backup og meta

5 Rahsia Kecil Yang Akan Berlaku Jika Ibu Bersalin Secara Normal, Sakit Itu Cukup Membahagiakan

Ditulis oleh Dian Sonnerstedt · Yoga · Yoga Alliance


Disemak pada 09/10/2020

    5 Rahsia Kecil Yang Akan Berlaku Jika Ibu Bersalin Secara Normal, Sakit Itu Cukup Membahagiakan

    Bagi setiap wanita, menanti kehadiran cahaya mata atau kelahiran anak adalah satu peristiwa luar biasa yang akan diingati sepanjang hayatnya. Setiap kelahiran adalah satu pengalaman unik untuk setiap ibu dan anak yang baru lahir. Oleh itu, anda sebagai seorang ibu akan mempunyai banyak jangkaan dan juga pengalaman positif. Artikel ini akan merungkai 5 rahsia kecil mengenai proses bersalin normal.

    Rahsia 1: Sisa peribadi akan keluar bersama

    Semasa bersiap untuk kelahiran, anda mungkin tertanya-tanya apa lagi yang akan datang keluar bersama dengan bayi anda. Jelas, tidak banyak buku, artikel atau bahkan ibu anda sendiri yang menyebut mengenai pergerakan usus besar yang tidak enak pada saat yang sama ketika anda meneran bayi. Najis, air kecil dan tentunya darah adalah kesan pergerakan usus yang datang dengan bayi anda. Walau bagaimanapun, tak usah berasa malu. Ini adalah fenomena semula jadi proses bersalin normal. Selain itu, anda tidak boleh menghindari kejadian ini kerana anda menggunakan otot yang sama untuk meneran bayi anda seperti ketika anda menggerakkan usus anda. Mujurlah doktor dan jururawat anda telah berpengalaman dan akan mengawasi keadaan anda.

    Rahsia 2: Rasa tekanan dan sakit

    Bersalin normal akan mendatangkan pelbagai jenis rasa sakit. Anda akan mengalami dua rasa utama iaitu rasa sakit dan tekanan. Apabila anda mula meneran, anda telah menghantar tekanan ke serviks supaya bayi itu akan keluar. Apabila bayi turun ke saluran lahir, anda akan mula merasai tekanan yang berterusan dan bertambah. Rasa tekanan ini seperti dorongan kuat untuk membuang air apabila bayi menekan ke atas saraf yang sama. Semasa bersalin normal, terdapat risiko kulit dan tisu di sekeliling faraj meregang dan terkoyak sementara janin bergerak melalui saluran kelahiran. Ini akan membawa kepada kesakitan teruk pada masa ini dan kesakitan antara faraj dan dubur anda selepas bersalin.

    Rahsia 3: Tarikan nafas yang berterusan akan membantu

    Anda mungkin berasa tidak perlu tetapi bernafas dengan betul adalah teknik melahirkan anak yang berkesan. Sebelum bersalin, latihan pernafasan akan membantu anda menghadapi kontraksi dengan lebih mudah dan meningkatkan keupayaan anda untuk bertenang di antara kesakitan. Berikan perhatian kepada kaedah pernafasan harian yang boleh membuat anda tenang. Melakukan yoga adalah satu lagi pilihan hebat untuk mempersiapkan kelahiran. Anda juga boleh berlatih bernafas dengan pasangan anda. Apabila anda merasakan semuanya tidak terkawal, pasangan anda boleh membantu anda bernafas. Cuba bernafas dengan mulut dan tekak yang terbuka luas, tubuh anda secara fizikal dan mental akan mendapat manfaat dengan menjadi kurang tegang dan lebih terbuka semasa proses bersalin.

    Rahsia 4: Bergerak untuk memudahkan kelahiran

    Biasanya, anda akan melihat seseorang melahirkan anak mereka semasa berbaring di atas katil. Walau bagaimanapun, ia bukan kedudukan terbaik untuk ibu dan anak. Bergerak atau berdiri tegak sewaktu bersalin mendatangkan banyak manfaat untuk ibu dan anak. Pergerakan dan kedudukan semasa bersalin adalah suatu yang magik. Pergerakan meningkatkan keselesaan dengan merangsang reseptor di otak yang mengurangkan persepsi rasa sakit. Bakal ibu harus menggunakan kedudukan tegak yang membuatnya berasa selesa dan meredakan rasa sakit kontraksi. Beberapa posisi menegak termasuk: berdiri, condong ke hadapan, bertinggung, duduk dan berbaring mengiring. Setiap kedudukan ini boleh digunakan dalam peringkat pertama dan kedua kelahiran. Bergantung pada keadaan anda dan arahan doktor, anda boleh mengamalkan kedudukan yang sesuai dengan anda.

    Rahsia 5: Masa pemulihan yang lebih cepat

    Bagi setiap bakal ibu, berdepan dengan proses kelahiran dan menghadapi proses bersalin normal adalah proses yang panjang yang meletihkan dan menyukarkan. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, salah satu faedah terbaik kelahiran normal ialah masa pemulihan yang lebih cepat. Kelahiran faraj adalah proses semula jadi. Oleh itu, tubuh anda boleh mencari cara sendiri untuk pulih dari semasa ke semasa. Biasanya, seorang wanita yang memilih bersalin normal akan mempunyai masa pemulihan antara 24 dan 48 jam. Jika anda berasa lebih baik, anda boleh memilih untuk keluar hospital lebih awal daripada tempoh masa yang dijangkakan. Ramai orang memilih untuk tinggal di rumah bagi kelahiran semula jadi supaya mereka dapat menikmati masa berharga dengan anak dan keluarga.

    Terdapat banyak lagi yang boleh dikatakan mengenai proses kehidupan yang paling indah ini. Tetapi perkara-perkara yang paling tersembunyi tentang bersalin normal ini akan memberi anda gambaran yang lengkap ketika menyambut si kecil anda ke dunia.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Dian Sonnerstedt

    Yoga · Yoga Alliance


    Disemak pada 09/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan