backup og meta

12 Tips Untuk Pilih Buaian Bayi & Katil Bayi Yang Sesuai Buat Si Comel, Tak Pening Lagi Kepala!

12 Tips Untuk Pilih Buaian Bayi & Katil Bayi Yang Sesuai Buat Si Comel, Tak Pening Lagi Kepala!

Waktu tidur si comel adalah sangat penting buat mereka. Ini kerana ketika mereka sedang tidur, tubuh badan mereka dapat berehat dan membesar pada masa yang sama. Ketika ini juga, anda sebagai ibu bapa mungkin boleh mengambil kesempatan untuk berehat setelah penat seharian bekerja dan menjaga anak atau melakukan tugasan yang lain sementara mereka sedang nyenyak tidur. Persoalannya, bagaimana untuk memastikan anak anda dapat tidur dengan lena? Ia sebenarnya bergantung kepada penggunaan buaian bayi dan katil bayi yang sesuai.

Mungkin buat ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam alam keibubapaan, mereka mungkin hanya akan memandang ringan sahaja perkara ini.

Bagi segelintir mereka, apa yang paling penting untuk waktu tidur bayi hanyalah tempat tidur mereka. Ini pula bukan bermaksud mereka akan menyediakan bayi dengan katil bayi yang sesuai tetapi sebaliknya hanya menggunakan tilam atau toto sahaja.

Pendek kata, masih wujud golongan ibu bapa yang tidak mempercayai penggunaan katil bayi ataupun buaian bayi untuk menidurkan si comel mereka.

Jadi, persepsi ini sebenarnya harus diubah kerana buaian bayi dan katil bayi adalah peralatan yang sebenarnya sangat membantu bayi ketika waktu tidur mereka.

Apa yang paling penting buat ibu bapa pula adalah anda perlu tahu tentang buaian bayi dan katil bayi yang sesuai untuk si comel anda.

Oleh itu, ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

buaian bayi

Buaian bayi

Sebenarnya, buaian bayi ini adalah salah satu daripada peralatan yang dicipta untuk membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak.

Tidak semua bayi adalah sama dan perkara-perkara yang akan menenangkan mereka juga adalah berbeza-beza.

Contohnya, mungkin ada bayi yang akan tenang dan mampu tidur lena hanya dengan dodoian, tepukan, dukungan, bunyian, mainan dan ada juga yang sangat mudah tertidur apabila berada dalam buaian bayi.

Ini kerana bagi sesetengah bayi, buaian mungkin merupakan mekanisma yang mampu menenangkan diri mereka sekali gus menyebabkan mereka kurang menangis dan mudah untuk tidur.

Ia adalah sama konsepnya dengan sesetengah bayi yang mungkin memerlukan ‘bantal busuk’ atau mainan kegemaran mereka sebelum mereka berupaya untuk tidur. Jadi, adakah anda mahu mencuba buaian bayi?

Jika ya, terdapat beberapa tip buat anda untuk memilih buaian bayi:

#1. Lihat bajet

Sama seperti sebelum membeli peralatan lain, anda sebagai ibu bapa perlu lihat kepada bajet anda terlebih dahulu.

Ini kerana terdapat banyak buaian bayi pelbagai jenama di pasaran kini. Jadi, ibu bapa perlu menetapkan terlebih dahulu harga yang anda mahu dan mampu sebelum membelinya.

Paling penting, anda perlu ingat bahawa mahal tidak semestinya bagus dan murah tidak semestinya tidak bagus.

#2. Jenis buaian bayi

Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, buaian bayi juga tidak mahu ketinggalan jauh.

Disebabkan itu, telah wujud buaian bayi yang boleh membuai sendiri tanpa perlu digerakkan oleh anda.

Pun begitu, jika anda seorang yang tradisional dan tidak gemar akan perkara yang melibatkan teknologi, maka pilih sahaja jenis tradisional yang perlu digantung dan dihayun sendiri.

Jika mahu sedikit kelainan, pilih buaian bayi yang boleh memainkan muzik.

#3. Asas buaian bayi

Selain jenis, antara perkara yang perlu anda berikan perhatian adalah asas buaian bayi yang anda mahu beli. Kaji terlebih dahulu mengenai asas buaian ini.

Pastikan ia adalah diperbuat daripada besi tahan karat yang kuat dan kukuh. Jangan pula anda hanya melihat pada luarannya sahaja. Ini sangat penting buat keselamatan si comel anda.

#4. Saiz buaian bayi

Saiz buaian bayi adalah sangat penting untuk anda pertimbangkan kerana ia perlu sesuai dengan saiz bayi itu sendiri dan juga ruang di dalam rumah anda.

Bayangkan terlebih dahulu tempat anda ingin letakkan buaian bayi tersebut di ruang rumah anda bagi memastikan ia tidak akan menimbulkan kesesakan atau kesempitan yang akan membahayakan keselamatan bayi.

Dalam pada itu, bayangkan juga jika bayi anda ditempatkan di dalamnya. Adakah saiz buaian tersebut mampu menampung saiz bayi anda atau tidak?

#5. Kemudahan buaian bayi

Jika anda merupakan ibu bapa yang sibuk dan sering berkejar ke merata tempat, anda perlu pertimbangkan kemudahan buaian bayi tersebut terlebih dahulu.

Kemudahan di sini adalah bermaksud ia mudah untuk dibawa ke pelbagai tempat yang lain. Ia perlu bersifat senang dilipat dan dibawa masuk ke dalam kereta untuk tujuan dibawa ke destinasi yang ingin anda tuju bersama si comel anda.

#6. Keselamatan buaian bayi

Ini merupakan tip yang sebenarnya sangat penting. Ini kerana keselamatan buaian bayi akan menjadi penentu kepada keselamatan bayi anda.

Jadi, anda perlu semak ciri keselamatan buaian bayi tersebut dengan melihat sama ada terdapat sebarang ‘harness’ yang boleh membantu menyekat bayi anda daripada jatuh.

Jika anda masih ragu-ragu, anda boleh pilih buaian bayi yang sedikit rendah atau yang mempunyai tempat daratan lembut di bawahnya jika bayi anda terjatuh daripada buaian.

Ia mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk memilih buaian bayi yang paling sesuai buat si comel anda.

Namun begitu, ia adalah berbaloi untuk memilih buaian bayi yang terbaik demi memastikan bayi anda tidur lebih nyenyak dan lena.

buaian bayi

Katil bayi

Sama seperti buaian bayi, katil bayi juga sebenarnya adalah sangat penting untuk memastikan waktu tidur bayi lebih berkualiti.

Mungkin ada ibu bapa yang selesa membiarkan bayi mereka tidur di atas tilam atau toto semata-mata.

Pun begitu, apa salahnya jika anda membelikan katil bayi buat mereka, bukan? Sekiranya anda mahu atau perlu membeli katil bayi, ketahuilah bahawa terdapat beberapa tip yang perlu anda tahu.

Berikut merupakan beberapa tip buat anda untuk memilih katil bayi:

#1. Lihat bajet

Sebagai ibu bapa yang gemar merancang dan mengawal perbelanjaan, ini sangat penting. Lihat kepada bajet anda terlebih dahulu sebelum membeli katil bayi yang diingini.

Jangan membeli hanya semata-mata kerana ‘trend’ atau mahu berlagak dengan ibu bapa yang lain. Sebaliknya, beli katil bayi untuk keselesaan waktu tidur mereka.

#2. Keselamatan katil bayi

Faktor keselamatan adalah perkara paling penting yang anda perlu pertimbangkan semasa memilih katil bayi. Ini kerana mereka akan menggunakannya untuk tidur dan anda pula bukan sentiasa ada untuk memerhatikan mereka sepanjang masa.

Oleh itu, pastikan kualiti asas bahan katil tersebut sama ada ia adalah besi, kayu atau peralatan lain.

Selain itu, periksa juga pagar katil untuk memastikan jarak antara pagar tidak melebihi dua inci bagi mengelakkan kepala, kaki atau tangan si comel tidak tersekat atau tersepit di antaranya.

#3. Kemudahan katil bayi

Apabila berbicara mengenai pagar katil bayi, anda perlu tahu bahawa ada pagar katil yang boleh diturunkan dan dinaikkan secara manual.

Ia akan memudahkan anda untuk mengangkat dan meletakkan ke dalam katil.

Namun begitu, ia mungkin agak berbahaya kerana bayi anda mungkin akan tersentuh atau tertekan apa-apa fungsi yang akan menurunkan pagar katil bayi itu sendiri lalu mungkin terjatuh daripada katil bayi.

#4. Saiz katil bayi

Selain saiz bayi itu sendiri, saiz katil itu juga adalah penting untuk anda perhatikan.

Oleh itu, pertimbangkan untuk bawa pita pengukur untuk mengukur saiz katil bayi yang sesuai dengan saiz bayi anda.

Selain itu juga, pastikan ia adalah muat dan sesuai untuk diletakkan di dalam bilik bayi dan boleh memasuki pintu rumah dan pintu bilik si comel.

#5. Ujian tekap tangan

Mungkin ada ibu bapa yang tidak tahu akan ujian tekap tangan ini. Apakah ia? Ujian ini adalah ujian yang memerlukan pemeriksaan menggunakan tekapan tangan anda terhadap tilam bayi. Ia bertujuan untuk mengetahui kekukuhan dan kestabilan katil bayi.

Caranya, sebelum membeli tilam anda perlu tekap tangan anda pada tilam dan angkatnya untuk melihat sama ada terdapat kesan tapak tangan anda atau tidak.

Jika ada, itu menunjukkan bahawa tilam tersebut adalah terlalu lembut buat bayi anda.

#6. Katil bayi alternatif

Ada ibu bapa yang memilih untuk tidak membeli katil bayi ekoran tidak mahu perabot yang terlalu besar terletak di rumah terutamanya jika rumah anda adalah kecil.

Sebenarnya, ada alternatif yang lain seperti katil mudah alih yang boleh dilipat atau bakul tidur. Ini adalah sangat sesuai buat anda yang mahu katil bayi yang kecil dan mudah alih.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, ternyatalah bahawa terdapat banyak fleksibiliti dalam pemilihan buaian bayi dan katil bayi.

Tip-tip berikut boleh digunakan untuk memastikan si comel anda tidur lebih selesa pada waktu malam. Selain waktu malam, bayi juga akan selesa tidur di dalamnya ketika waktu siang.

buaian bayi

Berbicara mengenai tidur siang, adakah ia tidak akan membawa apa-apa kemudaratan terhadap bayi? Sebenarnya, terdapat banyak manfaat tidur siang yang anda sendiri belum tahu, antaranya:

Membantu anak belajar

Satu kajian ke atas kanak-kanak prasekolah mendapati bahawa tidur siang dapat membantu mereka melakukan lebih baik ketika bermain mainan yang melibatkan memori.

Kanak-kanak kekal cergas

Beberapa kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk makan lebih banyak, terutama makanan yang tidak sihat, apabila mereka tidak mendapat tidur yang cukup. Justeru, ia membuatkan mereka cenderung mendapat obesiti. Kanak-kanak yang cepat letih juga tiada cukup tenaga untuk bergerak aktif dan bersenam.

Mood lebih baik jika tidur cukup

Anak yang tidak cukup tidur akan menunjukkan tantrum dan meragam. Malahan, ada kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang melangkau meridap akan kurang gembira dan menunjukkan reaksi yang teruk pada kejadian yang mengecewakan.

Berapa lama tidur siang yang anak anda perlukan?

Keperluan meridap kanak-kanak adalah berbeza mengikut peringkat usia.

  • Bayi baru lahir – 3 bulan: Bayi perlu tidur sehingga 18 jam sehari, dan berjaga sekitar satu atau dua jam.
  • Bayi sehingga usia 12 bulan: Memerlukan 2 – 4 jam tidur siang sehari.
  • Kanak-kanak 1 – 3 tahun: Perlu tidur 12 – 14 jam sehari, termasuk tidur siang (1-3 jam).
  • Kanak-kanak prasekolah: Memerlukan 11 – 13 jam tidur sehari termasuk meridap.
  • Kanak-kanak sekolah 5 – 12 tahun: Waktu tidur malam antara 10 hingga 11 jam.

Namun begitu, biasanya selepas anak usia 5 tahun, mereka sudah tidak memerlukan tidur di siang hari. Jika boleh, hadkan tidur siang anak kepada 30 minit sahaja supaya tidak mengganggu waktu tidur malam mereka.

Bila perlu melangkau tidur siang?

Keputusan untuk melangkau meridap boleh dibuat berdasarkan tingkah laku kanak-kanak dan jumlah tidur malam mereka. Berikut adalah keadaan bila ibu bapa boleh melangkau anak tidur pada waktu siang:

  • Jika anak anda mudah terlelap di malam hari
  • Anak nampak cukup rehat pada siang hari
  • Kanak-kanak jarang tertidur semasa dalam kereta ataupun ketika menonton televisyen

Tidur siang adalah perlu untuk setiap bayi dan kanak-kanak, tetapi ibu bapa juga perlu tahu akan keperluan tidur siang mengikut peringkat usia anak mereka. Jika anda dapati anak kerap letih dan seperti tidak cukup tidur, maka mungkin anda perlu mengajar anak untuk tidur siang.

buaian bayi

Selain daripada buaian bayi dan katil bayi yang akan memberi keselesaan terhadap waktu tidur bayi, sebenarnya terdapat beberapa lagi perkara yang akan membantu membuat tidur bayi lebih nyenyak dan lena. Berikut merupakan perkara-perkara tersebut:

#1. Pastikan bayi cukup makan

Sebelum tidur, pastikan bayi sudah diberikan susu yang mencukupi bagi mengelakkan si comel terjaga di tengah malam untuk menyusu.

#2. Bersihkan badan bayi sebelum tidur

Sebelum tidur, lap badan bayi menggunakan tuala yang direndam dengan air suam untuk memberikan sensasi hangat kepada mereka.

#3. Urutan

Selepas membersihkan badan bayi, lakukan urutan lembut pada tubuh badan bayi termasuk tangan dan kaki. Penggunaan minyak bayi ataupun losen boleh membantu proses urutan dan harumannya boleh merangsang si manja mendapatkan tidur yang lena.

#5. Dodoian

Anda boleh memasang alunan muzik lullaby ataupun zikir yang sesuai bagi merangsang mood tidur si manja. Ataupun, jika anda adalah seorang penyanyi yang baik, anda sendiri boleh nyanyikan lagu dodoian kepada anak anda

#6. Pakaian

Tahukah anda bahawa faktor pakaian semasa tidur juga boleh membuatkan si manja terjaga daripada tidur? Oleh itu, pastikan anda memakaikan bayi dengan pakaian yang sesuai dan selesa biarpun semasa dia sedang tidur. Anda boleh juga membalutkan tubuh bayi dengan selimut nipis untuk menghangatkan tubuhnya semasa tidur.

#4. Persekitaran

Jika ingin menidurkan bayi, pastikan pencahayaan dalam bilik tidur suram dan suhunya berada pada tahap yang selesa.

#7. Rutin tidur bayi

Ajar si manja tidur pada satu-satu waktu. Contohnya, terus bawa si manja tidur pada setiap jam 9 malam pada setiap hari. Dengan cara ini, bayi anda akan mengulangi waktu tidur yang sama setiap hari.

#8. Beza siang dan malam

Bayi memang akan tidur tidak kira siang ataupun malam. Namun, anda perlu ajar bayi membezakan tidur siang dan malam mereka dengan cara membiarkan bayi tidur di bakul bayi pada waktu siang dan tidur di katil bayi ataupun bersama anda pada waktu malam.

Sekiranya bayi anda terjaga pada waktu malam, tepuklah punggung atau pahanya dengan lembut bagi merangsangnya untuk terus tidur. Sekiranya si manja menangis, periksa sama ada berlaku kebocoran lampin atau sebarang ketidakselesaan berlaku kepada mereka. Anda juga boleh mendukung bayi anda seketika sambil mendodoinya dengan suara yang perlahan.

buaian bayi

Oleh itu, ternyatalah bahawa terdapat banyak perkara yang akan membantu bayi tidur dengan lebih selesa di dalam buaian bayi atau katil bayi kegemarannya.

Konklusi

Konklusinya, waktu tidur bayi adalah sangat penting buat tumbesaran dan perkembangan mereka. Oleh itu, ibu bapa boleh gunakan buaian bayi atau katil bayi untuk membantu tidur si comel menjadi lebih selesa. Selain itu, gunakan juga tip-tip yang telah dinyatakan di atas untuk menidurkan bayi anda. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda sebagai ibu bapa dalam menjaga waktu tidur si comel.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Baca juga;

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Naps. https://kidshealth.org/en/parents/naps.html. Accessed June 13, 2019.

 

Naptime Know-How: A Parent’s Guide. https://www.webmd.com/parenting/raising-fit-kids/recharge/kids-naps#2. Accessed June 13, 2019.

 

Accessed April 23, 2019. Are Naps Really That Important?. childrensmd.org/browse-by-age-group/toddler-pre-school/naps-really-important/. Accessed June 13, 2019.

 

BabyCenter Medical Advisory Board. Pet allergies. http://www.babycenter.com/0_pet-allergies_1227644.bc?page=3#articlesection6. Accessed June 13, 2019.

 

BabyCenter Medical Advisory Board. Teething. http://www.babycenter.com/0_teething_11403.bc. Accessed June 13, 2019.

 

BabyCenter Medical Advisory Board. Milestones: 13 to 24 months. http://www.babycenter.com/0_milestones-13-to-24-months_1496589.bc#articlesection3. Accessed June 13, 2019.

 

Your 22-month-old: Week 1. http://www.babycenter.com/6_your-22-month-old-week-1_5926.bc. Accessed June 13, 2019.

 

Your 22-month-old: Week 2. http://www.babycenter.com/6_your-22-month-old-week-2_10329464.bc. Accessed June 13, 2019.

 

Your 22-month-old: Week 3. http://www.babycenter.com/6_your-22-month-old-week-3_10329465.bc. Accessed June 13, 2019.

 

Your 22-month-old: Week 4. http://www.babycenter.com/6_your-22-month-old-week-4_10329466.bc. Accessed June 13, 2019.

 

22-Month-Old Child. http://www.whattoexpect.com/toddler/22-month-old.aspx. Accessed June 13, 2019.

 

6 Tips Berguna Bagaimana Hendak Memilih Buaian Bayi Untuk Anak Anda. https://my.theasianparent.com/buaian-bayi-tips-pilih. Accessed June 13, 2019.

 

Jangan Beli Katil Baby Sebelum Anda Semak 5 Tip Berguna Ini, Semuanya Demi Keselamatan Anak!. https://my.theasianparent.com/katil-baby. Accessed June 13, 2019.

 

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Jangan Panik Bayi Demam Panas Tengah Malam, Ibu Ayah Cuba 5 Petua Ini Dahulu!

Ibu Alami Bengkak Susu, Boleh Cuba Sendiri Petua Orang Lama Ini Di Rumah!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan