Tahukah anda perkembangan janin mengikut trimester berlaku pada kadar yang sangat cepat? Sewaktu di dalam kandungan lagi mereka sudah mula berkembang dan belajar akan kemahiran tertentu.
Artikel ini akan mengupas perkembangan ringkas janin dari minggu pertama hingga saat kelahiran.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkan di sini.
Perkembangan janin sewaktu trimester pertama
Bagi mereka yang hamil, pembahagian tempoh masa kehamilan boleh dibahagikan kepada 3 iaitu trimester pertama, kedua dan ketiga.
- Trimester pertama bermula pada saat berlakunya persenyawaan hingga minggu ke-12
- Apabila kandungan ibu sudah mencecah minggu ke-13, ia sudah dikira sebagai trimester kedua. Tempoh masa ini berlangsung hingga minggu ke-27
- Trimester ketiga bermula pada minggu ke-28 hingga kelahiran bayi
Walaupun ibu kebiasaannya cuma sedar apabila usia kandungan mencecah seawal 4 minggu, namun tempoh masa sebelum itu agak kritikal. Sperma dan ovum yang disenyawakan akan mula membahagi hingga terbentuknya 100 sel yang dikenali sebagi embrio.
Embrio akan melekat pada dinding rahim dan penempelan itu kadangkala boleh menyebabkan simptom pendarahan ringan. Apabila usia kandungan mencecah minggu kedua, organ-organ penting mula menampakkan bentuk.
Sel masih lagi aktif membahagi pada saat itu. Janin ibu akan melekat kuat pada dinding rahim pada minggu ketiga.
Pada saat tersebut, embrio akan terbahagi kepada dua. Satu bahagian akan membentuk bayi manakala satu lagi (lapisan luar) akan membentuk uri.
Perkembangan tiub saraf akan berlaku pada saat ini. Oleh sebab itulah ibu digalakkan mengambil asid folik sebelum mula mencuba untuk hamil. Proses ini memakan sejumlah besar asid folik dan tanpanya, kecacatan boleh berlaku tanpa disedari.
Apabila berita berkenaan dengan si kecil sampai ke pengetahuan ibu, anggota tangan dan kaki sudah mula terbentuk. Jantung mula berfungsi walaupun masih lemah dan organ penting lain seperti mata, telinga dan mulut mula terhasil.
Secara asasnya, pada trimester pertama, perkembangan bayi lebih tertumpu kepada penghasilan organ penting untuk memastikan badan dapat berfungsi dengan baik.
Pada minggu ke-12, perlahan-lahan, tulang rawan yang menyelubungi bahagian belakang janin akan menjadi tulang keras.
Trimester kedua, si ibu mula berasa lega
Bagi kebanyakan ibu, trimester kedua merupakan saat di mana badan sudah boleh membiasakan diri dengan persekitaran hormon yang tinggi. Mabuk hamil mula beransur elok diikuti dengan timbulnya simptom baharu.
Pada minggu ke-13, ujian pengimbasan tiub neural kebiasaannya akan dilakukan oleh pakar. Ia bagi mengesan kecacatan genetik sekiranya ada. Jika terdapat tanda-tanda tidak normal, ujian invasif seperti pengambilan sampel air ketuban akan dijalankan.
Pada sekitar minggu ke-13 hingga 17, janin mula menjalani rutin tidur seperti manusia biasa. Rambut-rambut halus mula keluar dan mereka boleh bergerak, bahkan menendang perut ibu. Pada waktu ini, jantina si kecil boleh dilihat melalui ujian pengimbasan.
Bukan itu sahaja, perkembangan organ lain seperti jantung juga boleh dipantau. Apa-apa masalah berkaitan dengan perkembangan janin boleh didiagnosis pada saat ini.
Apabila usia kandungan sudah mencecah 23 hingga 26 minggu, kebarangkalian janin untuk hidup meningkat. Organ paru-paru mereka berkembang dan pankreas mula bekerja. Jika keputusan ultrasound bayi anda jelas, anda boleh lihat alis dan bulu mata mereka mula terbentuk.
Penting untuk si ibu menjaga kesihatan mereka pada saat ini. Trimester kedua merupakan masa di mana kebiasaannya komplikasi berkaitan dengan kehamilan mula tampil menunjukkan belangnya.
Trimester ketiga, gelombang perkembangan janin mengikut trimester terakhir
Pada saat ini, semua organ dan sistem di dalam tubuh sudah tercipta. Sekarang, proses pematangan organ bermula. Ibu perlu menjaga diri mereka dengan lebih baik memandangkan pada saat ini, komplikasi yang berlaku boleh menyebabkan terjadinya kelahiran pramatang.
Tendangan yang dilakukan oleh bayi semakin kuat. Ruangan di dalam rahim semakin sempit dan organ-organ yang tercipta sudah berfungsi. Yang tinggal hanyalah latihan pergerakan, refleks dan pernafasan sebagai persediaan untuk hidup di luar rahim kelak.
Apabila usia kandungan mencecah 37 minggu, ia merupakan saat yang sangat hampir dengan kelahiran. Proses pengeluaran bayi dari rahim ibu boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Pada saat ini, kontraksi mungkin berlaku dan pada sesetengah wanita, kontraksi palsu dirasakan kuat daripada biasa.
Pembentukan alat sulit bagi bayi lelaki telahpun sempurna dan apabila usia kandungan mencecah 40 minggu, bayi sudah bersedia untuk keluar.
Malah ada yang keluar lebih awal. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir bayi yang masih malu-malu dan tidak mahu keluar walaupun sudah melebihi 40 minggu.
Keadaan tersebut memerlukan pemberian ubat untuk menggalakkan proses kelahiran. Sekiranya tiada apa berlaku, pembedahan caeseran akan menjadi saranan. Perkembangan bayi sudah pun selesai dan jika dibiar berlarutan sehingga melebihi 42 minggu, komplikasi boleh terjadi.
Konklusi
Perkembangan janin mengikut trimester yang berlaku di dalam rahim bertujuan untuk meningkatkan kebarangkalian mereka untuk hidup sepanjang tempoh kehamilan.
Oleh sebab itulah, bagi mereka yang lahir pramatang, pelbagai jenis alat bantuan perlu digunakan untuk menyokong bayi tersebut.
Organ mereka masih belum cukup matang untuk berfungsi dengan baik. Oleh itu, penting untuk ibu sedar akan kepentingan menjaga kesihatan diri semasa hamil.
Elakkan daripada faktor yang boleh menyebabkan komplikasi seperti merokok dan mengambil minuman beralkohol.
[embed-health-tool-due-date]