Boleh Cuba Cara Ini Kalau Anda Syak Anak Tertelan Duit Syiling, Jangan Panik!
Bagaikan tercabut jantung sekiranya mengetahui anak tertelan duit syiling, betul tak? Semoga dijauhkan daripada berlaku. Tetapi apa yang perlu anda lakukan jika berdepan situasi tersebut?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tertelan duit syiling
Bayi belajar mengenali dunia dengan menyentuh, merasa dan memasukkan sesuatu ke dalam mulut mereka.
Kilauan logam yang bersinar daripada syiling, butang atau bateri pasti mampu menarik perhatian mereka. Oleh kerana mereka suka merasai segalanya, maka benda asing seperti itu pasti akan terus dimasukkan ke mulut.
Anak pastinya akan berasa gembira apabila berjaya menelan sesuatu benda asing dan tanpa rasa bimbang. Sebaliknya, sebagai ibu bapa, kita pastinya dilanda ketakutan “Apa yang perlu dilakukan sekarang?”
Simptom anak tertelan duit syiling
Secara automatik anda pastinya akan berada dalam keadaan panik jika si kecil tertelan duit syiling atau sebarang benda asing lain.
80 hingga 90% kes, syiling akan keluar dengan sendirinya melalui sistem pencernaan tanpa menjejaskan kerongkong si kecil kerana bahagian tepinya yang bulat, dalam tempoh masa satu atau dua hari.

Walau bagaimanapun, jika syiling terperangkap dalam perut, ia adalah situasi berisiko dan perlu dipandang serius.
Jika syiling atau sebarang benda asing tersangkut pada esofagus (kerongkong), berikut adalah tanda anak tertelan benda yang perlu anda kenal pasti:
- Air liur berterusan meleleh
- Kesukaran menelan
- Muntah-muntah
- Sakit perut atau perut meragam
- Terasa sesuatu tersekat pada tekak
- Demam
- Sukar bercakap atau menangis
Ada kalanya, duit syiling atau benda asing mungkin tersekat, tetapi si kecil masih boleh terus menelan dan makan tanpa mengalami sebarang kesukaran.
Dalam situasi sebegitu –
- Anak akan batuk berterusan
- Syiling atau benda asing yang tersekat boleh mengakibatkan keradangan dan kerengsaan pada tisu esofagus dan menyebabkan luka atau pecah (ruptured), sekali gus menimbulkan situasi berpotensi berbahaya
Sekiranya si kecil tampak sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom, anda boleh menunggu sehingga syiling atau benda asing itu keluar dengan sendirinya melalui najis.
Pun begitu anda amat disarankan untuk berunding dengan pakar pediatrik bagi mendapatkan lebih kepastian mengenai keadaan si kecil.
Dalam masa sama, jangan memberi sebarang julap (laksatif) kepada si kecil untuk mempercepatkan proses penyingkiran kerana ia mungkin tidak membantu. Elakkan juga memaksa anak untuk makan.
Bantuan kecemasan yang boleh dilakukan
Jika terdapat sebarang gejala syiling atau objek asing tersekat, JANGAN:
- Cuba buat anak muntah
- Beri anak sebarang makanan atau minuman
Anda boleh lakukan langkah berikut jika anak tertelan duit syiling atau benda asing yang lembut, licin, kecil dan tidak beracun:
- Periksa najisnya untuk dua hingga tiga hari akan datang. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan najis di dalam penapis dan menyemburnya dengan air panas. Ini membolehkan anda memastikan objek asing yang ditelan telah dikeluarkan
- Suapkan anak dengan makanan lembut dan berserat. Pisang adalah pilihan terbaik apabila anda mahukan sistem pergerakan usus mereka bergerak lebih pantas
- Pastikan anak minum banyak air, untuk memastikan mereka kekal terhidrat. Badan yang terhidrat berfungsi dengan baik dan tidak akan menghadapi masalah untuk pergerakan usus dengan syiling atau benda asing di dalamnya
Langkah rawatan
Jika syiling atau objek asing tidak keluar walaupun selepas melakukan semua langkah yang dinyatakan di atas dan kekal dalam badan untuk tempoh lebih daripada 48 jam, sudah tiba masanya untuk pergi ke hospital.
Ini wajib walaupun anak tidak menunjukkan sebarang keresahan.
- Doktor akan mengesan kedudukan tepat syiling atau benda asing pada anak dengan X-ray
- Doktor mungkin akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat – iaitu jika anak tidak menunjukkan sebarang tanda bahaya yang disebutkan di atas
- Doktor mungkin mencadangkan beberapa ubat untuk membantu anak mengeluarkan duit syiling atau objek asing
- Sekiranya masih tidak keluar, beberapa prosedur perubatan akan disarankan doktor bagi membolehkan duit syiling atau objek asing dikeluarkan dengan selamat
Prosedur perubatan jika tertelan duit syiling
Biasanya prosedur pembedahan tidak diperlukan untuk mengeluarkan duit syiling atau benda asing yang ditelan si kecil.
Ini terutamanya jika ia bukanlah objek tajam dan secara normalnya tidak akan menyebabkan sebarang kerosakan atau menusuk saluran gastrointestinal (GI) anak. Ia akan disingkirkan daripada badan melalui najis.
Pun begitu, jika ia tersangkut pada esofagus, doktor perlu mengeluarkannya melalui prosedur endoskopik.

Endoskop adalah tiub panjang dan fleksibel dengan kamera bercahaya. Ia juga mempunyai saluran untuk memasukkan instrumen.
Semasa prosedur, doktor akan memasukkan endoskop ke dalam mulut dan melalui esofagus.
Dengan bantuan kamera yang menyala, doktor akan mencari kedudukan benda asing. Sebaik sahaja ia dikesan, doktor akan memasukkan instrumen melalui saluran endoskop dan mengeluarkannya.
Bergantung pada saiz dan kedudukan benda asing, doktor juga boleh memilih untuk menolaknnya ke dalam perut supaya ia dikeluarkan melalui najis.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran dan panduan sekiranya situasi anak tertelan duit syiling ini berlaku kepada anda.
