backup og meta

Tak Tahan Selalu Bersin Waktu Bangun Tidur? Ini Mungkin Sebab Alergi Pagi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 25/10/2023

    Tak Tahan Selalu Bersin Waktu Bangun Tidur? Ini Mungkin Sebab Alergi Pagi!

    Hidung tersumbat, berair, meleleh, kerap bersin, batuk… Ini semua antara reaksi alergi menjengkelkan yang boleh terjadi.

    Reaksi alergi boleh tercetus dan berlaku bila-bila masa sahaja sepanjang tahun, tanpa mengira musim panas mahupun sejuk.

    Namun, sebilangan orang hanya mengalami gejala alergi pada waktu pagi! Adakah anda tergolong dalam golongan ini?

    Jika ya, mari kita merungkai penyebab utama di sebalik kejadian tersebut berserta langkah pencegahan. Jom baca!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Alahan, sila dapatkannya di sini.

    Apa punca kerap bersin waktu pagi? Sebab alergi?

    Untuk pengetahuan, gejala alahan kadangkala berlaku disebabkan oleh rinitis alergi (allergic rhinitis) atau demam hay (hay fever).

    Simptom juga berlaku apabila sistem kekebalan tubuh bertindak balas terhadap alergen di udara, menyebabkan pembengkakan dan keradangan di dalam hidung.

    Selain itu, reaksi sistem imun ini bukan sahaja mencetuskan gejala-gejala yang disebutkan di atas, malah simptom selain kerap bersin turut boleh terjadi, seperti:

    Sekarang berbalik kepada persoalan utama artikel ini, apa sebenarnya punca reaksi alergi pada waktu pagi ini?

    1. Debunga

    Debunga adalah serbuk halus yang dihasilkan oleh pokok, bunga, rumput dan rumpai yang digunakan sebagai baja.

    Alahan debunga ini turut dikenali sebagai demam hay atau rinitis alahan, merupakan antara penyebab utama alahan di Amerika Syarikat.

    Jika anda sudah mempunyai alahan terhadap debunga, potensi untuk mengalami reaksi alergi yang teruk pada waktu pagi adalah agak tinggi.

    Ini kerana jumlah debunga adalah paling tinggi pada waktu pagi.

    2. Hama debu punca kerap bersin

    kerap bersin

    Reaksi alergi juga boleh tercetus pada waktu pagi sekiranya anda alah kepada hama debu.

    Mereka adalah pepijat mikroskopik yang turut menghuni rumah, termasuklah di bilik tidur kita yang merupakan tempat kegemarannya.

    Tambahan itu, makhluk kecil ini cenderung tinggal dan membiak di tilam, bantal, cadar, karpet malah perabot.

    Pun begitu, mereka tidak menggigit atau menyebarkan penyakit.

    Tetapi jika anda tidur di tempat yang dipenuhi hama, anda mungkin akan bangun dengan gejala alergi setiap pagi.

    3. Haiwan peliharaan

    Haiwan peliharaan adalah satu lagi penyebab reaksi alergi atau alahan pagi, terutamanya jika si gebu anda tidur sebilik atau sekatil.

    Sekiranya anda tidak tidur bersama sekalipun, bulu-bulu mereka masih akan gugur dan bertebaran di kawasan bilik tidur kalian.

    Bagi mengurangkan risiko berlakunya alahan seperti kerap bersin pada waktu pagi, elakkan haiwan kesayangan anda daripada masuk bilik mahupun naik ke atas katil.

    Apa lagi penyebab reaksi alergi waktu pagi yang lain?

    Simptom alahan pada waktu pagi bukan hanya disebabkan oleh alergen.

    Rinitis bukan alergi juga boleh mencetuskan alahan pagi seperti hidung tersumbat, berair, kerap bersin, dan batuk.

    Ini kerana rinitis alergi dan rinitis bukan alergi boleh menyebabkan simptom yang serupa.

    Perbezaannya ialah rinitis bukan alergi tidak melibatkan sistem imun. Sebaliknya, perengsa dan faktor-faktor lain boleh menjadi pencetus, seperti:

    • Bau yang kuat

    Penggunaan gel mandian wangi, essential oil, atau losen sebelum tidur, bau-bau ini boleh merengsakan saluran darah di hidung, menyebabkannya tersumbat dan berair. Sakit tekak dan batuk juga boleh berlaku.

    Maka, pendedahan terhadap produk-produk ini setiap malam boleh menyebabkan anda bangun dengan gejala alahan.

    Selain itu, anda turut berpotensi mengalami alahan ini sekiranya sensitif terhadap sabun basuh yang digunakan dalam mencuci cadar mahupun sarung bantal.

    • Ubatan

    kerap bersin

    Bukan hanya bau kuat, ubat-ubatan tertentu juga boleh mencetuskan rinitis bukan alergi pada waktu pagi.

    Kadangkala, saluran darah di hidung melebar sebagai kesan sampingan pengambilan ubatan tertentu seperti, ibuprofen, aspirin, sedatif, mahupun ubat untuk mengurangkan tekanan darah tinggi.

    Jika diambil sebelum tidur, ubatan ini berisiko menyebabkan hidung berair atau tersumbat apabila bangun pada waktu pagi.

    • Refluks asid

    Asid refluks berlaku apabila terdapat asid dari perut naik kembali ke saluran esofagus.

    Keadaan ini adalah normal untuk berlaku tetapi boleh menyebabkan komplikasi kesihatan lain seperti masalah pedih ulu hati.

    Posisi tidur secara terlentang boleh memperburuk refluks dan merengsakan tekak anda.

    Justeru, perkara ini turut menyebabkan sakit tekak, hidung yang berair, dan simptom alahan lain.

    • Perubahan hormon

    Perubahan hormon yang terjadi akibat kehamilan, haid, dan penggunaan pil perancang juga boleh menyumbang terhadap rinitis bukan alergi.

    Ini kerana perubahan tahap hormon menyumbang kepada peningkatan pengeluaran lendir dan mencetuskan perubahan pada selaput lendir, mengakibatkan hidung berair, tersumbat dan kerap bersin.

    Alahan pagi, bagaimana nak cegah kerap bersin?

    Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan untuk mencegah gejala alergi pada waktu pagi, tidak kira sama ada disebabkan oleh rinitis alergi atau rinitis bukan alergi.

    • Walau bagaimana sayang atau serapat mana pun anda dengan si gebu, JANGAN tidur bersama haiwan kesayangan atau membiarkannya ‘melepak’ di tempat tidur anda. Mandikan si gebu sekurang-kurangnya seminggu sekali (mengikut kesesuaian) untuk mengurangkan alergen di kawasan rumah
    • Elak gunakan karpet berbulu tebal di bilik tidur dan gantikan dengan lantai kayu atau jubin
    • Pastikan kelembapan di tahap rendah. Kekalkan kelembapan relatif di bawah 50% di rumah anda. Dehumidifier atau penghawa dingin dapat membantu menjaga tahap kelembapan
    • Gunakan penutup anti hama pada cadar dan sarung bantal
    • Ambil ubat antihistamin setiap malam sebelum tidur. Ubat ini dapat menghalang histamin yang dikeluarkan oleh tubuh
    • Sentiasa bersihkan katil setiap malam sebelum tidur, dan pastikan kebersihan bilik berada pada tahap yang optimum
    • Basuh tempat tidur secara mingguan. Basuh semua cadar, selimut, sarung bantal dan sarung tilam menggunakan air panas sekurang-kurangnya 130 F (54.4 C) untuk membunuh hama habuk dan menyingkirkan reaksi alergi

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 25/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan