Setiap pasangan suami isteri, masing-masing mengharapkan kelahiran cahaya mata yang normal dan sihat. Namun, tidak semua berpeluang memiliki kelahiran seperti yang disangka. Ada pasangan yang mungkin ditakdirkan akan memiliki anak pramatang.
Ikuti perkara-perkara yang perlu anda tahu seperti berikut jika melahirkan bayi pramatang.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Ciri-ciri anak pramatang
Sekiranya anda memiliki bayi pramatang, dia mungkin tidak kelihatan atau berkelakuan seperti bayi yang lain. Antara ciri-ciri bayi pramatang adalah:
- Sekiranya purata bayi lain mempunyai berat sekitar 3.17 kg, bayi pramatang mungkin mempunyai berat sekitar 2.26 kg atau mungkin juga kurang daripada itu
- Saiz tubuhnya juga adalah lebih kecil. Memandangkan jumlah lemak yang dimilikinya juga adalah sangat sedikit, kulitnya juga mungkin kelihatan agak nipis sehingga boleh menampakkan salur dan pembuluh darah
- Semakin awal bayi anda dilahirkan, maka saiznya akan menjadi semakin kecil, dan kepalanya pula akan kelihatan lebih besar. Ini disebabkan oleh saiz tubuhnya yang kelihatan sangat kecil. Lemak tubuh yang dimilikinya juga semakin berkurangan
- Bayi pramatang juga akan mempunyai bulu halus yang disebut sebagai lanugo di bahagian belakang tubuh dan bahu
- Tubuhnya akan kelihatan sedikit bertulang berbanding bayi normal yang mungkin kelihatan lebih gebu pada kebiasannya. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana bayi pramatang juga akan mengalami perkembangan dan mempunyai ciri yang sama dengan bayi yang normal lain kelak
- Memandangkan bayi yang dilahirkan secara pramatang ini tidak mempunyai lapisan lemak pelindung, bayi tersebut akan menjadi sejuk walaupun dalam suhu bilik yang normal. Bayi akan diletakkan di dalam inkubator sejurus selepas dilahirkan atau di bawah sejenis alat pemanas khas yang disebut sebagai pemanas cahaya. Melalui kaedah ini, suhu boleh dilaraskan untuk memastikan bayi mendapat suhu yang bersesuaian
Bagaimana bayi pramatang berkelakuan?
Bayi pramatang juga akan berkelakuan sedikit berbeza berbanding bayi normal yang lain. Antara kelakuan yang mungkin anda boleh perhatikan ialah:
- Bayi pramatang akan menangis dengan lebih perlahan dan mungkin akan mengalami sedikit masalah pernafasan. Ini adalah disebabkan oleh sistem pernafasannya yang masih tidak matang
- Sekiranya anak pramatang anda dilahirkan dua bulan lebih awal daripada biasa, masalah pernafasan yang dialaminya boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kerana organ tubuh badannya yang lain tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Untuk memastikan agar masalah ini tidak berlaku, doktor akan memantaunya dengan lebih teliti dan melihat bagaimana dia bernafas bersama-sama kadar degupan jantung.
- Sekiranya anak pramatang ini memerlukan bantuan pernafasan, dia mungkin akan diberikan bantuan oksigen tambahan, atau alat khas seperti ventilator. Berkemungkinan juga teknik bantuan pernafasan yang lain yang dipanggil CPAP (continued positive airway pressure) akan digunakan untuk sementara waktu bagi menyokong pernafasannya
Baca juga: