backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Condong Ke Hadapan Atau Belakang, Mana Satu Posisi Rahim Normal?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 21/05/2021

    Condong Ke Hadapan Atau Belakang, Mana Satu Posisi Rahim Normal?

    Rahim adalah organ wanita berbentuk buah pear yang memainkan peranan penting dalam proses kitaran haid, kehamilan dan kelahiran bayi.

    Ia terletak pada kawasan pelvis wanita, di belakang pundi kencing dan di hadapan rektum.

    Dari sudut anatomi, organ ini terbahagi kepada 4 struktur utama:

    1. Fundus – bahagian atas, lebar dan bersambung dengan tiub falopia.
    2. Korpus (badan rahim) – bahagian rahim utama dan ia bermula di bawah aras tiub falopia.
    3. Isthmus – bahagian leher bawah rahim.
    4. Serviks –  bermula dari isthmus hingga ke bukaan faraj.

    Posisi rahim berbeza mengikut wanita. Secara amnya, organ rahim akan condong ke arah pundi kencing yang berada di hadapan.

    Keadaan ini dikenali sebagai rahim anteverted. Ini adalah posisi normal rahim yang tidak mendatangkan sebarang komplikasi.

    Walau bagaimanapun, segelintir wanita mempunyai kedudukan rahim yang terbalik.

    Ia tidak berehat di atas pundi kencing, sebaliknya pada rektum yang terletak di belakang.

    Adakah keadaan ini boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk melahirkan anak? Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Adakah rahim terbalik lebih teruk berbanding dengan rahim anteverted?

    posisi rahim

    Pada kebanyakan masa, anda tidak akan sedar pun anda mempunyai rahim pada posisi yang bagaimana.

    Ia hanya boleh didiagnosis oleh doktor melalui pemeriksaan pelvik, penggunaan alat ultrabunyi untuk melihat posisi rahim.

    Walaupun kebanyakan wanita hanya mengetahui perkara ini semasa mereka melakukan pemeriksaan ketika hamil, ada juga yang mengalami simptom sehingga perlu diperiksa akan puncanya.

    Bagi mereka yang mempunyai rahim anteverted, kebiasaannya mereka tidak mengalami sebarang simptom melainkan rahim condong secara kritikal ke hadapan.

    Dalam keadaan tersebut, mereka mungkin akan mengalami simptom sakit pada bahagian hadapan pelvis.

    Bagi pemilik rahim terbalik atau retroverted pula, mereka boleh mengalami simptom seperti:

    Namun bukan semua wanita yang mempunyai rahim terbalik akan mengalami simptom di atas.

    Seperti rahim anteverted, ada juga yang tidak menunjukkan simptom. Mereka hanya mengetahuinya apabila hadir untuk sesi pemeriksaan fizikal.

    Mengapa rahim wanita berada pada posisi yang berbeza?

    rahim terbalik

    Kebanyakan wanita lahir dengan posisi rahim anteverted. Oleh sebab ia tidak menyebabkan sebarang komplikasi, posisi ini dianggap sebagai normal.

    Dalam keadaan tertentu, mereka yang mempunyai posisi rahim terbalik atau pada posisi tengah (midline) boleh berubah kepada posisi anteverted. 

    Sebagai contoh, mereka yang hamil atau selepas melahirkan anak.

    Jarang berlaku apabila posisi anteverted menyebabkan rahim anda condong secara ekstrem ke hadapan.

    Ia boleh terjadi akibat daripada keadaan kesihatan yang dikenali sebagai endometriosis. Perkara ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya adalah komplikasi pembedahan.

    Kajian oleh Universiti of New Mexico yang diterbitkan pada tahun 2014 menunjukkan rahim wanita yang menjalani pembedahan cesarean berisiko untuk mengalami kecondongan.

    Bagaimana pula dengan rahim terbalik? 

    Walaupun 1 per 4 wanita lahir dengan rahim terbalik, ia juga boleh berpunca daripada pelbagai jenis masalah kesihatan seperti:

    1. Endometriosis: Tisu parut atau lekatan yang boleh menyebabkan rahim melekat ke organ belakang.
    2. Fibroid: Boleh menyebabkan rahim anda mengalami perubahan bentuk atau condong ke belakang akibat daripada ketumbuhan tersebut.
    3. Penyakit radang pelvik (PID): Jika tidak dirawat, masalah kesihatan ini boleh menyebabkan pembentukan parut dan memberikan kesan yang hampir sama dengan endometriosis.
    4. Pernah menjalani pembedahan di kawasan pelvis.
    5. Pernah hamil sebelum ini: Dalam situasi tertentu, ligamen yang menyokong posisi rahim boleh menegang sehingga menyebabkan rahim condong ke belakang. 

    Adakah rahim terbalik boleh mempengaruhi tahap kesuburan wanita?

    posisi rahim

    Secara amnya, rahim terbalik tidak akan mempengaruhi tahap kesuburan wanita.

    Walau bagaimanapun, punca kepada berlakunya masalah kesihatan tersebut mempunyai potensi untuk menyukarkan proses kehamilan daripada terjadi.

    Perkara ini termasuklah:

    • Endometriosis
    • Fibroid
    • Penyakit radang pelvik (PID)

    Rawatan bagi setiap keadaan adalah berbeza, maka anda perlu menjalani pemeriksaan sebelum ia boleh dirawat dengan protokol yang betul.

    Sebagai contoh, endometriosis dan fibroid boleh dirawat dengan pembedahan manakala PID pula boleh diatasi dengan rawatan antibiotik.

    Konklusi

    Bagi sesetengah wanita, rahim terbalik atau rahim anteverted dengan kecondongan ekstrem boleh menyebabkan simptom.

    Dalam keadaan ini, anda perlu menjalani pemeriksaan sebelum rawatan yang sepatutnya boleh dipreskripsikan.

    Jika anda mempunyai sebarang persoalan, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor perubatan bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 21/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan