Kanser perut adalah kanser keenam yang berkaitan penyakit perut terjadi di dunia. Pada tahun 2018, kematian akibat kanser perut merangkumi 783,000 penghidap dan ia menduduki tangga ketiga tertinggi dalam carta kematian akibat kanser. Proses patologi kanser perut bermula dengan pembahagian sel tidak terkawal.
Apabila seseorang itu telah didiagnosis dengan masalah kanser, doktor akan membuat siasatan berkenaan dengan tahap kanser sebelum menentukan rawatan yang bersesuaian dengan barah yang dialami.
Secara umumnya, perkembangan penyakit perut (kanser) berlaku secara perlahan-lahan dan pada awalnya, penghidap biasanya tidak mengalami sebarang simptom.
Oleh sebab itu, diagnosis barah perut dibuat agak lewat iaitu setelah perubahan pra kanser bertukar menjadi kanser.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Perut, sila dapatkannya di sini.
Jenis kanser / penyakit perut
Bergantung kepada sel yang mengalami perubahan kanser, jenis kanser perut boleh dibahagikan kepada 5.
- Adenokarsinoma: Jenis kanser perut adenokarsinoma merangkumi kira-kira 90 hingga 95 peratus kes kanser yang didiagnosis. Ia merupakan kanser yang terjadi akibat pembahagian sel tidak terkawal pada lapisan mukosa.
- Limfoma: Ini merupakan kanser yang berasal daripada tisu sistem imun yang terdapat pada dinding organ perut.
- Tumor stroma gastrousus (GIST): Jenis kanser perut ini berasal dari sel khas pada dinding perut yang dikenali sebagai sel Cajal. GIST tidak hanya tertumpu kepada organ perut, ia boleh berlaku pada mana-mana organ dalam sistem gastrousus.
- Tumor karsinoid: Ketumbuhan yang melibatkan sel penghasil hormon pada organ perut. Kebanyakan tumor karsinoid tidak merebak ke organ lain.
- Terdapat juga jenis kanser lain yang jarang berlaku. Antaranya adalah karsinoma sel skuamos, karsinoma sel kecil dan leiomyosarcoma.
Tahap kanser, Klasifikasi TNM
Secara amnya, penyakit perut (kanser) mempunyai 5 tahap iaitu bermula dengan Tahap 0 yang turut dikenali sebagai carsinoma in situ sehingga ke tahap 4.
Ringkasnya, semakin rendah tahap kanser gastrik yang didiagnosis pada pesakit, semakin kuranglah kebarangkalian untuk ia merebak ke organ lain.
Potensi kesembuhan (prognosis) bagi sesuatu kanser turut bergantung kepada tahap kanser yang dialami oleh pesakit.
Perlu diingatkan bahawa setiap penghidap kanser mempunyai tindak balas unik terhadap rawatan kanser yang diberikan.
Meskipun begitu, individu yang mengalami tahap penyakit perut (kanser) yang sama cenderung untuk mempunyai prognosis yang serupa.
Jadi, bagaimana pengelasan kanser dibuat?
Jawatankuasa Usahasama Kanser Amerika (AJCC) telah mengeluarkan sistem TNM bagi memudahkan proses pengelasan kanser berdasarkan kepada 3 maklumat utama:
- T – Saiz tumor, sejauh mana kanser sudah menembusi lapisan perut dan adakah kanser sudah merebak ke organ berdekatan?
- N – Adakah kanser sudah merebak ke kelenjar limfa?
- M – Adakah kanser sudah merebak ke kelenjar limfa atau organ jauh?
Maklumat ini telah diguna pakai sekian lamanya namun pengelasan bagi setiap kanser berubah mengikut kajian semasa.
Seperti yang anda sedia maklum, sistem TNM menggunakan sistem pernomboran 0 hingga 4 bagi membezakan perkembangan patologi kanser.
Terdapat juga kelas yang disertakan dengan abjad bagi memperincikan perbezaan yang lebih teliti.
Setiap tahap mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap rawatan kanser, begitu juga dengan jenis kanser.
Sebagai contoh kanser testis tahap 4 mempunyai potensi kesembuhan yang jauh lebih baik berbanding dengan kanser perut tahap 4.
Tahap kanser perut
Pengelasan bagi penyakit perut (kanser) seperti yang dinyatakan di bawah merupakan sistem yang telah diusulkan oleh AJCC bermula pada Januari 2018.
Ia dirumuskan berdasarkan kepada pengelasan TNM.
Tahap 0
Turut dikenali sebagai karsinoma in situ iaitu sel abnormal yang ditemui pada organ asal, bukan kesan daripada proses metastasis.
Sel abnormal tersebut berpotensi untuk bertukar menjadi sel kanser dan boleh merebak ke sel normal yang lain.
Bagi kanser perut, tahap 0 bermakna terdapat sel tidak normal atau sel kanser pada permukaan lapisan perut.
Ia belum tumbuh menerusi lapisan mukosa masuk ke dalam lapisan tisu yang lebih dalam.
Tiada penyebaran berlaku pada kelenjar limfa atau organ yang lain.
Tahap 1
Kanser perut tahap 1 boleh dikelaskan kepada 2 iaitu tahap 1A dan tahap 1B.
Sel kanser yang tumbuh pada lapisan atas (mukosa) telah menembusi lapisan bawah seperti lamina propria, muskularis mukosa atau submukosa (T1, N0, M0).
Beza di antara 1A dan 1B adalah bagi tahap 1B, sel kanser telah tersebar ke 1 atau 2 kelenjar limfa berdekatan dengan organ perut (T1, N1, M0).
Tahap 1B juga boleh didiagnosis bagi kanser yang tumbuh sehingga mencapai lapisan muskularis propria (T2, N0, M0)
Tiada penyebaran ke organ lain berlaku bagi penghidap kanser perut tahap 1.
Tahap 2
Seperti penyakit perut (kanser) tahap 1, tahap 2 boleh dibahagikan kepada tahap 2A dan 2B.
Terdapat beberapa interpretasi bagi kanser tahap 2A:
- Kanser telah tumbuh dari lapisan permukaan sehingga ke lapisan lamina propria, muskularis mukosa atau submukosa DAN sel kanser telah tersebar ke kelenjar limfa (3 hingga 6) berdekatan. (T1, N2, M0).
- Kanser telah sampai ke lapisan muskularis propria DAN ia telah tersebar ke 1 atau 2 kelenjar limfa berdekatan (T2, N1, M0).
- Kanser telah tumbuh sehingga ke lapisan subserosa. Tiada penyebaran berlaku pada kelenjar limfa atau organ lain. (T3, N0, M0).
Bagi kanser tahap 2 B pula:
- Kanser telah tumbuh dari lapisan permukaan hingga ke lapisan lamina propria, muskularis mukosa atau submukosa DAN sel kanser telah tersebar ke kelenjar limfa (7 hingga 15) berdekatan. (T1, N3a, M0).
- Kanser telah sampai ke lapisan muskularis propria DAN ia telah tersebar ke 3 hingga 6 kelenjar limfa berdekatan (T2, N2, M0).
- Kanser telah tumbuh sehingga ke lapisan subserosa DAN ia telah tersebar ke 1 atau 2 kelenjar limfa berdekatan (T3, N1, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut dan masuk ke dalam lapisan serosa namun ia belum merebak ke organ berdekatan. Tiada penyebaran berlaku pada kelenjar limfa atau organ lain (T4a, N0, M0).
Tahap 3
Kanser perut tahap 3 boleh dibahagikan kepada tahap 3A, 3B dan 3C.
Kanser perut tahap 3A
- Kanser telah sampai ke lapisan muskularis propria DAN ia telah tersebar ke 7 hingga 15 kelenjar limfa berdekatan (T2, N3a, M0).
- Kanser telah tumbuh sehingga ke lapisan subserosa DAN ia telah tersebar ke 3 hingga 6 kelenjar limfa berdekatan (T3, N2, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut dan masuk ke dalam lapisan serosa namun ia belum merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke 1 hingga 2 kelenjar limfa berdekatan (T4a, N1, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut dan masuk ke dalam lapisan serosa namun ia belum merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke 3 hingga 6 kelenjar limfa berdekatan (T4a, N2, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut, masuk ke dalam lapisan serosa dan merebak ke organ berdekatan. Tiada penyebaran berlaku pada kelenjar limfa atau organ lain (T4b, N0, M0).
Kanser perut tahap 3B
- Kanser telah tumbuh dari lapisan permukaan hingga ke lapisan lamina propria, muskularis mukosa atau submukosa DAN sel kanser telah tersebar ke lebih daripada 16 kelenjar limfa berdekatan. (T1, N3b, M0).
- Kanser telah sampai ke lapisan muskularis propria DAN ia telah tersebar ke lebih daripada 16 kelenjar limfa berdekatan. (T2, N3b, M0).
- Kanser telah tumbuh sehingga ke lapisan subserosa DAN ia telah tersebar ke 7 hingga 15 kelenjar limfa berdekatan (T3, N3a, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut dan masuk ke dalam lapisan serosa namun ia belum merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke 7 hingga 15 kelenjar limfa berdekatan (T4a, N3a, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut, masuk ke dalam lapisan serosa dan merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke 1 atau 2 kelenjar limfa berdekatan (T4b, N1, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut, masuk ke dalam lapisan serosa dan merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke 3 hingga 6 kelenjar limfa berdekatan (T4b, N2, M0).
Kanser perut tahap 3C
- Kanser telah tumbuh sehingga ke lapisan subserosa DAN ia telah tersebar ke lebih daripada 16 kelenjar limfa berdekatan (T3, N3b, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut dan masuk ke dalam lapisan serosa namun ia belum merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke lebih daripada 16 kelenjar limfa berdekatan (T4a, N3b, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut, masuk ke dalam lapisan serosa dan merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke 7 hingga 15 kelenjar limfa berdekatan (T4b, N3a, M0).
- Kanser telah menembusi dinding perut, masuk ke dalam lapisan serosa dan merebak ke organ berdekatan. Ia telah tersebar ke lebih daripada 16 kelenjar limfa berdekatan (T4b, N3b, M0).
Tahap 4
Bagi penyakit perut (kanser) tahap 4, ia tidak mengira faktor T dan N pada klasifikasi TNM.
Kanser tersebut boleh mempunyai kepelbagaian pada aspek saiz dan kadar penyebaran ke kelenjar limfa.
Apabila penghidap telah mengalami proses penyebaran kanser ke organ jauh seperti hati, peparu dan otak, ia terus dikelaskan sebagai kanser perut tahap 4. (T#, N#, M1).
Konklusi
Pengelasan jenis kanser perut berdasarkan kepada sistem TNM yang diasaskan oleh AJCC penting dalam menentukan rawatan terbaik buat pesakit.
Diagnosis awal boleh dikaitkan dengan tahap kesembuhan optimum bagi penghidap kanser.
Oleh yang demikian, jika anda mempunyai faktor risiko atau mengalami mana-mana simptom kanser, pastikan anda berjumpa dengan doktor.