Pengambilan susu harian adalah baik untuk kesihatan, terutamanya bagi wanita mengandung. Tetapi apakah jenis susu untuk ibu hamil diabetes yang sesuai diambil ya? Dalam artikel ini, ada jawapannya…
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan susu untuk ibu hamil
Susu membekalkan kalsium ,vitamin D, asid lemak omega-3 dan protein – gabungan semua ini dapat memastikan ibu kuat sepanjang kehamilan dan membolehkan bayi membesar dengan sihat.
Bekalkan protein
Nutrien penting pada setiap peringkat kehidupan, tetapi amat penting semasa mengandung. Janin sedang berkembang sangat bergantung pada protein untuk membina sel baharu yang sihat.
Keperluan protein semakin meningkat pada peringkat akhir kehamilan – trimester kedua dan ketiga – kerana janin lebih cepat membesar ketika ini.
Kekurangan protein boleh menjejaskan pertumbuhan janin dan menyebabkan berat lahir rendah, peningkatan risiko kematian neonatal serta perkembangan tekanan darah tinggi dan diabetes jenis 2 semasa dewasa.
Tinggi kandungan kalsium
Kalsium mencukupi yang terkandung dalam susu untuk ibu hamil juga penting bagi perkembangan tulang, gigi, jantung, otot dan saraf bayi.
Jika kandungan kalsium tidak mencukupi dalam aliran darah, badan akan menarik kalsium daripada tulang untuk dibekalkan kepada bayi.
Keadaan ini sekali gus meningkatkan risiko anda untuk mendapat osteoporosis atau tulang nipis dan rapuh yang berisiko untuk patah, di kemudian hari.
Tetapi susu bukanlah satu-satunya sumber mineral ini. Anda juga boleh memenuhi keperluan kalsium dengan pengambilan makanan seperti:
- Produk tenusu lain – keju dan yogurt
- Brokoli
- Oren
- Sardin
- Salmon
Baca juga:
Vitamin D
Duo kepada kalsium adalah vitamin D, kerana tanpanya tubuh tidak dapat menyerap jumlah mineral yang diperlukan. Kedua-dua nutrien ini berfungsi memastikan tulang anda kuat, khususnya semasa berbadan dua.
Vitamin D juga memainkan peranan penting dalam menjaga sistem imun agar kekal sihat – bagi menangkis jangkitan dan memastikan anda dan bayi selamat.
Tetapi bagaimana jika ibu hamil itu mengalami kencing manis? Apakah jenis susu untuk ibu hamil diabetes yang sesuai diambil?
Susu untuk ibu hamil diabetes
Susu mempunyai khasiat tersendiri yang bermanfaat kepada tubuh ibu dan bayi dalam kandungan.
Namun bagi wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa mengandung, adalah penting untuk mengimbangi pengambilan karbohidrat sepanjang berbadan dua bagi mendapatkan kehamilan sihat.
Ini kerana pengambilan karbohidrat perlu diambil secara terkawal bagi mengelakkan kenaikan paras gula dalam darah.
Minum terlalu banyak susu untuk ibu hamil diabetes sekali gus boleh meningkatkan paras glukosa secara mendadak. Maka segelas susu setiap hari amat digalakkan bagi mengimbangi pengambilan karbohidrat lain.
Mengurangkan pengambilan karbohidrat tidak disarankan kerana ia membekalkan tenaga kepada tubuh. Sebaliknya mengekalkan keseimbangan adalah perlu bagi mengawal tahap glukosa dalam badan.
Umumnya, jumlah dan masa pengambilan karbohidrat adalah bergantung kepada pelbagai faktor seperti:
- Berapa kerap anda berasa lapar
- Intensiti kelaparan seperti tahap kelaparan dan paras glukosa dalam badan
Tubuh setiap wanita adalah berbeza. Oleh sebab itu, diet dan jenis badan juga mempengaruhi nilai pemakanan serta faedah susu yang diambil.
Di samping itu, kenaikan paras glukosa darah selepas pengambilan susu juga mungkin berbeza berdasarkan faktor seperti:
- Usia
- Sejarah perubatan
- Berat badan
- Sejarah kehamilan terdahulu
Untuk mengetahui sama ada susu selamat untuk diambil bagi wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung atau tidak, anda disarankan untuk memantau paras glukosa darah sebelum dan 1 jam selepas minum segelas susu.
Sekiranya terdapat sebarang kenaikan paras glukosa darah, anda disarankan untuk berjumpa pakar untuk mengelakkan sebarang komplikasi.
Jenis susu untuk ibu hamil diabetes yang sesuai diambil
Anda sudah mengetahui kepentingan susu untuk ibu hamil. Tetapi bagi mereka yang mengalami masalah diabetes, sudah tentu bukan semua susu boleh diminum.
Jadi apakah jenis susu untuk ibu hamil diabetes ya?
Susu penuh krim
Susu penuh krim mengandungi hampir 3.5% kandungan lemak dan 149 kalori secawan. Dalam setiap penyajian secawan susu dianggarkan terdapat sekitar 5 gram lemak tepu.
Susu lembu dipasteur
Pempasteuran adalah proses pemanasan makanan atau minuman yang bertujuan untuk membunuh organisma seperti bakteria. Selain itu, proses ini juga dapat melambatkan pertumbuhan mikrob dalam makanan.
Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mengesyorkan wanita mengandung mengelakkan makanan yang dihasilkan atau mengandungi susu yang tidak melalui proses pasteurisasi ini.
Susu rendah lemak
Merupakan jenis susu untuk ibu hamil diabetes yang paling sesuai dan tepat untuk ambil.
Selain mengandungi nutrien dan zat yang diperlukan, susu ini juga rendah kandungan kalori, sekali gus menjadikan ia pilihan terbaik buat wanita berbadan dua yang mengalami penyakit kencing manis ketika mengandung (GDM).
Disyorkan agar ibu dengan diabetes mengambil susu rendah lemak yang dipasteur supaya kenaikan berat dapat dikawal dan tidak berlebihan daripada skala normal.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]
Boleh ke kalau ibu hamil dengan diabetes mengambil susu yang diformulasikan khusus semasa mengandung?
Umumnya, pengambilan secawan susu yang diformulasi sekali setiap hari tidak akan mendatangkan mudarat bagi ibu hamil tanpa sebarang masalah perubatan.
Walau bagaimanapun, bagi wanita mengandung yang menghidap diabetes gestasi, pengambilan susu formulasi ini adalah tidak digalakkan.
Ini kerana kandungan gulanya boleh menjejaskan kawalan gula dalam badan ibu mengakibatkan ia menjadi tidak terkawal, kesannya menyebabkan hiperglisemia.
Kesimpulan
Anda mungkin bukan kanak-kanak lagi. Tetapi pengambilan susu masih merupakan minuman sihat dan amat penting untuk tumbesaran bayi dalam kandungan.
Kalsium dan protein dalam susu juga boleh membantu mengekalkan tulang anda kuat, lagi-lagi semasa fasa hamil ini!
Pastikan anda menyemak label pemakanan sebelum memilih susu bagi mengurangkan gula yang tidak diperlukan. Ini boleh membantu mengekalkan paras glukosa darah, yang amat penting dalam pemilihan susu untuk ibu hamil diabetes!