backup og meta

Bayi Sudah Mula Memahami Bahasa Sejak dari dalam Kandungan

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 28/11/2019

    Bayi Sudah Mula Memahami Bahasa Sejak dari dalam Kandungan

    “Awak tu mengandung, jaga-jaga percakapan tu.”

    Kita sering mendengar kata-kata seperti ini ditujukan kepada ibu yang sedang hamil. Orang-orang tua sering menasihatkan supaya ibu hamil menjaga tutur kata mereka. Tujuannya kerana bimbang percakapan tidak sopan yang dilontarkan oleh si ibu bakal ‘terkena’ kepada bayi dalam kandungan.

    Sebenarnya, bukan itu sahaja alasan utama mengapa peringatan ini diberikan kepada ibu hamil. Menurut kajian, janin yang sedang membesar di dalam perut ibu boleh mendengar bunyi yang ada di dunia luar rahim- malah mereka juga boleh mengingat kembali sesetengah bunyi selepas mereka lahir. Jadi, awas ya! Bukan ibu sahaja yang perlu berhati-hati apabila berkata-kata semasa hamil, tetapi orang sekeliling juga perlu menjaga tutur kata jika berada dekat dengan ibu hamil.

    Buktinya!

    Kajian pada tahun 1988 mendapati bahawa bayi baru lahir boleh mengenali lagu tema daripada program kegemaran ibu mereka. Lebih banyak kajian lain turut dijalankan tentang konsep pembelajaran janin, yang menandakan bahawa bayi baru lahir sudah biasa dengan bunyi bahasa ibunda ibu bapa mereka. Dalam kajian ini juga turut menunjukkan bahawa bayi baru lahir dari Amerika kelihatan janggal apabila mendengar bunyi vocal bahasa Sweden, begitu juga dengan bayi dari Sweden yang memberikan respons yang sama untuk bunyi vocal bahasa Inggeris.

    Pembelajaran di alam rahim

    Sementara itu, dalam kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal Acta Paediatrica, kajian mendapati bahawa mekanisme otak dan sensori untuk pendengaran terbentuk menjelang 30 minggu kandungan. Dalam kajian ini juga menyimpulkan bahawa bayi yang belum lahir mendengar kepada percakapan ibu mereka semasa 10 minggu terakhir kehamilan. Dan, beberapa jam selepas dilahirkan, mereka boleh membuktikan pembelajaran di dalam rahim dengan cara mengenal perbezaan bunyi daripada bahasa ibunda mereka dan bunyi bahasa asing.

    Memandangkan kajian telah membuktikan bahawa bayi baru lahir mempunyai kebolehan tersebut dan boleh membezakan bunyi bahasa, para penyelidik juga mendakwa bahawa kajian ini telah menyediakan bukti penting dalam pengenalan bunyi bahasa yang berlaku di alam rahim.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan