backup og meta

Bahaya Jika Ibu Hamil Kurang Zat Besi

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 28/11/2019

    Bahaya Jika Ibu Hamil Kurang Zat Besi

    Simptom seperti kelesuan, keletihan dan lemah badan biasa berlaku kepada ibu hamil. Namun, jangan ambil mudah jika tanda-tanda ini berpanjangan dan teruk. Ini kerana, anda mungkin mengalami masalah kurang zat besi semasa hamil.

    Ibu hamil yang mengalami kurang zat besi boleh membawa kepada anemia kekurangan zat besi.

    Mengapa ibu hamil memerlukan zat besi?

    Zat besi adalah mineral penting yang diperlukan oleh setiap individu bagi menghasilkan hemoglobin (iaitu protein penting dalam sel darah merah yang membawa oksigen kepada organ dan tisu tubuh. Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan kerana tubuhnya menghasilkan lebih banyak darah untuk ibu dan bayi. Jika keperluan zat besi tidak dapat dicapai, mineral ini akan tersimpan di dalam badan. Jika berterusan, simpanan zat besi yang ada akan mula berkurangan, mengakibatkan anda mendapat anemia kekurangan zat besi.

    Simptom-simptom anemia kekurangan zat besi

    Anemia kekurangan zat besi ialah sejenis gangguan darah. Wanita hamil yang mengalami kekurangan zat besi boleh menyebabkan tahap hemoglobin dalam darah menurun, sehingga menyebabkan anemia. Antara simptom-simptom bagi ibu hamil yang mengalami anemia kekurangan zat besi adalah:

    • Keletihan dan kelesuan melampau
    • Kulit, bibir dan kuku pucat
    • Sakit dada
    • Pening kepala
    • Kesukaran memberi tumpuan
    • Jantung berdegup kencang

    Berapa banyak zat besi yang diperlukan oleh wanita hamil?

    Keperluan zat besi bagi wanita hamil adalah dua kali ganda daripada keperluan zat besi untuk wanita yang tidak hamil. Tubuh anda memerlukan zat besi untuk membuat lebih banyak darah bagi membekalkan oksigen kepada bayi dalam kandungan anda. Jumlah zat besi yang disarankan untuk wanita hamil adalah 27 mg setiap hari, berbanding dengan wanita yang tidak hamil, iaitu 18 mg sehari. Wanita hamil juga memerlukan lebih zat besi untuk mempersiapkan tubuh bagi sebarang kehilangan darah yang mungkin berlaku semasa proses kelahiran.

    Risiko jika anemia kekurangan zat besi tidak dirawat

    Normal untuk wanita hamil mengalami anemia ringan. Akan tetapi, anda mungkin mengalami anemia teruk yang memberikan risiko kepada kehamilan anda. Anemia kekurangan zat besi jika tidak dirawat boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang, bayi lahir dengan berat badan rendah dan ibu mengalami kemurungan selepas bersalin. Malahan, ada beberapa kajian yang menunjukkan anemia teruk meningkatkan risiko bayi segera mati sebelum atau selepas dilahirkan.

    Cara mencegah dan merawat anemia kekurangan zat besi semasa hamil

    Setiap ibu hamil perlu mengambil vitamin pranatal. Lazimnya, vitamin pranatal mengandungi zat besi. Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, doktor anda mungkin akan menyarankan anda mengambil suplemen zat besi berasingan.

    Selain itu, pengambilan pemakanan yang baik juga boleh membantu mencegah masalah anemia kekurangan zat besi. Sumber baik zat besi boleh didapati dalam daging pejal, ayam itik dan ikan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan bijirin sarapan pagi yang diperkuat dengan zat besi dan jus prun.

    Elakkan pengambilan zat besi bersama kalsium. Ini kerana, penyerapan zat besi dalam tubuh mudah terhalang jika anda mengambilnya bersama dengan kalsium. Pengambilan vitamin C juga dapat membantu penyerapan zat besi dalam tubuh. Anda boleh mengambil suplemen zat besi anda bersama minuman yang kaya dengan vitamin C seperti jus oren.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan