Bayi sering dikaitkan dengan kulit lembut, licin dengan bau yang boleh menyebabkan ketagihan. Tetapi realitinya, ia boleh menjadi kering dan sensitif. Jadi adakah terdapat tips penjagaan bayi baru lahir perlu diketahui?
Kulit bayi yang baru dilahirkan sangat lembut dan halus – begitu jugalah dengan sistem imun mereka.
Sememangnya si comel ada sempurna seadanya, cuma kulitnya agak sensitif dan mereka terdedah pada kerengsaan kulit dalam tempoh beberapa bulan pertama.
Terdapat pelbagai faktor dan punca yang boleh menyebabkan bayi mengalami ruam, kegatalan atau kulit kering.
Berikut antara petua penjagaan kulit bayi yang boleh anda lakukan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tips penjagaan bayi baru lahir
Kelahiran bayi tidak disertakan dengan buku panduan.
Jadi keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan banyak persoalan terutamanya buat anda yang pertama kali memegang gelaran ibu ayah.
Umumnya, bayi yang baru lahir mempunyai keadaan kulit agak berkedut dengan lapisan pelindung disebut sebagai vernix.
Lapisan ini akan menggelupas secara semula jadi pada minggu pertama selepas dilahirkan dan tak perlu sapu losyen atau krim.
Selain itu, tips penjagaan bayi baru lahir yang perlu anda ketahui adalah kulit mereka sangat sensitif.
Malah, kehadiran ruam adalah perkara biasa dalam tahun pertama kehidupan mereka.
Masalah kulit bayi
Ruam bayi boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor. Namun, ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.
Kebanyakan ruam kulit akan hilang dengan sendiri atau mungkin memerlukan sedikit bantuan preskripsi ubat daripada doktor.
Jika ruam yang dialami si comel tidak mengganggu, ia tidak perlu dirisaukan.
Tetapi sekiranya anda berasa khuatir, tiada salah untuk melakukan pemeriksaan doktor.
Walau apa pun, elakkan bayi pakaian yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa sehingga keadaan kulit mereka pulih seperti sedia kala.
Tips penjagaan bayi: Cradle Cap
Merupakan keadaan kulit yang menyebabkan tompok bersisik dan berkerak atau berminyak pada kulit kepala si manja.
Ia tidak menyakitkan atau menyebabkan kegatalan.
Tetapi tompokan berkerak berwarna putih atau kuning tebal agak sukar untuk ditanggalkan.
Ia berlaku kerana pengeluaran sebum yang berlebihan dan biasanya hilang dengan sendiri dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.
Paling penting, ibu jangan cuba mengopeknya!
Jika keadaan kulit semakin teruk, doktor mungkin akan mengesyorkan penggunaan syampu atau losyen berubat mahupun rawatan tertentu lain.
Kulit kering
Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, kulit bayi sangat sensitif dan menghasilkan minyak pelembap yang sedikit.
Ini sekali gus menjadikan kulit mudah kering yang disebabkan oleh udara sejuk atau kering, mandian air panas, wangian daripada losyen serta sabun atau bahan pencuci.
Kulit bayi dengan masalah kekeringan ini akan tampak kasar, tegang atau menggelupas.
Adakalanya ia mungkin menjadi kemerahan dan menyebabkan kegatalan.
Tompok Mongolia
Melihat tompok biru atau biru-kelabu pada kulit si manja mungkin menyebabkan kerisauan, terutamanya jika ia tidak hilang.
Tetapi tompokan seakan lebam ini adalah tanda lahir atau istilah perubatannya congenital dermal melanocytosis.
Ia biasanya muncul pada sekitar belakang badan, punggung atau bahu bayi.
Baca juga:
https://wp.hellodoktor.com/keibubapaan/bayi/bayi-kulit-sensitif/
4 tips penjagaan bayi
Berikut panduan penjagaan dan cara untuk melindungi kulit bayi baru lahir:
Perlindungan daripada sinar matahari
Bayi sebaiknya dilindungi daripada sinaran matahari secara langsung sehingga mereka berusia 6 bulan.
Jika perlu berada di luar dengan cuaca terik, pakaikan bayi pakaian yang boleh melindungi kulit mereka.
Ini termasuklah topi dengan kelebaran yang bersesuaian untuk melindungi wajah comel mereka daripada kepanasan.
Pastikan mereka turut dipakaikan baju berlengan dan seluar panjang tetapi pastikan ia daripada material yang tidak panas.
Sekiranya perlu, pakaikan juga stokin!
Anda juga boleh meletakkan sedikit pelindung matahari yang bersesuaian untuk bayi di bawah 6 bulan.
Tips penjagaan bayi: Perlindungan daripada gigitan pepijat
Kulit bayi merupakan antara sasaran kegemaran nyamuk.
Jadi pakaian yang sama untuk melindungi si manja daripada matahari juga dapat memberikan perlindungan sasaran serangga.
Sebaiknya, ketika waktu awal pagi atau senja, pastikan bayi berada di dalam rumah.
Penjagaan bayi baru lahir: Kekerapan untuk mandi
Antara tips penjagaan bayi baru lahir adalah anda tidak perlu memandikan mereka setiap hari.
Ia boleh menyebabkan kulit si manja menjadi kering.
Paling penting, keadaan si manja tidak kotor sehingga memerlukannya untuk mandi.
Kecuali apabila mereka sudah belajar merangkak dan mengambil makanan pejal.
Jika tidak, mandikan bayi untuk 2 atau 3 kali seminggu dengan sabun dan syampu yang bersesuaian.
Ketika mandi, pastikan anda mencuci bahagian mulut, lipatan kulit dan kawasan lampin.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Cuci pakaian baharu
Pakaian baru memang nampak cantik dan bersih, bukan?
Tetapi jangan sesekali memakaikan si manja pakaian baharu belum dibasuh, kerana kita tidak tahu siapa yang memegang atau mengendalikannya sebelum anda.
Sebaiknya basuh ia dengan pencuci yang dikhaskan untuk bayi, terutamanya jika doktor menyarankan anda untuk menggunakannya.
Tetapi boleh juga menggunakan sabun pencuci biasa yang digunakan untuk membasuh pakaian orang dewasa.
Kesimpulan
Selain daripada menjaga kesihatan si manja, tips penjagaan bayi yang turut perlu diberikan keutamaan adalah melibatkan organ terbesar pada tubuh mereka, iaitu kulit.
Pastikan kulit si kecil sentiasa dalam keadaan bersih, dilap kering dan dielakkan daripada sinaran matahari.
Jika terdapat sebarang keraguan mengenai keadaan kulit anak, lakukan pemeriksaan doktor untuk lebih kepastian.