Penjagaan kemaluan bayi lelaki tidaklah sesukar seperti mana penjagaan untuk bayi perempuan. Namun, ada perkara yang perlu ibu bapa tahu dan ambil peduli supaya kemaluan anak lelaki sentiasa bersih setiap masa.
Penjagaan kemaluan bayi lelaki
Semasa menukar lampin dan memandikan bayi, basuh atau lap sekitar zakar dan skrotum si manja untuk membersihkan najisnya.
Anda boleh menggunakan cara ini:
- Guna kain ataupun pad kapas yang direndam dengan air atau cecair pembersih bayi yang diformulasi khas untuk baby adalah yang terbaik kerana ia tidak akan merosakkan pelindung kulit semula jadi si comel anda.
- Selain itu, anda juga boleh gunakan tisu basah bayi yang juga diformulasi khusus untuk kulit bayi, tanpa alkohol dan bebas pewangi.
Perlu diingatkan bahawa bagi bayi lelaki, anda tidak perlu membersihkan kepala zakarnya kerana ia akan membersih sendiri.
Jadi jangan menarik kulupnya untuk dibersihkan dan kulup bayi anda bersambung dengan kepala zakarnya.
Kulup si kecil akan mula terpisah daripada zakar apabila usianya lebih kurang 2 tahun. Jadi, tidak perlu susah payah membersihkannya kerana dikhuatiri anda hanya akan memudaratkannya lagi.
Cara membersihkan alat sulit bayi lelaki yang bersunat
Jika bayi anda telah disunatkan, tukar lampinnya dengan kerap dan pastikan zakarnya bersih.
Anda boleh gunakan air yang dicampur dengan cecair pembersih bayi sebelum mengelap lembut zakar bayi.
Letakkan juga ubat pada luka sunat. Dalam tempoh penyembuhan, biarkan zakar anak anda mendapat peredaran udara. Lebih baik jika anda biarkannya bebas lampin.
Zakar bayi yang disunat mungkin mengambil masa kira-kira 7-10 hari untuk sembuh.
Untuk beberapa hari terawal selepas bersunat, zakar bayi anda mungkin kelihatan merah dan bengkak, serta anda boleh lihat rembesan kekuning-kuningan pada zakarnya. Jangan risau kerana ini tanda-tanda normal penyembuhan.
Zakar bayi yang dijangkiti akan berwarna kemerahan, atau berdarah dan bengkak. Selain, bayi anda akan rasa sakit semasa kencing.
Jika ini berlaku, bawa segera bayi berjumpa doktor.
[embed-health-tool-vaccination-tool]