backup og meta

Apa Perlu Buat Jika Anak Alami Bronkitis?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 07/06/2022

    Apa Perlu Buat Jika Anak Alami Bronkitis?

    Bronkitis (bronchitis) ialah keradangan tiub bronkial, iaitu saluran yang membawa udara ke paru-paru. Kanak-kanak yang mendapat bronkitis akan mengalami kesukaran untuk bernafas, batuk dan menghasilkan lebih mukus (lendir) berbanding biasa. Rawatan bronkitis bergantung kepada punca jangkitan.

    Punca bronkitis

    Bronkitis berlaku apabila saluran besar yang menghala ke paru-paru menjadi bengkak dan dijangkiti, selalunya disebabkan oleh jangkitan virus, atau lebih jarang sekali jangkitan bakteria.

    Simptom bronkitis

    Batuk ialah simptom utama bronkitis. Batuk anak anda boleh kedengaran kering ataupun basah. Saluran atas kanak-kanak yang mendapat bronkitis akan turut terjejas di mana dia mungkin akan mengalami gejala hidung berhingus, sakit tekak dan batuk. Kanak-kanak juga boleh mendapat demam ringan, semput dan berdehit.

    Jika anak anda kerap berdehit dan mengalami semput, ia boleh jadi disebabkan asma ataupun bronchiolitis. Selalunya, berdehit dan batuk yang teruk berlaku disebabkan asma. Jika anak anda mengalami demam panas dan sukar untuk bernafas, ia mungkin kerana pneumonia.

    Bila perlu bawa anak berjumpa doktor?

    Anda perlu membawa anak anda berjumpa doktor jika dia mengalami tanda-tanda di bawah:

    • Pernah mengalami serangan asma
    • Mendapat demam panas
    • Batuk yang berpanjangan melebihi 7-10 hari
    • Berdehit atau semput
    • Ada darah pada lendirnya
    • Mengalami masalah kesukaran bernafas atau bernafas dengan kuat

    Ujian untuk bronkitis

    Doktor akan bertanyakan beberapa soalan kepada anda tentang simptom yang anak anda tunjukkan. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan pada kanak-kanak tersebut. Jika batuk anak anda masih belum baik, doktor mungkin akan merujuk kanak-kanak kepada pemeriksaan x-ray dada.

    Rawatan bronkitis

    Selalunya, bronkitis akan baik selepas 1-2 minggu, dan secara amnya ia tidak menyebabkan sebarang komplikasi. Jika batuk atau berdehit anak anda masih belum baik, doktor mungkin akan menyarankan beberapa penggunaan jangka pendek rawatan anti-asma.

    Jika doktor berpendapat jangkitan bakteria yang menyebabkan bronkitis berlaku, dia mungkin akan memberi preskripsi antibiotik. Walau bagaimanapun, sebenarnya, ubat antibiotik jarang dipreskripsi kerana bronkitis selalunya disebabkan oleh virus, dan antibiotik pula tidak berhasil untuk merawat jangkitan virus. Selain itu, ubat biasa untuk batuk selalunya tidak berhasil untuk merawat batuk disebabkan bronkitis. Pengambilan madu mungkin boleh mengurangkan batuk yang teruk, namun anda tidak boleh memberi madu kepada kanak-kanak di bawah usia 12 bulan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 07/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan