backup og meta

Berpantang Selepas Bersalin: Karut atau Patut?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 27/10/2022

    Berpantang Selepas Bersalin: Karut atau Patut?

    Budaya berpantang selepas bersalin merupakan tradisi turun temurun yang kebiasaannya diamalkan wanita di Asia, Afrika, Timur Tengah dan sebahagian Eropah dan biasanya melibatkan waktu rehat untuk si ibu selama 30 hari. Kerja-kerja rumah diagihkan kepada keluarga terdekat atau pengurus profesional yang memasak, membersih dan membantu penjagaan bayi.

    Fahaman berpantang dalam tradisi dunia

    Fahaman tentang kestabilan ‘panas dan sejuk’ adalah konsep dalam teori kesihatan kuno yang didapati wujud dalam budaya tradisional Latin Amerika, Asia dan Afrika. Dalam perubatan Yunani, teori humoral yang menyebut tentang empat elemen tubuh manusia juga membincangkan kestabilan ‘panas dan sejuk’.

    Disebabkan darah dilihat sebagai ‘panas’, wanita yang baru melahirkan dan telah banyak kehilangan darah dianggap sebagai berada dalam keadaan ‘sejuk’. Disebabkan itu, berpantang selepas bersalin dilihat sebagai bertujuan untuk memastikan si ibu dihangatkan dengan mencukupi untuk kestabilan elemen humoral badan.

    Di pedalaman Guatemala contohnya, bidan akan mengarahkan ibu yang baru melahirkan mandi dengan air panas untuk menghangatkan badan mereka di samping membantu penyusuan susu badan. Keutamaan makanan panas ini juga dapat dilihat dalam masyarakat Timur Tengah yang beranggapan bahawa makanan sejuk selepas bersalin meningkatkan risiko mendapat artritis atau rehumatisme.

    Budaya berpantang masyarakat Asia

    Meskipun terdapat beberapa perbezaan dalam tempoh masa, diet dan pantang-larang yang diamalkan, konsep berpantang antara kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India adalah lebih kurang sama. Pada asasnya berpantang selepas bersalin dalam masyarakat ini dilihat bertujuan untuk mengeluarkan angin daripada badan selepas bersalin, menggalakkan peredaran darah, menguatkan sendi dan menggalakkan susu ibu di samping mengelakkan makanan yang menyejukkan.

    berpantang selepas bersalin

    Keterbatasan ilmu tradisional dan sains moden

    Pantang-larang dan makanan yang disarankan sewaktu berpantang tidak disokong dengan kajian saintifik yang menyeluruh. Bahkan terdapat pantang-larang yang sebenarnya boleh memudaratkan si ibu. Pengambilan air yang mencukupi, contohnya, merupakan suatu keperluan penting untuk ibu menyusu.

    Terdapat amalan berpantang yang mungkin mempunyai rasional suatu masa dahulu tetapi perkembangan dalam prosuder kelahiran dan teknologi yang digunakan membuatkannya tidak relevan lagi. Sebagai contoh, benang jahitan masa kini tidak lagi menggunakan bahan yang boleh menyebabkan keradangan sehingga para ibu perlu berpantang makanan untuk mengelakkan kegatalan dan berpantang daripada hubungan kelamin untuk tempoh sehingga 100 hari.

    Meskipun tidak disokong oleh kajian saintifik, ini tidak bermakna amalan berpantang selepas bersalin adalah karut semata. Salah satu aspek dalam amalan berpantang, iaitu persoalan pemakanan ialah persolan yang sangat mengundang debat walaupun dalam kalangan pakar. Kompleksiti setiap makanan yang bukan sekadar terdiri daripada makronutrien (karbohidrat, protein, lemak) serta perbezaan metabolisme dan mikroorganisme dalam sistem pencernaan manusia bererti terdapat perbezaan luas dalam kesan pengambilan makanan terhadap individu.

    Patutkah saya berpantang?

    Dalam satu perbandingan kajian yang mengkaji kaitan risiko kemurungan dalam wanita Cina yang berpantang, 8 kajian mendapati berpantang membantu mengurangkan risiko manakala 4 kajian mendapati berpantang boleh meningkatkan risiko.

    Jelasnya, terdapat aspek amalan berpantang yang mengurangkan tekanan bagi si ibu, manakala aspek lain seperti konflik dengan ibu mertua, pantang-larang yang memudaratkan si ibu boleh memburukkan keadaan.

    Oleh itu, jadilah lebih fleksibel dengan membentuk amalan berpantang yang sesuai dengan anda. Kebanyakan ibu baru akan berasa gembira dimanjakan dengan sistem sokongan sosial yang mengambil alih tugas-tugas rumah dan memberikannya peluang untuk menumpukan perhatian kepada bayi yang baru lahir.

    Anda berhak untuk berpantang dengan erti kata diberi peluang untuk pulih dan fokus kepada bayi, bukannya berpantang dengan erti kata mengikuti senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan secara membuta tuli.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 27/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan