Fahami apa itu time-out.
Ada ibu bapa yang menganggap time-out adalah hukuman untuk kanak-kanak jika mereka membuat perangai. Sebenarnya, time-out adalah proses mendidik kanak-kanak untuk mereka belajar bagaimana untuk menangani kekecewaan dan mengubah kelakuan mereka. Semasa anak anda berada dalam situasi time-out, biarkan mereka bersendirian selama beberapa saat. Sebarang perhatian daripada anda, tidak kiralah perhatian positif ataupun negatif, hanya akan menyebabkan anak anda menunjukkan lagi perangai mereka yang tidak baik. Jadi, ibu bapa perlulah memahami dahulu proses time-out dan caranya sebelum memperkenalkan kepada anak.
Jika ingin menjayakan time-out buat bayi berusia 12 bulan hingga 24 bulan, menurut AAP, penting untuk ibu bapa bertindak segera (sementara mereka menunjukkan perangai) dan meminta bayi untuk bertenang dan duduk diam dalam tidak lebih daripada 10 perkataan. Kemudian, jika bayi anda sudah bertenang, anda boleh berikan perhatian positif pada mereka.
Jika bayi anda merengek, menangis, atau merajuk, adalah tidak sesuai untuk anda menggunakan time-out. Ini kerana, bayi anda ketika ini sedang berasa kecewa. Jika ini berlaku, ibu bapa seharusnya duduk bersama dengan anak dan mengenal pasti apa yang tidak kena pada bayi.
Dua kesilapan lazim yang sering ibu bapa lakukan semasa time-out adalah dengan bercakap terlalu banyak dan marah-marah. Semasa time-out, tidak kiralah berapa usia anak anda, anda seharusnya mengehadkan percakapan anda, memberi penerangan yang ringkas dan segera, serta bertenang. Gunakan hubungan mata dan tegas semasa proses time-out.
Sebaik sahaja time-out berakhir, anda boleh berikan anak anda pelukan, bagi menunjukkan kasih sayang anda.
Jangan kerap gunakan time-out.
Time-out yang berkesan adalah apabila ibu bapa tidak sering menggunakannya kepada anak-anak. Anda disarankan untuk menggunakan kaedah ini hanya apabila perlu. Penggunaan yang kerap akan menghilangkan keberkesanannya kepada kanak-kanak.
Beritahu anak tentang kelakuan yang baik dan tidak baik.
Dengan menerangkan kepada anak anda kelakuan yang boleh diterima dan tidak elok dapat membantu mereka memahami akibat daripada perbuatan mereka. Sebelum memperkenalkan time-out kepada anak, ibu bapa perlu memberitahu akibat jika kanak-kanak menunjukkan tingkah laku yang tidak baik.
Tempoh time-out bergantung kepada usia kanak-kanak.
Pakar menyarankan supaya tempoh time-out hanya berlangsung satu minit setahun bagi bayi kecil. Tempoh time-out yang lama boleh menyebabkan bayi terlupa mengapa mereka diletakkan dalam zon time-out. Ibu bapa perlu ingat bahawa niat sebenar time-out dilakukan adalah untuk mengalihkan anak daripada perbuatan yang tidak elok, seperti tantrum, bukannya untuk menakutkan mereka ataupun membuat mereka panik.
Segera bercakap dengan anak selepas tempoh time-out berakhir.
Pastikan anak anda tahu bahawa anda masih sayangkan mereka biarpun mereka perlu melalui proses time-out. Ibu bapa boleh memeluk anak selepas time-out berakhir. Akan tetapi, anda masih perlu mengingatkan anak anda bahawa kelakuan tertentu adalah tidak digalakkan dan mereka perlu berhenti daripada melakukannya.
Sama ada penggunaan time-out berkesan ataupun tidak digunakan sebagai bentuk mendisiplinkan anak, hanya ibu bapa yang boleh menentukannya. Dengan mengikuti langkah yang betul dalam time-out dapat membantu ibu bapa dalam proses mendidik kanak-kanak.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen