backup og meta

Masalah Pusat Bayi Timbul Boleh Dirawat Dengan Cara Ini, Penting Elak Komplikasi!

Masalah Pusat Bayi Timbul Boleh Dirawat Dengan Cara Ini, Penting Elak Komplikasi!

Terkejut melihat pusat bayi timbul? Tenang ibu, itu adalah keadaan yang dikenali sebagai hernia umbilikus. Baca selanjutnya untuk lebih pemahaman.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Masalah pusat bayi timbul

Benjolan yang tidak normal pada pusat ini dalam istilah perubatannya disebut sebagai hernia umbilikus (umbilical hernia).

Tetapi kenapa pusat bayi timbul? Ia berkembang apabila sebahagian daripada lapisan perut, bahagian usus, dan/atau cecair daripada perut melalui otot dinding perut.

Masalah hernia atau lebih dikenali dengan jolokan angin pasang ini boleh terjadi kepada bayi lelaki atau perempuan. Namun bayi dengan berat lahir rendah dan bayi pramatang antara yang berisiko besar mengalami keadaan ini.

Selain itu, bayi baru lahir dan berusia kurang daripada 6 bulan adalah kumpulan paling kerap mengalami keadaan ini. Walau bagaimanapun, ia juga boleh berlaku kepada kanak-kanak lebih berusia dan individu dewasa.

Masalah angin pasang dewasa sering berlaku dari masa ke masa apabila tekanan perut meningkat.  

Selalunya keadaan angin pasang ini tidak akan menyebabkan sebarang masalah.

Dalam kes yang sangat jarang berlaku, organ di dalam perut terperangkap (incarcerated) di dalam kantung hernia. Ia sekali gus menyebabkan muncul benjolan walaupun si kecil berada dalam keadaan tenang. Situasi ini disebut sebagai angin pasang tidak surut.

pusat bayi timbul

Situasi angin pasang terbelit (strangulated) juga amat jarang berlaku kepada bayi kecil. Sekiranya ia berlaku, si kecil akan mengalami kesakitan yang teruk. 

Selain bertukar kemerahan, pusatnya juga mungkin akan menjadi sangat sensitif terhadap sentuhan.

Si kecil juga berkemungkinan akan mengalami demam, muntah atau tidak mahu menyusu. Jika keadaan itu terjadi, pastikan anda membawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor segera.

Simptom hernia umbilikus 

Masalah angin pasang ini boleh dilihat selepas tunggul tali pusat jatuh – iaitu dalam masa beberapa minggu selepas kelahiran. Ada juga kanak-kanak yang mengalami hernia apabila lebih tua.

Apabila anak mengalami angin pasang:

  • Anda mungkin melibat benjolan lembut di bawah kulit pusat
  • Doktor boleh menolak benjolan ke dalam
  • Benjolan akan lebih mudah dilihat semasa anak duduk, berdiri tegak atau menegangkan otot perut semasa menangis, batuk atau membuang air besar

Kebanyakan kanak-kanak tidak merasa sakit akibat hernia. Namun jika anak muntah, sakit atau perut membengkak, lakukan pemeriksaan doktor segera.

Baca juga:

Merawat masalah pusat bayi timbul

Kebanyakan masalah angin pasang tidak memerlukan sebarang rawatan. Ia biasanya sembuh sendiri apabila anak berumur 4 atau 5 tahun.

Jika sebaliknya, benjolan tersebut biasanya akan mengecil dan dapat memudahkan prosedur pembedahan.

Doktor biasanya akan mencadangkan pembedahan jika hernia umbilikus:

  • Menyakitkan
  • Saiz benjolan lebih besar daripada ½ hingga ¾ inci
  • Besar dan tidak mengecil dalam tempoh 2 tahun pertama kehidupan
  • Menyekat usus 

Prosedur pembedahan itu biasanya dilakukan di hospital dan hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Anak akan diberi bius dan berada dalam keadaan tidak sedar.

pusat bayi timbul

Semasa pembedahan:

  1. Membuat potongan kecil pada kulit.
  2. Menggerakkan usus kembali ke tempatnya.
  3. Menutup lubang atau bahagian lemah pada otot dengan jahitan.
  4. Menutup potongan dengan jahitan yang boleh diserap di bawah kulit dan tape strips. Ia biasanya gugur sendiri dalam tempoh 7-10 hari.

Selepas pembedahan 

Ubat tahan sakit tanpa preskripsi boleh membantu anak berasa lebih baik selepas prosedur pembedahan.

Di rumah, anda boleh menolak hernia masuk semula, tetapi jangan meletakkan pita atau sebarang item pada hernia untuk menahannya. Ia tidak membantu bahkan meningkatkan risiko jangkitan.

Lawatan susulan biasanya akan dilakukan dalam tempoh 2 hingga 4 minggu selepas pembedahan.

Anda perlu membawa anak untuk pemeriksaan doktor segera jika mereka mengalami:

  • Demam
  • Kemerahan, bengkak atau sakit
  • Benjolan dekat pusat
  • Darah atau cecair berbau berhampiran luka
  • Loya, muntah, cirit-birit atau sembelit yang tidak berkurangan

pusat bayi timbul

Komplikasi pusat bayi timbul 

Komplikasi hernia umbilikus jarang berlaku. Jika berlaku angin pasang tidak surut, tisu badan boleh mula mati atau mengakibatkan kesakitan.

Ini adalah komplikasi serius yang boleh menyebabkan jangkitan pada rongga perut dan kematian!

Akhir kata 

Sering kali masalah pusat bayi timbul akan hilang dengan sendirinya apabila mereka mencecah usia 2 tahun. 

Tempoh penyembuhan daripada prosedur pembedahan hernia adalah bergantung kepada saiz dan tahap kesukaran pembedahan.

Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau pertanyaan lanjut mengenai keadaan angin pasang ini, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.

[embed-health-tool-baby-poop-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Umbilical Hernia in Children. https://myhealth.alberta.ca/Health/Pages/conditions.aspx?hwid=tp17785, Accessed on April 25, 2023
  2. Umbilical Hernia. https://www.cincinnatichildrens.org/health/u/umbilical-hernia, Accessed on April 25, 2023
  3. Umbilical Hernias. https://kidshealth.org/en/parents/umbilical-hernias.html, Accessed on April 25, 2023
  4. Umbilical hernia. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/umbilical-hernia/symptoms-causes/syc-20378685#:, Accessed on April 25, 2023
  5. Umbilical Hernia: When Should You Worry? https://www.nationwidechildrens.org/family-resources-education/700childrens/2017/06/umbilical-hernia-when-should-you-worry, Accessed on April 25, 2023 
  6. Umbilical Hernia in Babies & Children. https://www.healthychildren.org/English/health-issues/conditions/abdominal/Pages/umbilical-hernia-in-children.aspx, Accessed on April 25, 2023  

Versi Terbaru

09/05/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Badan Bayi Panas Tanda Demam? Ini Suhu Normal Bayi Yang Harus Ibu Pantau

Baby Tak Berak Sebab Sembelit? Ini 6 Cara Mak Ayah Boleh Buat Untuk Atasinya


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/05/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan