brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Bengkak Susu Tak Surut-Surut? Jangan Buat 3 Kesilapan Ini!

Masalah bengkak susu boleh menyebabkan payudara terasa keras, tegang dan menyakitkan, sekali gus menyukarkan ibu untuk menyusukan bayi.

Bengkak Susu Tak Surut-Surut? Jangan Buat 3 Kesilapan Ini!

Keadaan ini sering berlaku pada awal tempoh penyusuan, terutama apabila penghasilan susu meningkat selepas bersalin.

Jadi, kenapa jadi bengkak susu dan bagaimana cara untuk mengurangkan ketidakselesaan yang dialami? Jom ketahui punca, simptom dan langkah yang boleh membantu.

Apa itu masalah bengkak susu?

Bengkak susu atau breast engorgement berlaku apabila payudara menjadi terlalu penuh, disertai pengumpulan cecair dan peningkatan aliran darah pada tisu payudara.

Keadaan ini boleh menyebabkan payudara membengkak, mengeras dan terasa sakit.

Kenapa jadi bengkak susu?

Antara faktor yang boleh menyumbang kepada keadaan ini ialah:

  • Penghasilan susu meningkat selepas bersalin.
  • Bayi tidak menyusu dengan berkesan atau sukar melekap pada payudara.
  • Sesi penyusuan atau pemerahan susu tertangguh.
  • Perubahan mendadak pada kekerapan penyusuan.

Masalah bengkak susu boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua payudara, terutama pada hari-hari awal selepas kelahiran.

Simptom bengkak susu yang perlu ibu tahu

Antara simptom bengkak susu yang biasa dialami ialah:
  • Payudara terasa penuh, keras, tegang atau sakit.
  • Kulit payudara kelihatan tegang dan mungkin terasa hangat.
  • Puting atau areola membengkak sehingga menyukarkan bayi melekap.
  • Bengkak atau ketidakselesaan boleh merebak ke kawasan ketiak.
Sesetengah ibu juga mungkin mengalami sedikit peningkatan suhu badan.

Namun, jika payudara menjadi sangat merah, panas dan sakit, terutama apabila disertai demam atau menggigil, keadaan ini mungkin menandakan mastitis yang memerlukan pemeriksaan doktor.

Bagaimana cara menghilangkan bengkak susu dengan cepat?

Jika anda mengalami masalah bengkak susu, beberapa langkah berikut boleh membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak.

1. Susukan bayi mengikut keperluan

Teruskan penyusuan mengikut tanda bayi lapar dan pastikan bayi melekap dengan betul.

Penyusuan yang berkesan membantu bayi mendapatkan susu serta mengurangkan rasa penuh pada payudara.

2. Tuam payudara dengan kompres sejuk

Gunakan kompres sejuk yang dibalut dengan kain selama kira-kira 10 hingga 20 minit untuk membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan.

Elakkan meletakkan ais secara terus pada kulit.

masalah bengkak susu
Pelbagai cara untuk atasi payudara bengkak.

3. Perah sedikit susu jika perlu

Jika areola terlalu keras sehingga bayi sukar melekap, perah sedikit susu menggunakan tangan untuk melembutkan kawasan tersebut.

Tidak perlu mengosongkan payudara sepenuhnya kerana pemerahan berlebihan boleh merangsang penghasilan susu tambahan.

4. Elakkan urutan yang terlalu kuat

Urutan mendalam atau tekanan kuat pada payudara yang bengkak boleh memburukkan keradangan.

Jika perlu menyentuh kawasan payudara, lakukan dengan sangat lembut dan elakkan memicit benjolan.

5. Pakai coli yang selesa

Pilih coli penyusuan yang memberikan sokongan tanpa terlalu ketat.

Tekanan berlebihan pada payudara boleh menambahkan ketidakselesaan.

6. Dapatkan nasihat tentang ubat tahan sakit

Jika kesakitan mengganggu aktiviti harian, berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat tahan sakit yang sesuai ketika menyusu.

Perkara yang perlu dielakkan ketika merawat bengkak susu

Selain mengetahui cara mengurangkan bengkak, ibu juga perlu mengelakkan beberapa amalan yang boleh memburukkan keadaan.

  • Mengepam susu secara berlebihan: Mengepam lebih banyak daripada keperluan bayi boleh meningkatkan penghasilan susu dan menyebabkan payudara kembali terlalu penuh.
  • Menggunakan haba terlalu lama: Tuaman panas berpanjangan boleh meningkatkan bengkak dan keradangan.
  • Mengurut atau memicit payudara dengan kuat: Tindakan ini boleh mencederakan tisu payudara.

Penggunaan daun kubis sejuk kadangkala digunakan untuk memberikan keselesaan, tetapi bukti bahawa ia lebih berkesan daripada kompres sejuk biasa masih terhad.

Bila perlu berjumpa doktor?

Jangan abaikan masalah bengkak susu jika keadaan semakin teruk.

Dapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami:

  • Demam 38°C atau lebih, menggigil atau rasa seperti selesema.
  • Payudara semakin merah, panas dan menyakitkan.
  • Bengkak atau benjolan yang semakin teruk.
  • Gejala tidak bertambah baik dalam tempoh 12 hingga 24 jam walaupun langkah penjagaan sendiri telah dilakukan.

Gejala tersebut mungkin berkaitan dengan mastitis atau komplikasi lain yang memerlukan rawatan.

Kesimpulan

Masalah bengkak susu boleh menyebabkan ketidakselesaan, terutama pada awal tempoh penyusuan.

Namun, penyusuan yang berkesan, penggunaan kompres sejuk dan mengelakkan pemerahan susu berlebihan boleh membantu mengurangkan gejala.

Jika kesakitan berterusan atau disertai demam dan kemerahan, dapatkan pemeriksaan doktor supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan.

medical
Dr. Joseph Tan
Disemak secara perubatan oleh
Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13 jam lalu