backup og meta

Beg Sekolah Berat Bukan Isu Baru, Jika Berlanjutan, Ini 4 RISIKO Boleh Jadi Pada Anak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/11/2022

    Beg Sekolah Berat Bukan Isu Baru, Jika Berlanjutan, Ini 4 RISIKO Boleh Jadi Pada Anak!

    Isu beg sekolah berat merupakan masalah lama yang masih hangat diperbincangkan. Ada sebabnya mengapa ia kembali dibangkitkan lagi. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui kesan beg berat ini kepada anak-anak.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini. 

    Isu beg berat ke sekolah

    Pelajar membawa beg sekolah yang besar dan berat boleh dianggap sebagai senario biasa pada masa kini. Sama ada anak di bangku sekolah rendah mahupun menengah, keadaannya sama sahaja.

    Malangnya, situasi ini boleh menimbulkan risiko kesihatan serius kepada anak kecil.

    Ini kerana kesan membawa beg berat dari masa ke masa menyebabkan anak berdepan masalah sakit belakang. Keadaan ini lebih cenderung dialami kanak-kanak perempuan berbanding anak lelaki.

    Isu beg sekolah berat: Kesannya kepada anak

    isu beg sekolah berat

    Membawa beg berat sangat membimbangkan kerana kanak-kanak tidak mempunyai rangka fizikal yang lengkap. 

    Ini kerana kanak-kanak tidak mempunyai otot, bahu yang lebar, sendi teguh dan tulang kuat seperti individu dewasa. 

    Secara tidak langsung, ia bermakna anak yang membawa, mengambil dan memegang objek berat boleh memberi tekanan besar kepada tubuh mereka.

    Kesan paling membimbangkan seperti:

    1. Ketegangan otot

    Pergerakan mudah seperti mengangkat beg sekolah berat memberikan tekanan besar pada otot belakang badan dan bahu.

    Akibatnya anak akan mengalami ketegangan otot yang menyebabkan kesakitan dan menjejaskan pergerakan.

    2. Ketidakseimbangan postur kesan isu beg sekolah berat

    Ini merupakan aspek paling membimbangkan. Jika anak membawa beg berat dan hanya diletakkan pada sebelah bahu, ia boleh menyebabkan mereka mengalami ketidakseimbangan postur – dikenali sebagai bahu jatuh.

    Keadaan sebelah bahu lebih rendah mengakibatkan beberapa masalah lain termasuk kesakitan, kehilangan mobiliti dan gaya berjalan yang pelik.

    Postur kepala ke hadapan dan bahu membulat juga merupakan antara kesan membawa beg berat yang tidak dipakai dengan betul.

    Keadaan ini berlaku apabila beg yang tidak digalas dengan betul boleh mengalihkan pusat graviti kanak-kanak. Ia mengakibatkan batang tubuh mereka ditarik ke belakang dengan leher dan bahu condong ke hadapan dalam usaha membawa bebanan beg.

    3. Kelengkungan tulang belakang

    Walaupun beg sekolah yang berat boleh menyebabkan bongkok atau kelengkungan tulang belakang, ia tidak seharusnya mengakibatkan kecacatan tulang belakang kekal atau scoliosis – melainkan anak mengalaminya sejak lahir.

    isu beg sekolah berat

    Maknanya jika anak sudah mempunyai masalah tulang belakang, tetapi tidak disedari ibu bapa, bebanan beg berat setiap hari boleh mengakibatkan keadaan tulang melengkung atau membongkok semakin bertambah teruk.

    4. Isu beg sekolah berat #Kecederaan regangan berulang

    Anak akan mengangkat dan meletakkan beg sekolah berulang-kali dalam sehari. 

    Sekiranya beg sangat berat, terdapat risiko kecederaan regangan berulang. Ini boleh menjejaskan mana-mana otot dan sendi pada lengan, tangan, leher, bahu atau belakang badan.

    Langkah pencegahan atasi isu beg sekolah berat

    Anda digalakkan untuk memeriksa berat beg anak dengan kerap. Sebaik-baiknya, berat beg tidak boleh melebihi 10% daripada berat badan anak

    Jika terlebih berat, beberapa tip berikut boleh dilakukan untuk mengatasi isu beg berat ke sekolah, antaranya: 

    #Gunakan saiz beg sekolah bersesuaian

    Beg berkualiti tinggi biasanya merupakan pilihan terbaik kerana ia meratakan berat beg merentasi bahagian pinggul dan belakang badan. 

    Apabila memilih beg, carilah beg yang lebarnya tidak melebihi dada anak. Selain itu, elakkan beg sekolah yang lebih panjang daripada batang tubuh anak.

    • Anak berusia 2-4 tahun harus menggunakan beg dengan kepanjangan maksimum 30cm
    • Ketika berusia 4-7 tahun, anak disarankan menggunakan beg dengan kepanjangan maksimum 38cm
    • Anak remaja lingkungan usia 8-16 tahun harus menggunakan beg dengan kepanjangan maksimum 45cm

    isu beg sekolah berat

    #Utamakan keselesaan atasi isu beg sekolah berat

    Beg sekolah yang ideal harus direka bentuk dengan mengambil kira ergonomik. Cari beg galas yang mempunyai:

    • Tali bahu yang luas dan empuk
    • Tali boleh laras
    • Pemegang tangan supaya ia boleh dibawa dalam jarak dekat dengan mudah
    • Pelapik di bahagian belakang untuk keselesaan

    #Aturan barang

    Pastikan barangan berat seperti buku dan bekas pensel berada pada bahagian belakang beg. Ini dapat memastikan barang berat terletak berhampiran dengan lumbar tulang belakang.

    Ini memudahkan anak menyokong berat beg dan membolehkan tulang belakang mengekalkan lengkung semula jadinya.

    #Tinggalkan barang di sekolah

    Rasanya kini kebanyakan sekolah menyediakan ruang untuk anak meletakkan barang seperti storage box bagi mengatasi isu beg berat ke sekolah.

    Jadi galakkan anak untuk menyimpan barangan seperti buku untuk kegunaan hari seterusnya. Tidak ada gunanya membawa barang berat berulang-alik jika tidak digunakan di rumah – melainkan ada tugasan yang perlu disiapkan.

    #Cara angkat beg yang betul

    Ibu bapa disarankan untuk mendidik anak cara yang betul mengangkat beg. Ajar anak untuk duduk atau mencangkung terlebih dahulu sebelum mengangkat dan menggalas beg mereka.

    Baca juga:

    Akhir kata

    Kini anda sudah mengetahui kesan negatif jangka panjang isu beg sekolah berat ini kepada kesihatan anak-anak.

    Ibu bapa dan institusi pendidikan harus berganding bahu untuk mencari alternatif terbaik bagi mengatasi masalah ini. 

    Idea untuk menggunakan gajet bagi menggantikan buku mungkin merupakan idea yang baik. Namun terdapat banyak pro dan kontranya yang perlu dikaji dengan lebih teliti dan mendalam.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan