan, lebam atau pendarahan pada bahagian sulit
  • Penyakit kelamin
  • Masalah kebersihan diri

Tanda penderaan kanak-kanak tidak selalu jelas kelihatan, dan kanak-kanak mungkin tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku kepada mereka. Ini mungkin disebabkan rasa takut seandainya pendera mengetahui tentang itu dan takut penderaan akan menjadi semakin teruk.

Mereka mungkin merasakan tiada sesiapa yang boleh mereka luahkan atau mereka mungkin dianggap menipu. Ada masanya kanak-kanak tidak menyedari apa yang berlaku itu adalah penderaan. Oleh kerana itu, kesan daripada penderaan dan pengabaian boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa dan masyarakat di sekeliling mereka.

Penderaan Kanak-kanak dan Sindrom Goncang Bayi

penderaan kanak-kanak

Jika anak anda masih bayi, ketahui tanda-tanda Sindrom Goncang Bayi (SBS), iaitu keadaan di mana bayi digoncang dalam keadaan marah. Dalam kes yang lebih teruk, penderaan melibatkan kepala bayi dipukul atau dihentak menggunakan objek keras seperti di dinding atau di lantai. Bayi yang mengalami SBS, walaupun parah, kadangkala kesannya tidak boleh dilihat segera. Kecederaan goncang bayi selalunya berlaku pada bayi usia setahun ke bawah, dan adakalanya sindrom ini berlaku pada kanak-kanak sehingga usia 5 tahun.

Bayi yang mengalami SBS mungkin mengalami mata berkaca, tubuhnya kelihatan mengeras, lemah dan meragam. Selain itu, bayi SBS juga akan kehilangan selera makan, mengalami kesukaran untuk makan, atau muntah. Jika bayi anda mengalami simptom-simptom ini dengan kesan lebam yang sukar dijelaskan, ini adalah petunjuk yang kuat kepada tanda-tanda penderaan.

Dalam kes yang teruk, bayi anda mungkin tidak boleh fokus pada objek atau mengangkat kepala. Dan, bayi juga boleh jadi tidak sedarkan diri, sukar untuk bernafas, mengalami sawan ataupun mungkin mendapat koma.

Jika anda mengesyaki si kecil anda mengalami SBS, segera bawa anak anda ke hospital untuk rawatan. Langkah segera anda dapat membantu menyelamatkan si kecil.

Khidmat Pengasuh Bayi: Pantau Keselamatan Anak Anda!

penderaan kanak-kanak

Tidak mudah untuk mencari pengasuh yang boleh menjaga bayi anda dengan baik. Tiada ibu bapa yang mahu menyerahkan anaknya kepada sebarangan pengasuh. Justeru, usaha mencari pengasuh yang berkelayakan memerlukan sedikit masa dan usaha anda supaya anda dapat memastikan si manja anda berada pada tangan orang yang betul. Antara kriteria yang perlu dalam memilih pengasuh bayi sudah tentu mereka yang berpengalaman dalam menjaga bayi.

Biarpun anda sudah memilih pengasuh yang layak menjaga bayi anda, namun anda tidak boleh lepas tangan. Sebanyak mana pun kepercayaan anda kepada pengasuh atau nurseri tersebut, anda masih perlu memantau keselamatan anak dengan cara memeriksa tubuh dan bertanyakan anak anda tentang aktivitinya pada hari tersebut. Jika anak anda masih bayi dan belum boleh bercakap, periksalah tubuhnya setiap hari pada setiap kali anda mengambilnya dari rumah pengasuh atau nurseri. Jangan teragak-agak untuk bertindak jika pengasuh anak anda berkelakuan seperti di bawah:

  • Memberikan penjelasan yang tidak meyakinkan tentang kesan lebam atau kecederaan yang bayi anda alami.
  • Tiada penjelasan pada lebam atau kecederaan pada tubuh bayi anda.
  • Mengadu anak anda berkelakuan negatif, tidak sama dengan kelakuan yang bayi anda tunjukkan jika bersama anda.
  • Kerap meremehkan anak anda.
  • Kelihatan tidak acuh pada bayi anda.
  • Bersikap tidak peduli atau tertekan.
  • Ada mengambil dadah atau alkohol.
  • Mula berkelakuan tidak rasional.
  • Bersikap berahsia ataupun memencilkan diri daripada jiran-jiran.
  • Kelihatan berlebihan dalam mendisiplinkan kanak-kanak. (Penderaan selalunya disebabkan oleh sikap berlebihan dalam mendisiplinkan kanak-kanak.)

Apa yang ibu bapa perlu buat jika anak disyaki didera oleh pengasuh?

Jika pengasuh anda menunjukkan tingkah laku seperti yang dinyatakan di atas, lakukan cara-cara ini:

  1. Lakukan pemeriksaan seperti kedatangan mengejut di rumah pengasuh anda untuk melihat cara dia melayan bayi anda.
  2. Jauhkan bayi anda daripada suspek.
  3. Selain itu, anda boleh juga bertanyakan kepada jiran-jirannya bagi mengetahui jika mereka ada mengesyaki sesuatu perkara berlaku pada bayi anda.
  4. Jika tanggapan anda benar, jangan berlengah untuk mengambil tindakan. Bawa bayi anda ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor yang memeriksa bayi anda akan menulis laporan jika terdapat unsur penderaan pada bayi.
  5. Segera laporkan pada pihak yang bertanggungjawab.

Undang-undang Berkaitan Penderaan Kanak-kanak

penderaan kanak-kanak

Undang-undang sebagai salah satu mekanisme untuk memastikan semua dasar dan perancangan kerajaan berjalan lancar. Sebagai contoh, dasar kerajaan Malaysia bahawa tiada kanak-kanak didera atau diabaikan. Oleh itu, kerajaan telah meluluskan perundangan untuk melindungi kanak-kanak daripada didera dan memastikan pelakunya dihukum.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Akta Kanak-Kanak 2001 adalah undang-undang utama yang mengawal kes penderaan kanak-kanak. Manakala, undang-undang lain yang menangani kes penderaan kanak-kanak adalah Kanun Keseksaan dan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Tanda-tanda Penderaan Kanak-kanak

    Kes penderaan kanak-kanak perlu diambil serius! Ia boleh menyebabkan konflik mental kelak. Ketahui gejala penderaan kanak-kanak.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Keibubapaan, Tips Keibubapaan 21/02/2019 . 4 minit bacaan

    Impak Penderaan Kanak-kanak

    Pengabaian dan penderaan kanak-kanak mungkin akan memberikan kesan signifikan ke atas tahan kesihatan kanak-kanak tersebut pada masa lalu, sekarang dan masa depan. Di samping itu, penganiayaan yang dilakukan boleh ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa

    Tanda-tanda Penderaan Fizikal

    Jika anda syak ada teman-teman anda yang alami penderaan rumah tangga, sila semak tanda-tanda penderaan fizikal ini. Ia tidak boleh disorok!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 20/02/2019 . 4 minit bacaan

    Tip Mengatasi Penderaan Domestik

    Penderaan domestik adalah kawalan sistematik terhadap seseorang individu oleh individu lain dalam pelbagai bentuk yang berbeza, termasuk penderaan fizikal, emosi, lisan, seksual dan kewangan. Penderaan domestik ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Mental 08/02/2019 . 2 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    kesan-penderaan-warga-tua

    Kenapa Warga Tua Semakin Sakit? Ambil Tahu, Mungkin Mereka Didera Secara Fizikal!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 11/06/2020 . 3 minit bacaan
    kes penderaan

    Stres Akibat PKP, Anak Bini Jadi Mangsa! Sila Ambil Peduli

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 09/04/2020 . 3 minit bacaan

    Keganasan Dalam Hubungan Boleh Berlaku Pada SESIAPA Saja! Ini 10 Selebriti Hollywood Yang Turut Alaminya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 07/03/2020 . 4 minit bacaan
    asrama sekolah

    Jangan Lepas Tangan! Hanya Kanak-kanak 12 Tahun Keatas Sahaja Sesuai Ke Asrama Sekolah

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 18/11/2019 . 2 minit bacaan