Setiap pasangan suami isteri pasti mahu memiliki sebuah keluarga bahagia yang lengkap dengan kehadiran cahaya mata. Namun begitu, tidak semua mereka bernasib baik ekoran masalah kesuburan yang mungkin dialami oleh pasangan tidak kira lelaki atau wanita.
Bagi wanita, masalah kesuburan yang dialami mungkin disebabkan oleh banyak faktor seperti usia, kecacatan pada telur dan lain-lain. Bagi menyelesaikannya, terdapat banyak jenis rawatan kesuburan yang boleh dilakukan dan antara yang paling popular adalah kaedah IVF.
Pun begitu, sejauh manakah keberkesanan kaedah bayi tabung uji ini terhadap kesuburan wanita? Atau adakah terdapat sebarang cara lain yang lebih efektif? Untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Apa itu IVF?
IVF (in-vitro fertilisation) atau kaedah bayi tabung uji ini adalah teknik persenyawaan yang dilakukan di luar rahim yakni di dalam makmal. Kaedah yang telah diamalkan lebih 30 tahun ini dilakukan dengan cara mengeluarkan telur dari ovari wanita yang telah dsenyawakan dengan sperma lelaki dan dimasukkan kembali ke dalam rahim wanita.
Sejak kali pertama kaedah ini dilakukan pada tahun 1973 oleh Monash IVF, lebih dari 5 juta bayi berjaya disenyawakan dan dilahirkan menerusi teknik ini. Pun begitu, masih ada segelintir kes di mana pasangan yang tidak berjaya mendapatkan bayi walaupun selepas melakukan kaedah ini. Jadi, di manakah silapnya?
Apa punca kaedah IVF tidak berjaya?
Menurut Dr. Helena Lim yang merupakan pakar kesuburan dari KL Fertility & Gynaecology Centre, kadar kejayaan kaedah ini sebenarnya sangat bergantung kepada 4 faktor yang utama iaitu:
- Usia pasangan terutamanya wanita
- Tempoh subkesuburan
- Kualiti serta kuantiti telur dan sperma untuk membentuk embrio
- Kondisi rahim yang kondusif
Menurut beliau lagi, selepas menjalani banyak kali kaedah IVF dan tidak membuahkan apa-apa hasil sudah pasti akan mengecewakan anda dan pasangan. Pun begitu, ia sebenarnya merupakan ruang atau peluang untuk mencari informasi penting terhadap kesuburan anda.
Untuk pengetahuan anda, kaedah bayi tabung uji ini sebenarnya boleh berfungsi sebagai alat diagnostik kesuburan anda. Kaedah ini akan memberi informasi penting seperti tindak balas tubuh badan anda terhadap ubat-ubatan serta kondisi telur, sperma dan embrio anda.
Jadi, apa yang anda perlu lakukan?
Gagal sekali tidak bermaksud gagal selamanya, bukan? Jadi tidak salah untuk anda cuba lagi. Menurut Dr. Helena, ada beberapa aspek yang perlu anda perincikan sebelum mula menjalani kaedah IVF ini yang seterusnya, seperti:
#1. Protokol IVF
Ya, mungkin protokol kaedah ini adalah standard namun tindak balas setiap wanita yang melakukannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan dos ubat yang digunakan. Jadi, protokol ini perlu disesuaikan dengan anda bagi memastikan anda mampu mendapatkan nombor telur berkualiti tinggi yang optimum.
#2. Klinik IVF
Kebanyakan klinik IVF mempunyai standard yang tinggi. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa mungkin terdapat perbezaan dari segi penjagaan kualiti dan operasi yang akan memberi kesan kepada peratusan kejayaannya. Jadi, anda dan pasangan perlu pastikan klinik IVF yang anda bakal kunjungi adalah yang paling anda percayai.
#3. Telur
Hakikatnya, kualiti telur wanita adalah faktor penting kejayaan IVF. Jika ia tidak berkualiti, embrio yang dihasilkannya juga adalah tidak berkualiti. Untuk meningkatkan kualiti telur ini, perubahan gaya hidup perlu dilaksanakan. Ia termasuklah aspek pemakanan, pekerjaan dan juga pengambilan ubat-ubatan alternatif seperti DHEA.
#4. Sperma
Selain telur, sperma juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kejayaan IVF. Oleh itu, jangan hanya meletakkan beban kepada pasangan wanita sahaja. Pasangan lelaki juga perlu ubah segera gaya hidup anda. Paling penting, berhenti dari melakukan tabiat sia-sia seperti menghisap rokok atau meminum alkohol!
#5. Rahim
Paling utama, kondisi rahim wanita perlu berada dalam keadaan yang baik. Mungkin di luar negara, anda boleh melakukan metode “ibu tumpang”. Pun begitu, harus ditekankan di sini bahawa negara kita mengharamkankan metode ini ekoran faktor agama dan kerohanian.
Jadi, lihat kepada faktor lain mengenai rahim yang mungkin akan memberi kesan keberkesanan kaedah IVF seperti polip atau fibroid pada rahim. Jika anda mengalami masalah ini, jangan risau kerana ia boleh diperbetulkan dengan teknologi perubatan terkini.
Konklusinya, kesuburan itu sendiri sebenarnya bermula dari dalam diri anda sendiri. Oleh itu, anda disarankan untuk menjalani gaya hidup yang sihat. Ini merangkumi aspek pemakanan, pekerjaan dan lain-lain. Seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, hindari diri anda dari perbuatan sia-sia seperti menghisap rokok atau meminum alkohol. Fikirkan ini demi kesuburan dan kesejahteraan hidup anda secara keseluruhannya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
[embed-health-tool-due-date]