Rahim & Posisinya, Apa Akan Jadi Jika Posisi Rahim Condong Ke Depan @ Belakang?

Tahukah anda, wujudnya 2 jenis posisi rahim? 1 daripadanya dikenali sebagai masalah rahim terbalik atau retroverted, manakala 1 lagi adalah rahim condong ke hadapan atau turut digelar, anteverted.
Rahim wanita adalah sebuah organ yang berbentuk seakan buah pear, yang berperanan penting untuk menstruasi, kehamilan dan proses kelahiran bayi.
Lokasi organ ini terletak pada kawasan pelvis, di hadapan rektum serta di belakang pundi kencing wanita.
Harus anda fahami, posisi rahim adalah berbeza-beza bagi setiap wanita dan secara umumnya, organ ini akan condong ke arah pundi kencing yang terletak di depan.
Namun, bagaimana pula dengan rahim terbalik? Ingin tahu perbezaan di antara kedua jenis rahim ini dengan lebih lanjut? Jom baca!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Rahim terbalik, apa tu?
Rahim retroverted adalah rahim yang melengkung ke arah belakang pada serviks dan bukannya di posisi ke hadapan.
Rahim terbalik juga disebut sebagai:
- Tipped uterus
- Rahim retrofleks
- Retroversi rahim
- Rahim ke belakang
Kenali simptom-simptom rahim terbalik
Secara umumnya, rahim retrovert tidak menimbulkan masalah. Namun jika ada, ia mungkin berlaku disebabkan wanita itu mempunyai kondisi lain seperti, endometriosis.
Kondisi seperti ini juga boleh menyebabkan:
- Hubungan seksual yang menyakitkan
- Posisi woman-on-top biasanya menjadi kedudukan seks yang paling menyakitkan
- Senggugut
Masalah rahim terbalik, apa puncanya?
Wujud beberapa penyebab rahim terbalik, seperti:
- Variasi semula jadi: Kebiasaannya, rahim wanita beralih ke hadapan dengan peningkatan usia. Kadangkala, perkara ini tidak berlaku dan rahim kekal condong ke belakang.
- Adhesions: Adhesions adalah jalur tisu parut yang bergabung dengan 2 permukaan anatomi yang terpisah. Pembedahan pelvis boleh menyebabkan adhesions terbentuk, yang menarik rahim ke posisi terbalik.
- Endometriosis: Endometrium adalah lapisan rahim. Endometriosis merupakan pertumbuhan sel endometrium di luar rahim. Sel-sel ini boleh menyebabkan posisi rahim ini dengan ‘melekatkan’ rahim ke struktur pelvis lain.
- Fibroid: Ketumbuhan kecil dan bukan barah ini boleh menyebabkan rahim condong ke belakang.
- Kehamilan: Rahim dipegang oleh jalur tisu penghubung iaitu ligamen. Kehamilan berupaya meregangkan ligamen dan membuatkan rahim condong ke belakang.
Diagnosis & rawatan
Diagnosis
Doktor boleh mendiagnosis masalah rahim terbalik semasa pemeriksaan pelvis rutin.
Sekiranya anda mempunyai gejala yang membimbangkan, dapatkan khidmat nasihat doktor.
Kadang-kadang, seseorang wanita mungkin akan didiagnosis dengan rahim yang terbalik semasa ujian Pap.
Rawatan rahim terbalik
Sekiranya rahim retrovert memicu masalah, pilihan-pilihan rawatan merangkumi:
- Rawatan untuk kondisi sedia ada: Merangkumi terapi hormon untuk endometriosis.
- Bersenam: Jika pergerakan rahim tidak dipicu oleh endometriosis atau fibroid, dan jika doktor boleh meletakkan semula rahim secara manual ketika pemeriksaan pelvis, senaman dapat membantu! Walau bagaimanapun, para pakar masih meragui sama ada senaman pelvis bermanfaat sebagai penyelesaian jangka panjang. Dalam kebanyakan kes, rahim boleh berbalik ke posisi belakang semula.
- Pessary: Alat silikon atau plastik kecil boleh diletakkan secara sementara atau kekal untuk bantu ‘menolak’ rahim ke depan. Pun begitu, pessary dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan dan keradangan. Kelemahan lain, hubungan seksual masih menyakitkan bagi wanita itu, dan pessary juga boleh akibatkan ketidakselesaan pada pasangannya.
- Pembedahan: Dengan menggunakan teknik pembedahan laparoskopi (‘keyhole’), rahim boleh diposisikan semula agar ia terletak di atas pundi kencing. Prosedur ini agak mudah dan selalunya berjaya. Dalam beberapa kes, pembedahan membuang rahim (histerektomi) boleh dipertimbangkan.
- Pilihan rawatan untuk incarcerated uterus: Ia merangkumi dimasukkan ke hospital, memasukkan kateter urin untuk mengosongkan pundi kencing, dan senaman seperti pelvic rocking.
Rahim anteverted @ condong ke hadapan
Jika doktor memaklum anda mempunyai masalah rahim anteverted, ini bermaksud rahim anda condong ke hadapan pada serviks.
Usah gusar, sebilangan besar wanita mempunyai rahim jenis ini.
Bagi wanita yang mempunyai rahim ini, kebiasaannya mereka tidak alami sebarang gejala melainkan rahim condong secara kritikal ke hadapan.
Gejala-gejala rahim anteverted
Seperti dimaklum di atas, biasannya wanita dengan rahim condong ke hadapan ini tidak memiliki sebarang simptom.
Pun begitu, dalam beberapa kes yang jarang berlaku, jika kondisinya parah dan masalah rahim condong dengan terlalu banyak, anda mungkin akan alami gejala seperti berikut:
- Sakit perut semasa kitaran haid
- Sakit belakang yang berterusan ketika haid
- Sembelit sebelum atau semasa haid
- Keputihan berbau busuk semasa kitaran haid
- Kesakitan ovari dialami semasa ovulasi
Apakah punca-puncanya?
Untuk makluman, ramai wanita dilahirkan dengan jenis rahim anteverted. Ia hanyalah antara cara semula jadi rahim terbentuk.
Dalam kes-kes tertentu, kehamilan dan kelahiran berupaya mengubah bentuk rahim, yang mungkin boleh membuatkan rahim lebih condong ke hadapan.
1 kajian mendapati, wanita yang mengalami kelahiran secara caesar lebih cenderung mengalami kecondongan pada rahim mereka.
Jarang sekali, kecondongan yang melampau boleh berlaku apabila tisu parut terbentuk dek kerana pembedahan yang pernah dijalani atau kondisi yang dikenali sebagai, endometriosis.
Bagaimana kondisi ini didiagnosis & dirawat?
Diagnosis
Doktor mungkin menjalankan pemeriksaan pelvis, ultrabunyi, atau kedua-duanya sekali untuk menentukan sama ada rahim anda condong ke depan.
Ultrabunyi, atau sonogram, melibatkan penggunaan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej bahagian dalam badan.
Semasa pemeriksaan pelvis, doktor anda mungkin juga akan melihat dan merasai faraj, ovari, serviks, rahim, dan perut untuk mengenal pasti sebarang kelainan.
Perlukah rawatan dilakukan?
Anda tidak akan memerlukan sebarang rawatan bagi masalah rahim jenis anteverted.
Ini kerana tiada ubat atau prosedur yang dirancang untuk memperbaiki kondisi tersebut.
Selain itu, wanita dengan rahim jenis ini dapat menjalani kehidupan yang normal dan bebas sakit.
Namun, sekiranya anda mempunyai rahim terbalik, kalian mungkin memerlukan pembedahan untuk membetulkannya.
