Revolusi pemeriksaan tibi untuk kanak-kanak
Dalam penyelidikan terbaru yang didedahkan ketika Persidangan Kesihatan Paru-paru Global, di The Hague, saintis telah menemui cara baru pemeriksaan kanak-kanak untuk penyakit tibi. Revolusi terbaru ini dikatakan dapat menghalang ratusan ribu kanak-kanak setiap tahun daripada menghidap penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian ini.
Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis di KNCV Tuberculosis Foundation ini menjumpai cara mudah bagi menguji sampel najis kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.
Kaedah yang digunakan untuk melakukan ujian tibi sekarang ini memerlukan pesakit memberikan sampel sputum atau kahak. Sampel ini kemudiannya akan dianalisis menggunakan mesin khas sebelum diberikan keputusan kepada pesakit.
Namun, bagi pesakit kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang tidak boleh mengeluarkan kahak, prosedur yang digunakan untuk ujian tibi kepada kanak-kanak adalah menyakitkan dan memerlukan mereka dimasukkan ke wad hospital.
Justeru, pengenalan ujian pemeriksaan tibi terbaru untuk kanak-kanak ini memberikan harapan baru yang dapat mencegah penularan penyakit ini, tanpa keperluan untuk menghantar ujian najis ke kemudahan kesihatan yang lebih besar.
Pengarah Eksekutif KNVC Tuberculosis Foundation, Kitty van Weezenbeek berkata, potensi kaedah ini adalah besar, dan bermakna diagnosis tibi boleh dilakukan di luar bandar.
“Kita mempunyai kaedah yang boleh mendiagnosis tibi di tahap penjagaan kesihatan terendah (tanpa perlu ke kemudahan kesihatan yang lengkap), dan menjalankan ujian kepada beratus ribu orang,” katanya.
Selain itu, Perunding Makmal KNCV, Petra de Haas memberitahu AFP bahawa ujian tersebut boleh menyelamatkan seramai 650 kanak-kanak yang mati setiap hari akibat tuberkulosis (tibi).
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen