backup og meta

Bahaya Amalan Duduk Terlalu Lama, Ini Sebab-Sebabnya!

Bahaya Amalan Duduk Terlalu Lama, Ini Sebab-Sebabnya!

Siapa sangka kesan duduk terlalu lama boleh menyebabkan seseorang itu jatuh sakit? Untuk pengetahuan anda, risiko penyakit kanser, sakit jantung, strok, diabetes, sakit buah pinggang, dan pelbagai lagi penyakit lain meningkat jika anda jarang berdiri dan selalu duduk.

Tambahan lagi, individu yang mempunyai hidup yang sedentari (suka berehat di atas sofa, tidak bersenam, berkerja sambil duduk) sebenarnya mempunyai gaya hidup yang tidak aktif kerana mereka jarang bersenam mahupun bergerak. 

Individu yang jarang bersenam mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mati mengejut. Kesan akan jadi semakin buruk jika anda duduk terlalu lama dan langsung tidak ambil berat mengenai kesihatan anda.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh American Cancer Society, individu yang duduk lebih 6 jam sehari mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk meninggal dunia akibat penyakit kanser sebanyak 19%. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

Mengapa selalu duduk boleh menyebabkan penyakit?

kesan duduk terlalu lama

Seiring dengan kemajuan teknologi, semakin ramai yang mempunyai kerja sedentari dan menghabiskan masa berkerja di hadapan komputer. 

Malah, mereka bukan sahaja duduk semasa berkerja. Ramai juga yang duduk apabila berada di rumah! Menurut sebuah kajian yang dijalankan di Australia, hampir 90% masa selepas kerja dihabiskan dengan duduk.

Ramai yang ingin berehat sejurus balik dari kerja. Untuk melepaskan penat, mereka pilih untuk duduk di hadapan televisyen ataupun berbaring sambil menonton filem.

Tanpa disedari, mereka yang mempunyai kerja sedentari telah menghabiskan masa lebih dari 10 jam sehari tanpa melakukan sebarang pergerakan melainkan duduk!

Menurut Alpa Patel, Direktor Santifik Senior di American Cancer Society, ada beberapa kemungkinan yang menjelaskan tentang duduk serta kesannya terhadap kesihatan:

  • Jika dahulunya anda banyak melakukan aktiviti ringan seperti berjalan atau berdiri, kini aktiviti duduk telah mengambil alih aktiviti tersebut.
  • Anda mungkin akan lakukan aktiviti tidak sihat seperti makan makanan ringan jika anda luangkan masa terlalu banyak menonton televisyen.
  • Masa yang dihabiskan dengan duduk mempunyai kesan negatif terhadap tahap hormon dalam badan. Hormon ini akan mempengaruhi fungsi sistem imun yang mungkin menjelaskan kaitan antara duduk terlalu lama dengan kadar kematian.

Ramai yang tidak tahu impak pergerakan kecil terhadap kesihatan kita. Walaupun sedikit, pergerakan ini boleh memutuskan rangkaian aktiviti sedentari yang anda lakukan setiap hari.

Semakin banyak pergerakan yang anda lakukan, semakin banyaklah kalori yang dapat anda bakar. Pengurangan kalori ini akan membuatkan berat anda semakin berkurangan dan otot semakin kuat!

Selain itu, individu yang sering bergerak aktif juga mempunyai kesihatan mental yang lebih baik. Oleh itu, bergeraklah dengan lebih kerap walaupun sekejap!

Elakkan kesan duduk terlalu lama, lakukan senaman ringan!

kesan duduk terlalu lama

Jika anda ingin mengurangkan gaya hidup sedentari, anda haruslah kurangkan masa yang dihabiskan dengan duduk. Di sini kami berikan anda beberapa tip untuk kurangkan gaya hidup sedentari:

  1. Bangun dan bergerak apabila ada iklan di kaca televisyen.
  2. Bangun apabila anda ingin bercakap menggunakan telefon bimbit.
  3. Pecahkan masa anda kepada beberapa bahagian. Cuba bergerak dan berjalan sekurang-kurangnya sekali sejam.
  4. Berdiri ketika berada di dalam pengangkutan awam seperti LRT atau MRT.
  5. Naik tangga dan bukan eskalator.
  6. Jika rumah anda tidak jauh dari tempat kerja, cuba berjalan atau berbasikal.
  7. Gunakan standing desk supaya anda boleh berdiri ketika bekerja.
  8. Berjalan selepas makan.
  9. Elakkan menonton televisyen atau berada di hadapan komputer dalam satu jangka masa yang panjang.
  10. Habiskan masa terluang dengan ahli keluarga. Bawa mereka ke padang atau taman permainan berdekatan supaya anda juga boleh bersenam dan menghirup udara segar.

 Apa gunanya teknologi jika anda tidak amalkannya ke arah kebaikan?

Jika anda boleh gunakan telefon bimbit untuk whatsapp atau email rakan yang duduk selang beberapa meja dari anda, maka kalian juga pasti boleh muat turun aplikasi yang boleh mengingatkan diri untuk bergerak atau berjalan setiap jam.

Teknologi ini boleh digunakan ke arah kebaikan. Ada aplikasi kesihatan yang lengkap dengan graf dan boleh menunjukkan tahap kecergasan sebenar anda setiap hari! 

Cuba semak aplikasi tersebut dan lihat jumlah langkah yang anda ambil hari ini. Berapa langkah agaknya yang anda lakukan sepanjang hari? 500? 1000?

Kebanyakan orang berjalan sebanyak 3000 hingga 4000 langkah sehari. Namun, jika ingin lebih sihat, anda perlu lakukan 10,000 langkah sehari!

Tahniah, jika anda sememangnya sudah melakukan senaman sebanyak 10,000 langkah sehari! Jika ingin tingkatkan aktiviti ini, anda boleh tambah lagi 2000 langkah setiap minggu.

[embed-health-tool-bmi]

Kesimpulan

Mungkin sukar bagi individu yang mempunyai gaya hidup yang sedentari untuk mula melakukan aktiviti senaman secara tiba-tiba.

Walau bagaimanapun, tidak mustahil jika mereka ingin berubah ke arah yang lebih sihat. Cuba lakukan senaman secara perlahan-lahan dan tambah aktiviti fizikal dalam kehidupan anda setiap hari.

Paling penting, elakkan dari duduk terlalu banyak jika anda ingin hidup sihat tanpa penyakit terutama sekali kanser!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Cancer Society. 2018. Sitting Time Linked to Higher Risk of Death from All Causes. June 29. Accessed October 13, 2020. https://www.cancer.org/latest-news/sitting-time-linked-to-higher-risk-of-death-from-all-causes.html.
  2. Mayo Clinic. 2020. What are the risks of sitting too much? August 21. Accessed October 13, 2020. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/expert-answers/sitting/faq-20058005.
  3. MD Anderson Cancer Center. n.d. Hours of sitting: What’s your cancer risk? Accessed October 13, 2020. https://www.mdanderson.org/publications/focused-on-health/cancer-risk-sitting.h11-1589046.html.
  4. Start Standing. 2019. Health and Excessive Sitting. April 11. Accessed October 13, 2020. https://www.startstanding.org/cancer-increased-mortality-and-excessive-sitting/.
  5. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/expert-answers/sitting/faq-20058005#:~:text=Research%20has%20linked%20sitting%20for,that%20make%20up%20metabolic%20syndrome.

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Anda Jarang Lakukan Aktiviti Fizikal & Asyik Baring Saja? AWAS, Risiko Mati Lebih Awal!

Waspada, Ini Tanda-Tanda Kanser Dan Komplikasi Yang Boleh Terjadi, Penting Untuk Anda Tahu!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan