backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Elak Mengandung Ketika Menyusu Badan, Ada 9 Pilihan SELAMAT Untuk Ibu & Si Manja

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/06/2023

    Elak Mengandung Ketika Menyusu Badan, Ada 9 Pilihan SELAMAT Untuk Ibu & Si Manja

    Anda sedang mencari kaedah pencegahan kehamilan tetapi tidak tahu mana yang sesuai kerana anda masih menyusu badan?

    Haa…ini ada 9 pilihan yang boleh dipertimbangkan.

    Kaedah pencegahan kehamilan

    Kita selalu mendengar pasangan tereksiden dan kembali hamil walaupun baru bersalin dan menyusu badan, bukan? Meskipun sudah mengetahui keperluan untuk jarak kehamilan yang selamat, namun kadangkala, perkara ini memang sukar untuk dijangkakan. 

    Situasi seperti itu lebih mudah berlaku jika seseorang wanita tidak menggunakan sebarang alat kawalan kehamilan. Sudah tentu faktor utama yang membuatkan penggunaan alat kontraseptif bukan pilihan utama adalah kerana menyusu badan.

    Jika anda sedang menyusu badan dan masih belum bersedia untuk kembali hamil, terdapat beberapa pilihan kawalan kehamilan yang boleh anda pertimbangkan. 

    Tetapi anda hanya mempunyai masa lebih kurang 6 minggu atau sehingga habis tempoh pantang untuk mempertimbangkan kaedah pencegahan kehamilan pilihan anda.

    Kenapa 6 minggu? Kerana sepanjang tempoh tersebut, doktor tidak menyarankan ibu selepas bersalin untuk melakukan sebarang hubungan seksual. Jadi untuk 6 minggu, masih tidak perlukan sebarang alat kontraseptif.

    9 pilihan kaedah pencegahan kehamilan

    Berikut dikongsikan 9 alat kontraseptif yang mungkin sesuai untuk anda. Untuk mendapatkan kepastian, pastikan anda terlebih dahulu mendapatkan rundingan dan nasihat doktor, okay?

    1. Pil kawalan kehamilan

    Anda mungkin pernah mendengar bahawa pengambilan pil perancang mungkin akan menyekat bekalan susu badan. Sudah tentu ia mendatangkan kebimbangan bagi ibu yang menyusu badan. 

    Mungkin benar akan berlaku perubahan dan akan mendatangkan kesan kepada sesetengah hormon. Tetapi bukan semua hormon akan mendapat kesan sampingan.

    Terdapat 2 jenis pil perancang:

    • Pil jenis kombinasi hormon estrogen dan progestin
    • Pil dengan hormon progestin sahaja. Ia turut dikenali sebagai ‘pil mini’

    Estrogen mungkin akan menyebabkan jumlah susu berkurangan. Oleh itu, jika memilih pil sebagai kaedah pencegahan kehamilan, pastikan anda memberitahu doktor dan mereka mungkin akan menyarankan pil mini – tidak akan menjejaskan jumlah susu.

    2. Intrauterine devicekaedah pencegahan kehamilan

    Jika anda mahukan alat kawalan kehamilan untuk tempoh jangka panjang yang tidak kekal, intrauterine devide atau IUD adalah pilihan untuk dipertimbangkan. Alat ini akan dimasukkan ke dalam rahim.

    Penggunaan alat kontraseptif ini tidak memerlukan sebarang pengambilan pil sebelum seks.

    Terdapat 2 jenis pilihan IUD:

    • Tembaga (cooper)
    • Dengan kandungan hormon progestin

    Kedua-duanya adalah pilihan yang baik untuk ibu yang menyusu badan. IUD tembaga tidak mengandungi hormon untuk menjejaskan penghasilan susu, manakala IUD dengan progestin adalah pada jumlah yang sedikit dan tidak akan mengganggu penghasilan susu badan. 

    Tempoh terbaik sebelum memasukkan IUD ke dalam rahim adalah selepas 6 minggu. Ini kerana terdapat kemungkinan jika anda memasukkannya selepas bayi dilahirkan, badan anda mungkin akan menolaknya keluar.

    3. Kontraseptif jenis hormon

    Terdapat 4 pilihan di bawah kontraseptif jenis hormon dan ia mampu bertahan lebih lama berbanding pil harian. Paling utama, ia tidak menjejaskan penghasilan susu ibu- berita baik buat ibu yang menyusu badan, bukan?

    1. Implan kaedah pencegahan kehamilan

    Boleh membantu mencegah kehamilan sehingga tempoh 3 tahun dengan bantuan stick sebesar saiz mancis. Ia dimasukkan di bawah kulit pada bahagian sisi lengan belah dalam. 

    Alat kawalan kehamilan ini mengandungi hormon progestin dan tidak menjejaskan bekalan susu badan.

     2. Suntikan 

    Dikenali sebagai suntikan Depo-provera, ia akan diberikan setiap 3 bulan. Mempunyai lebih banyak kandungan hormon progestin berbanding implan.

    3. Tampalan 

    Alat kontraseptif jenis patch ini perlu dilekatkan pada bahagian belakang badan, lengan, perut atau punggung untuk tempoh seminggu. Ia mengandungi 2 hormon: estrogen dan progestin – seperti pil kawalan kehamilan jenis kombinasi. 

    4. Gegelang faraj

    Merupakan gegelang dengan hormon yang fleksibel berukuran 2 inci. Ia akan dimasukkan ke dalam faraj dan perlu ditukar setiap bulan. Mengandungi 2 hormon iaitu estrogen dan progestin.

    4. Kaedah halangan

    Kaedah pencegahan kehamilan ini tidak mempunyai hormon. Terdapat 3 pilihan, iaitu:

    1. Kondom 

    Adalah 1 alat kawalan kehamilan yang mudah dan dapat mencegah kehamilan jika digunakan dengan cara yang betul pada setiap penggunaannya. Terdapat kondom untuk lelaki dan juga kondom bagi wanita.

    kaedah pencegahan kehamilan

    Anda juga boleh menggunakan spermisida (spermicide), hadir dalam bentuk pil yang akan berbuih, jeli atau krim dan berkesan membunuh sperma. Ia tidak mengandungi sebarang hormon.

    2. Diafragma 

    Seperti penutup getah yang lembut dan akan dimasukkan ke dalam faraj bagi menutup pangkal rahim atau serviks. Perlu mendapatkan pemeriksaan bagi menentukan saiz yang bersesuaian untuk anda. 

    Jika anda pernah memakai diafragma sebelum mengandung, tanyakan kepada doktor sama ada ia masih sesuai atau tidak. Kebanyakan wanita memerlukan saiz baru selepas bersalin.

    3. Penutup serviks

    Lebih kurang sama dengan diafragma, iaitu berbentuk penutup getah lembut dan meliputi bahagian serviks (pintu ke rahim). Perlu dimasukkan beberapa jam sebelum melakukan hubungan seksual. 

    Sekiranya anda pernah mempunyai penutup serviks sebelum hamil, dapatkan pemeriksaan doktor sama anda ia masih boleh digunakan atau anda mungkin memerlukan yang baru.

    Mengikut kesesuaian

    Untuk mendapat kaedah pencegahan kehamilan yang bersesuaian dengan anda, dapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor. Ini kerana sesetengah alat kontraseptif mungkin tidak bersesuaian dengan situasi anda terutamanya jika masih menyusu badan.

    Seandainya anda yakin untuk tidak menggunakan sebarang alat kawalan kehamilan, sentiasa berhati-hati sewaktu bersama pasangan. Jangan nanti ujian kit kehamilan positif pula, baru pening kepala!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan