backup og meta

Wanita Sudah Ada Telur Sejak Lahir? Ini Fakta Menarik Tentang Ovum, Dari Dalam Rahim Sampai Menopaus

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2022

    Wanita Sudah Ada Telur Sejak Lahir? Ini Fakta Menarik Tentang Ovum, Dari Dalam Rahim Sampai Menopaus

    Anda mungkin pernah mendengar istilah ‘jam biologi perempuan’ yang dikaitkan dengan telur wanita, tetapi apa maksud sebenarnya dan pada usia berapa ia bermula?

    Berbeza dengan lelaki yang menghasilkan sejumlah sperma yang hampir sama sepanjang hidupnya, namun lain ceritanya bagi wanita ya!

    Jam biologi seorang wanita

    Tahukah anda, sebenarnya, jumlah telur tertinggi yang seseorang wanita miliki adalah ketika masih dalam rahim ibu!

    Janin perempuan yang berusia 20 minggu mempunyai kira-kira 7 juta telur.

    Oleh itu, adakah bayi perempuan sudah dilahirkan dengan telur?

    Jawapannya, YA! Bayi perempuan mempunyai telur yang belum matang dipanggil oosit.

    Oosit terletak di folikel (kantung berisi cairan yang mengandungi telur yang belum matang) dalam ovari sehingga ia mulai matang.

    Oosit tumbuh menjadi ootid dan berkembang menjadi ovum, atau telur wanita yang sudah matang.

    Semasa anda dilahirkan, jumlah ini telah berkurang menjadi sekitar 2 juta dan pada masa anda mencapai akil baligh dan memulakan kitaran haid anda akan mempunyai sekitar 300,000 hingga 500,000 telur.

    Berapakah bilangan telur wanita yang hilang selepas baligh?

    telur wanita

    Ketika seorang gadis mencapai usia baligh, dia mempunyai antara 300,000 sehingga 400,000 telur.

    Jadi, apakah yang berlaku dengan telur-telur yang lain? Bagi menjawab soalan tersebut, sebelum anda akil baligh, lebih daripada 10,000 telur mati setiap bulan.

    Berita baiknya adalah jumlah telur yang mati setiap bulan berkurang setelah bermulanya kitaran haid.

    Setelah memulakan kitaran haidnya, seorang wanita kehilangan kira-kira 1,000 telur yang belum matang setiap bulan.

    Para saintis juga tidak pasti apa yang mendorong perkara ini berlaku, tetapi mereka tahu ia tidak dipengaruhi oleh kebanyakan perkara yang dapat dikawal atau diubah.

    Ia tidak dipengaruhi oleh sebarang hormon, pil kawalan kelahiran, kehamilan, suplemen pemakanan, kesihatan, atau pengambilan diet pemakanan anda.

    Namun ada beberapa pengecualian, antaranya:

    1. Merokok kerana rokok mempercepat kehilangan telur.

    2. Pesakit kemoterapi dan mereka yang terdedah dengan sinaran tertentu juga boleh mempunyai kesan sampingan yang sama.

    Berapakah bilangan telur wanita yang berusia 30-an dan 40-an?

    Ketika seorang wanita mencapai usia 32, kesuburannya akan mulai menurun dan turun dengan lebih cepat setelah mencecah usia 37 tahun.

    Pada saat dia mencapai umur 40 tahun, sama seperti kebanyakan wanita lain, bekalan telur wanita akan menurun menjadi sekitar 3%.

    Oleh itu, jika anda sudah mencapai umur ini, bekalan telur menjadi sedikit dan sudah tidak digalakkan untuk hamil.

    telur wanita

    Lebih-lebih lagi, bekalan telur boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu seperti merokok yang mungkin bermaksud anda mempunyai telur yang lebih sedikit daripada wanita lain yang tidak merokok.

    Penyelidikan menunjukkan rata-rata wanita mempunyai peluang kurang daripada 5% untuk hamil pada setiap kitaran dan umur purata bagi wanita untuk mulai menopaus adalah 52 tahun.

    Secara amnya, dengan mengira jumlahnya, anda akan dapat melihat hanya 25,000 telur yang tersisa di ovari sekitar usia 37 tahun, dan anda mempunyai masa sekitar 15 tahun sehingga mencapai usia menopaus.

    Namun, usia menopaus adalah berbeza-beza bagi setiap wanita, ada sebahagiannya terkena lebih awal, dan ada segelintir yang akan terkena lebih lambat.

    Apakah yang berlaku terhadap telur anda semasa menopaus?

    telur wanita

    Apabila bekalan telur wanita habis, ovari anda akan mulai berhenti menghasilkan estrogen, dan anda bakal mengalami menopaus.

    Tambahan pula, usia anda menopaus biasanya dikaitkan bergantung pada jumlah telur yang anda ada ketika lahir.

    Sekiranya anda dilahirkan dengan sejumlah besar telur, anda mungkin termasuk dalam kalangan wanita yang mampu hamil secara semula jadi sehingga pertengahan atau bahkan lewat usia 40-an.

    Mengapa kualiti ovum menurun seiring pertambahan usia?

    Artikel ini telah banyak membincangkan kuantiti telur yang anda ada mengikut usia, tetapi bagaimana pula dengan kualitinya?

    Sebelum ovulasi setiap bulan, telur anda mula membahagi dan telur yang lebih tua dan lama cenderung untuk terdedah kepada ‘kesalahan’ semasa proses pembahagian ini.

    Perkara ini sekali gus menjadikan kemungkinan yang lebih besar bahawa telur tersebut akan mengandungi kromosom yang tidak normal.

    Inilah puncanya mengapa kemungkinan untuk mempunyai bayi dengan sindrom Down dan kecacatan perkembangan lain meningkat seiring dengan apabila bertambahnya usia anda.

    Justeru ketika usia muda, dalam lingkungan 20-an sehingga awal 30-an adalah waktu terbaik bagi mendapatkan zuriat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan