Memperkenalkan makanan kepada bayi anda di samping pengambilan susu badan atau susu formula biasanya bermula apabila anak anda berumur 6 bulan. Sebelum usia 6 bulan, anak anda memperoleh semua nutrien yang mereka perlukan daripada susu ibu, jadi mereka tidak perlu diperkenalkan kepada makanan pejal dalam diet mereka. Walau bagaimanapun, anda perlu terus memberikan susu formula (jika mereka menyusu susu formula) sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya satu tahun.
Kenapa saya perlu elak memperkenalkan makanan terlalu awal?
Sama seperti ibu bapa yang lain, anda akan dinasihatkan untuk memperkenalkan makanan kepada bayi anda pada sekitar usia enam bulan. Jika anda mula memperkenalkan makanan lebih awal daripada ini, terdapat beberapa masalah yang mungkin muncul, termasuklah:
- Sistem pencernaan dan buah pinggang anak anda belum cukup berkembang untuk memproses makanan pejal. Memperkenalkan makanan pejal kepada anak anda mungkin menyebabkan masalah pencernaan, seperti cirit-birit dan penyakit seliak (coeliac). Penyakit seliak berlaku apabila badan tidak dapat memproses gluten, bahan yang terdapat dalam gandum dan bijirin lain.
- Sewaktu anak anda berusia kurang daripada 6 bulan, susu ibu atau susu formula sudah cukup untuk memberi mereka nutrien yang diperlukan.
- Tidak ada manfaat kesihatan positif jika bayi anda diperkenalkan kepada makanan terlalu awal. Malah, bayi anda masih mempunyai refleks lidah jika mereka berusia kurang dari 6 bulan. Refleks ini membuatkan mereka menolak sebarang makanan dalam mulut mereka. Sebelum anda memperkenalkan makanan, bayi anda perlu sudah hilang refleks ini agar mereka boleh memakan makanan pejal. Refleks selalunya mula berkurangan antara empat dan enam bulan.
- Risiko bayi anda mengalami jangkitan dan alahan yang boleh meningkatkan risiko masalah pencernaan dan obesiti di kemudiah hari. Bayi anda mungkin akan mengalami masalah kulit kerana peningkatan risiko masalah kulit seperti ekzema. Ekzema menyebabkan kulit kering, merah dan gatal-gatal.
- Peningkatan berat badan yang berlebihan: Bayi anda berisiko untuk bertambah berat badan secara berlebihan apabila dewasa.
Satu lagi sebab kukuh untuk menunggu hingga enam bulan adalah disebabkan proses memperkenalkan makanan akan menjadi lebih cepat dan lebih mudah. Pada usia ini, bayi anda mungkin sudah boleh duduk pada kerusinya, mengambil makanan dengan mudah dari sudu dan / atau mengambil dan memegang makanan untuk makan sendiri.
Disebabkan alasan yang kukuh ini, dan disebabkan anda boleh menawarkan mereka pelbagai jenis makanan pada usia ini, anda boleh segera memperkenalkan diet yang pelbagai. Sebaliknya, jika anda bermula lebih awal daripada enam bulan, anda akan mula dengan lebih perlahan dan berhati-hati serta jenis makanan yang boleh anda berikan kepada bayi anda adalah terhad.
Jangan terkeliru dengan ‘tanda-tanda palsu’ bayi bersedia untuk makanan pejal
Terdapat beberapa perkara yang selalu dilakukan semua bayi sewaktu usia ini yang sering kali disalah tafsir sebagai tanda bersedia untuk makanan pejal. Oleh itu, jika bayi anda melakukan perkara yang berikut, anda tidak boleh terus segera memberikan makanan pejal, melainkan jika anda dapat mengenal pasti tanda-tanda kesediaan yang betul.
- Mengunyah tangan. Hampir semua bayi suka menyumbat mulut mereka dengan mainan, selimut mahupun buku lima mereka. Ini salah satu cara mereka belajar tentang dunia di sekeliling mereka. Oleh itu, mengunyah tangan sendiri bukanlah tanda keinginan untuk memakan makanan pejal.
- Bangun pada waktu malam. Walaupun bayi anda kebiasaannya tidur nyenyak dan baru sekarang mula bangun pada waktu malam, ini tidak bermakna sudah tiba masanya memperkenalkan makanan pejal. Tidak ada bukti bahawa pemberian makanan boleh membuat bayi anda kembali nyenyak tidur.
- Ingin menyusu badan lebih banyak. Adalah biasa bagi bayi anda untuk melalui tempoh pertumbuhan di mana mereka akan menjadi sangat lapar. Berikan mereka lebih banyak susu, bukannya memberikan makanan pejal.
Bagaimana untuk memperkenalkan makanan kepada bayi anda?
Seperti semua pengalaman baru yang akan anda lalui dengan bayi anda, sebaiknya mula secara perlahan-lahan dan mengikut rentak yang sesuai dengan anda. Ingat, ini bukan satu perlumbaan, jadi mula secara perlahan dengan satu makanan pejal sehari kemudian sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makanan ringan menjelang usia mereka setahun. Sesetengah bayi akan mengambil masa yang lama untuk melalui proses ini berbanding yang lain.
Anda tidak perlu membeli makanan khas untuk bayi anda. Terdapat banyak makanan harian yang sesuai. Ini termasuklah:
- Nasi dicampur dengan susu bayi anda
- Sayur-sayuran yang dimasak dan dilecek seperti kentang, keledek, lobak merah, atau kobis
- Pisang yang dikupas dan dilecek
- Buah yang dikupas, dimasak dan dilecek, seperti epal atau pir.
Jika anda memutuskan untuk memperkenalkan makanan lebih awal, terdapat beberapa perkara yang perlu anda awasi:
- Semua peralatan makan, termasuk mangkuk dan sudu perlu disterilkan.
- Bayi yang masih kecil memerlukan puri makanan dan makanan tertentu perlu dielakkan.
- Semua makanan perlu dalam bentuk puri dengan konsistensi halus sempurna, sehingga bayi anda berumur 6 bulan. Ini boleh menjadikannya lebih sukar untuk beralih kepada makanan yang dilecek, atau makanan dengan rasa pejal.
- Sekiranya mereka berusia bawah 6 bulan, anda perlu memberi mereka makan dari kerusi bayi atau semasa duduk di atas pangkuan anda, atau duduk dengan disokong oleh bantal di atas lantai.
- Jangan berikan mereka makanan berikut sehingga mencapai usia 6 bulan. Ini kerana makanan berikut mungkin boleh mencetuskan perkembangan alahan makanan:
- Sebarang makanan yang mengandungi gandum atau gluten seperti tepung gandum, roti, bijirin yang diperbuat daripada gandum, rusk (biskut balak/ biskut lutut), spageti atau pasta lain.
- Kacang, termasuk kacang tanah dan produk kacang tanah;
- Benih;
- Hati
- Telur
- Ikan dan kerang
- Madu (harus dielakkan sehingga 12 bulan)
- Susu lembu
- Makanan lembut yang tidak dipasteurkan
- Elakkan menambah garam atau gula untuk makanan bayi anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]