Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak kecil mereka. Tetapi adakah anda faham mengenai perkembangan kanak kanak?
Keupayaan seperti mengambil langkah pertama, tersenyum dan melambai adalah titik perkembangan anak atau development milestones.
Secara amnya, ia adalah perkara yang dapat dilakukan kebanyakan kanak-kanak pada usia tertentu.
Pun begitu, ada juga anak yang mungkin berdepan dengan lewat pembangunan atau development delay.
Ikuti perkongsian artikel ini untuk memahami dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Mengikuti perkembangan kanak kanak 1 – 5 tahun
Anak kecil yang berusia antara 1 hingga 5 tahun, berada di bawah kategori kanak-kanak.
Pada tempoh ini, si manja akan berubah daripada seorang bayi kepada anak yang aktif.
Pertumbuhan fizikal dan perkembangan motornya akan sedikit perlahan. Tetapi anda boleh melihat perubahan intelektual, sosial dan emosi yang luar biasa.
Berikut antara titik perkembangan kanak kanak paling biasa berlaku mengikut usia:
#Usia 1
Fizikal
- Menarik badan untuk berdiri dan berjalan sambil memegang perabot
- Mula untuk bertatih
- Makan dengan sudu
- Minum dengan cawan
Sosial
- Meneroka sekeliling dengan pemantauan ibu bapa
- Sedar apabila terpisah daripada individu lain
- Malu atau gementar dengan individu tidak dikenali
- Anak kecil mula menunjukkan kasih sayang dan tantrum
Kognitif
- Boleh mencari objek tersembunyi
- Tahu bahagian tubuh
- Melambai ‘bye bye’
- Mula menyebut ‘mama’ dan ‘dada’
[embed-health-tool-vaccination-tool]
#Usia 2
Fizikal
- Berdiri sambil menjengketkan kaki (tiptoe)
- Menendang bola
- Mula berlari
- Memanjat dan turun perabot tanpa bantuan
Sosial
- Mengikut tingkah laku individu lain
- Lebih berdikari
- Seronok apabila bersama kanak-kanak lain
- Mengetahui nama individu yang dikenali
Kognitif
- Bermain permainan mudah
- Membezakan warna dan bentuk
- Membentuk dan menyebut ayat antara 2 hingga 4 patah perkataan
#Usia 3
Fizikal
- Memanjat dengan baik
- Berlari dan berjalan naik turun tangga dengan mudah
- Menaiki basikal roda tiga
- Boleh membaling bola
Sosial
- Meniru gaya individu dewasa dan rakan
- Mempamerkan kasih sayang dan keprihatinan
- Fahami maksud ‘milik saya’ atau ‘miliknya’
- Dapat memakai dan menanggalkan pakaian dengan sendiri
- Boleh berpisah dengan mudah daripada ibu ayah
Kognitif
- Boleh bermain dengan permainan yang bergerak
- Bermain pretend dengan mainan atau individu
- Memahami arahan di atas, di dalam atau di bawah
- Boleh menyebut nama penuh
- Mengikuti 2 atau 3 arahan, seperti “Buka pakaian dan masukkan ke dalam bakul”
#Usia 4 & 5
Fizikal
- Perkembangan kanak kanak pada usia ini mereka mampu berjalan naik turun tangan dengan bergantian kaki
- Boleh menggunakan tandas sendiri
- Makan sendiri menggunakan sudu dan garpu
Sosial
- Suka dikelilingi oleh rakan sebaya
- Cenderung untuk mengikuti peraturan
- Boleh memahami giliran dalam permainan
- Suka menyanyi, menari dan berlakon
Kognitif
- Bermain dengan permainan mekanikal
- Boleh melukis individu dengan anggota tubuh
- Memahami konsep masa
- Tahu nama dan alamat
Lewat perkembangan pada anak kecil
Sekiranya perkembangan anak kecil anda tidak seperti pencapaian biasa yang disarankan, bertenang!
Ini kerana, setiap anak membesar mengikut rentak mereka sendiri.
Umumnya, kesukaran dalam mencapai tahap perkembangan kanak kanak dalam kemahiran berbahasa, berfikir, sosial atau motorik disebut sebagai kelewatan perkembangan (developmental delay).
Seperkara yang perlu anda fahami, lewat perkembangan adalah berbeza dengan ketidakupayaan perkembangan (development disabilities).
Ia merangkumi keadaan seperti cerebral palsy, kehilangan pendengaran serta gangguan spektrum autisme (ASD) dan ia biasanya kekal seumur hidup.
Jika anda mengesyaki anak mungkin mengalami lewat perkembangan, berbincanglah dengan pakar pediatrik.
Punca dan kemungkinan anak kecil mengalami lewat perkembangan
Terdapat banyak punca yang boleh menyumbang kepada lewat perkembangan kanak kanak, seperti:
- Kelahiran pramatang
- Keadaan genetik seperti sindrom Down
- Masalah penglihatan atau pendengaran
- Kekurangan zat makanan
- Penggunaan alkohol atau dadah semasa kehamilan
- Penderaan atau pengabaian fizikal
- Kekurangan oksigen semasa bersalin
Autism
Gangguan spektrum autisme (ASD) merujuk kepada istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan melibatkan perkembangan saraf
Pemikiran, pergerakan, cara berkomunikasi dan penggunaan pancaindera bagi individu autistik adalah berbeza.
Autisme biasanya dapat didiagnosis pada anak kecil dan melibatkan kelewatan ketara dalam perkembangan bahasa dan sosial.
Antara tanda yang boleh dikenal pasti:
- Tidak responsif apabila nama dipanggil
- Tidak suka dipeluk atau bermain dengan individu lain
- Kurang ekspresi wajah
- Ketidakupayaan atau kesukaran untuk bercakap, berbual atau mengingati perkataan mahupun ayat
- Pergerakan berulang
- Masalah koordinasi
Terapi dan pendekatan lain dapat membantu menggalakkan komunikasi, mengurangkan tekanan dan membolehkan mereka melakukan tugasan harian.
Lewat pertuturan
Kebanyakan anak kecil akan aktif belajar bertutur dan bahasa sewaktu umur 3 tahun. Ketika itu, otak mula berkembang dan matang.
Proses pembelajaran bahasa bermula ketika bayi menangis untuk menyatakan rasa lapar. Pada usia 6 bulan, anak kecil anda sudah dapat mengenali bunyi bahasa asas.
Mencecah usia 12 hingga 15 bulan, si manja seharusnya dapat mengucapkan 2 atau 3 perkataan mudah, walaupun tidak jelas.
Kebanyakan kanak-kanak boleh mengucapkan beberapa perkataan ketika berusia 18 bulan.
Mencapai usia 3 tahun, mereka sudah mampu menuturkan ayat ringkas.
Walaubagaimanapun, anak yang mengalami lewat pertuturan tidak dapat menuturkan banyak perkataan seperti kanak-kanak seusianya.
Lewat bahasa pula berlaku jika anak kecil mengalami kesukaran memahami apa yang dikatakan individu lain atau tidak dapat menyatakan apa yang difikirkan mereka.
Ini termasuklah untuk bercakap, memberikan isyarat dan menulis.
Latihan tandas
Latihan ke tandas atau potty training mungkin dianggap sebagai tugasan paling mencabar dalam perkembangan kanak-kanak.
Tetapi jika anak kecil anda sudah bersedia tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Setiap kanak-kanak akan belajar untuk menggunakan tandas pada usia yang berbeza.
Namun anda harus sentiasa ingat bahawa ‘terbabas’ adalah perkara biasa kerana proses ini memerlukan masa.
Tanda anak kecil bersedia untuk latihan tandas:
- Kekerapan anda menukar lampin semakin berkurangan
- Pergerakan usus (membuang air besar) anak semakin teratur dan boleh dijangka seperti sejam selepas sesi hidangan makan
- Anak sudah boleh memberitahu apabila mereka ingin ke bilik air
- Anak menyedari dan tidak suka lampin mereka kotor
- Anak sudah boleh mengikuti arahan mudah seperti berjalan ke bilik air, duduk dan menanggalkan pakaian
Keselamatan anggota tubuh
Dalam perkembangan kanak kanak, adalah penting untuk ibu bapa mengajar mengenai tubuh, keselamatan badan dan batasan peribadi untuk melindungi mereka.
- Gunakan nama yang betul untuk bahagian tubuh termasuk alat sulitnya
- Mengajar anak bahawa tiada salahnya untuk mengatakan ‘tidak’ jika mereka tidak mahu memeluk atau mencium seseorang
- Pastikan anak kecil anda mengetahui perbezaan antara sentuhan ‘yang boleh’ dan tidak boleh’
- Ajarkan anak bahawa tiada individu boleh menyentuh bahagian sulit mereka dan tidak ada sesiapa patut menunjukkan gambar kemaluan individu lain