Kadar kematian ibu hamil di seluruh dunia masih berada di tahap yang tinggi terutamanya di negara-negara sedang membangun atau negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Sekitar 303,000 ibu hamil meninggal dunia semasa mengandungkan kelahiran, semasa melahirkan bayi dan sejurus selepas proses kelahiran bayi dengan lebih separuh daripada jumlah kematian tersebut berlaku di Afrika sub-sahara. Secara puratanya, kematian ibu hamil di negara-negara sedang membangun adalah 20 kali ganda lebih tinggi berbanding di negara-negara maju.
Kadar kematian ibu hamil di peringkat antarabangsa dan nasional
The Millennium Development Goals yang diperkenalkan pada tahun 1990 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menggariskan lapan matlamat utama yang perlu dicapai pada tahun 2015, salah satu agendanya adalah untuk mengurangkan kadar kematian ibu hamil kepada hanya 11 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran di peringkat nasional.
Di Malaysia, terdapat kadar penurunan yang signifikan bagi kematian ibu hamil dengan 540 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada 1957 kepada hanya 28 kematian bagi 100,000 kelahiran pada tahun 2010.
Kadar kematian tersebut mengalami penurunan yang agak memberangsangkan, tetapi sehingga tahun 2015, matlamat untuk mengurangkannya kepada hanya 11 kematian masih tidak dapat dicapai atas pelbagai faktor.
Faktor kematian ibu hamil serta cabaran untuk menguranginya
Antara punca-punca utama kematian ibu hamil adalah disebabkan faktor pendarahan yang teruk, memiliki penyakit darah tinggi semasa hamil, pembentukan darah beku, menghidapi penyakit jantung, komplikasi keguguran serta masalah kesihatan yang lain.
Cabaran untuk menurunkan kadar kematian ibu hamil juga adalah sesuatu yang kompleks memandangkan ianya melibatkan pelbagai faktor antaranya sosioekonomi sesebuah keluarga, status pendidikan ibu mengandung, kesedaran awam terhadap kelahiran selamat, akses terhadap perkhidmatan kesihatan serta infrastruktur yang lengkap bagi rawatan dan penjagaan kesihatan.
Langkah oleh Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Malaysia untuk mengurangkan kadar kematian
Penurunan kadar kematian ibu hamil di Malaysia adalah disebabkan oleh pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia seperti program latihan untuk jururawat serta penyediaan pelan tindakan untuk kecemasan seperti apa yang perlu dilakukan sekiranya ibu hamil mengalami pendarahan.
Selain itu, kerajaan telah berusaha untuk membangunkan infrastruktur serta fasiliti kesihatan melalui penambahan pusat rawatan dan jururawat perbidanan terutamanya di kawasan pedalaman.
Kerajaan juga berusaha menyedarkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang sepatutnya melalui program-program seperti Maternal and Child Health (1950), High Risk Approach in MCH care (1970), Safe Motherhood (1980) dan Confidential Enquiry into Maternal Deaths (1990).
Kerajaan juga berjaya meningkatkan kelahiran selamat dimana ianya diuruskan oleh jururawat dan doktor terlatih berbanding melalui bidan tradisional.
Pemilihan kaedah kelahiran secara selamat dan kurang berisiko
Anggota masyarakat terutama sekali bagi ibu hamil perlu memilih untuk melahirkan bayi melalui kaedah kelahiran selamat iaitu kelahiran yang disambut oleh anggota perubatan yang terlatih dan bertauliah.
Anggota perubatan terlatih adalah pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 (Akta 50) atau bidan yang berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia seperti Jururawat Kebidanan dan Jururawat Masyarakat.
Kelahiran selamat yang disambut oleh anggota yang berdaftar dan terlatih dapat memastikan ibu yang melahirkan anak bersalin tanpa sebarang komplikasi yang boleh membawa kematian samada kepada ibu atau bayi serta dapat melahirkan bayi yang sihat.
Mengurangkan faktor risiko kematian melalui kelahiran selamat
Kelahiran selamat boleh memastikan sebarang komplikasi serius yang tidak dijangka dapat diatasi dengan baik.
Bagi ibu hamil, komplikasi serius semasa hamil boleh berlaku tanpa jangkaan seperti pendarahan, sawan akibat darah tinggi yang tidak terkawal, berlaku koyakan yang teruk di bahagian vagina serta kelahiran yang sukar sehingga boleh mengakibatkan rahim pecah.
Kelahiran selamat juga mampu mengatasi masalah bayi lemas, kelahiran bayi yang tersekat, kedudukan bayi yang tidak normal serta kelahiran bayi pramatang.
Kesedaran terhadap bahaya kumpulan tidak berdaftar dan tidak terlatih
Ibu hamil atau ahli keluarga terdekat dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan khidmat nasihat dan cadangan kumpulan-kumpulan pro-natural birthing atau gentle birthing yang menganggap bahawa kelahiran di hospital tidak kondusif dan menganjurkan kelahiran daripada rumah.
Elakkan daripada terpengaruh dengan beberapa kaedah kelahiran alternatif yang dijalankan oleh mereka yang tidak berdaftar dan tidak bertauliah seperti water birthing dan lotus birthing.
Nasihat daripada kumpulan-kumpulan ini perlu dijauhi memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan ilmu dan amalan perubatan yang sebenar serta pengalaman secara praktikal dalam menangani sebarang komplikasi serius semasa melahirkan bayi.
Pilih cara yang lebih selamat dan kurang berisiko untuk melahirkan bayi agar kadar kematian samada ibu atau bayi yang dilahirkan dapat dikurangkan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]