Salah satu daripada dakwaan tentang manfaat meminum susu mentah yang dibuat oleh pendukung kebaikan susu mentah adalah ianya mampu mengurangkan simptom alergi laktosa kerana dipercayai susu mentah mengandungi enzim laktase.
Kewujudan enzim laktase dikatakan membantu memecahkan gula laktosa yang terdapat dalam susu sekaligus membantu mengurangkan simptom alahan laktosa seperti kembung perut, sakit perut, mual, cirit-birit dan kerap membuang angin.
Pemecahan Laktosa
Semua susu yang dihasilkan oleh mamalia (termasuk susu badan manusia) mengandungi gula laktosa kerana ianya adalah karbohidrat utama dan sumber tenaga terdapat dalam susu.
Laktosa dihasilkan oleh sel-sel epitilial kelenjar susu daripada glukosa dan galaktosa yang telah diserap dalam badan, melalui diet dan pemakanan.
Bila diminum susu ini, enzim laktase (β-galactosidase) memecahkan semula laktosa itu kepada glukosa dan galaktosa, sebelum diserap semula sebagai tenaga oleh peminum.
Menghidap alahan laktosa bermaksud seseorang itu tidak berupaya untuk memecahkan laktosa kerana masalah dengan enzim laktase mereka, lazimnya disebabkan oleh kurangnya penghasilan enzim laktase oleh usus kecil.
Membongkar Mitos
Benarkah susu mentah membantu mengurangkan simptom alergi laktosa?
Untuk menjawab soalan ini, satu kajian rawak-terkawal mengkaji kesan susu mentah ke atas 16 penghidap alahan laktosa menggunakan laporan alahan laktosa kendiri dan ujian kepastian masalah serapan laktosa (melalui ujian pernafasan Hidrogen).
Dapatan kajian ini adalah susu mentah bukan sahaja gagal untuk mengurangkan simptom alahan laktosa, ianya turut gagal dalam megurangkan masalah serapan laktosa bila dibandingkan dengan susu terpastur dalam kalangan orang dewasa yang menghidap alahan laktosa.
Sebab utama kepada dapatan ini adalah kerana susu mentah langsung tidak mengandungi enzim laktase seperti yang didakwa, menyebabkan susu mentah tiada peranan dalam simptom alahan laktosa.
Walaupun susu mentah mengandungi kandungan rendah enzim pemecah protein (proteases) dan pemecah lemak (lipases), kandungan ini terlalu rendah untuk memainkan apa-apa peranan kepada fisiologi penghadaman manusia dan enzim ini turut wujud dalam susu yang telah dipastur kerana enzim-enzim ini secara relatifnya stabil-haba.
Tambahan lagi, sebaik sahaja diminum, enzim-enzim ini dihancurkan di perut akibat kesan daripada asid perut dan enzim pepsin yang dihasilkan.
Sebaliknya, produk tenusu yang mengandungi enzim laktase (β-galactosidase) adalah Yogurt.
Hal ini kerana Yogurt mengandungi bakteria baik yang tinggi yang menghasilkan enzim ini, menjadikan ianya lebih mesra mereka yang alergi laktosa.
[embed-health-tool-bmr]