Apabila mula menyusu, ketahuilah bahawa penyusuan badan tidak sepatutnya menyakitkan. Beri perhatian kepada bagaimana mulut bayi anda melekap pada payudara. Mulutnya harus terbuka besar menutup bahagian areola di bawah puting, dan puting anda seharusnya masuk jauh ke dalam mulut bayi.
Berapa kerapkah anda patut menyusu
Anda patut menyusu sekerap yang boleh. Lebih kerap anda menyusu, lebih banyak susu yang terhasil. Apabila bayi anda menyusu dengan baik dan kerap, anda tidak perlu menambah makanan sampingan atau cecair lain, sekalipun air kosong.
Lebih baik untuk anda melihat tanda bayi mahu menyusu berbanding menetapkan masa mengikut jam. Tanda-tanda bayi ingin menyusu termasuklah pergerakan menghisap dengan mulut, menjilat bibir atau meletakkan tangan pada mulut. Menangis adalah tanda kelaparan yang terakhir – anda sepatutnya mula menyusukan bayi anda sebelum dia menangis. Bayi perlu menyusu dengan kerap pada minggu-minggu pertama – 8 kali atau lebih dalam masa 24 jam. Menyusu 8 hingga 12 kali setiap 24 jam ialah target yang sesuai. Ini memastikan penghasilan susu yang berterusan dan bayi anda memperoleh pertambahan berat badan sewaktu minggu kedua.
Sewaktu beberapa hari yang pertama, anda mungkin perlu mengejutkan bayi anda dengan lembut untuk mula menyusu, dan bayi anda mungkin tertidur sewaktu separuh jalan dalam penyusuan. Untuk memastikan bayi anda menyusu dengan mencukupi, kejutkan bayi anda jika telah hampir 4 jam daripada waktu terakhir bayi menyusu.
Bagaimana memastikan keselesaan
Apabila anda telah memastikan bayi di posisi yang sesuai, segala aspek lain penyusuan akan dipermudahkan. Jika anda memegang bayi dengan salah atau atau bayi anda tidak melekap dengan betul, ini boleh menyebabkan luka pada puting.
Memandangkan penyusuan boleh memakan masa hingga 40 minit, terutamanya untuk bayi yang baru lahir, pilih tempat yang selesa untuk penyusuan. Dukung bayi anda dalam posisi yang tidak menyebabkan tangan dan belakang badan anda sakit. Walaupun menyokong belakang kepala bayi anda selalunya berkesan, tetapi anda patut memilih posisi yang selesa bagi diri anda.
Jika anda sedang duduk, bantal penyusuan sangat membantu menyokong bayi anda. Ramai ibu yang mendapati bangku kaki juga membantu mereka merasa selesa. Sama ada anda sedang duduk atau berbaring, jangan mula menyusu sehingga anda dan bayi selesa kerana anda akan berada dalam posisi tersebut sepanjang penyusuan.
Hello Health Group tidak menyediakan khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen