backup og meta

Pemeriksaan Awal Penting Untuk Barah Perut, Ini Strategi Berkesan Untuk Pesakit Lebih Bersedia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/01/2023

    Pemeriksaan Awal Penting Untuk Barah Perut, Ini Strategi Berkesan Untuk Pesakit Lebih Bersedia

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Perut, sila dapatkannya di sini.

    Sukar untuk melakukan diagnosis kanser perut pada peringkat awal. Umumnya, pada ketika itu, kebanyakan penghidap tidak mengalami simptom.

    Walau bagaimanapun, bagi mereka yang bergejala, pemeriksaan akan dilakukan secara sistematik untuk mengesahkan diagnosis kanser perut sebelum rawatan.

    Sejarah perubatan pesakit dan pemeriksaan perut serta fizikal

    Sejarah perubatan merupakan tunjang kepada pembuktian diagnosis sebelum rawatan boleh diberikan kepada penghidap kanser perut.

    Melalui pengambilan sejarah perubatan pesakit, simptom dan maklumat berkaitan dengan faktor risiko kanser akan diperolehi.

    Punca kepada berlakunya simptom yang dialami pesakit kemudiannya akan disiasat.

    Pemeriksaan fizikal akan dilaksanakan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi semasa proses pengambilan sejarah pesakit.

    Ia lebih spesifik kepada sistem tertentu seperti sistem gastrousus, jantung, pernafasan dan sebagainya. 

    Dalam masa yang sama, doktor turut akan menganalisa tahap kesihatan pesakit melalui pemeriksaan tanda penting seperti denyutan nadi, kadar pernafasan dan lain-lain. 

    Jika pemeriksaan fizikal menunjukkan anda berisiko tinggi untuk menghidap kanser perut, rujukan kepada pakar gastrousus akan dibuat untuk pemeriksaan selanjutnya.

    Ujian makmal akan dibuat bagi menguji ketepatan diagnosis yang diperolehi semasa pengambilan sejarah dan pemeriksaan fizikal pesakit.

    Prosedur endoskopi atas

    Apabila anda mempunyai faktor risiko dangejala kanser perut, prosedur endoskopi atas boleh membantu mengesahkan diagnosis kanser perut.

    Semasa prosedur tersebut sedang berlangsung, doktor akan memasukkan alat endoskop, tiub fleksibel yang dilengkapi dengan kamera dan lampu, ke dalam mulut anda.

    Ia akan melalui tekak, esofagus, perut dan bahagian pertama usus kecil (duodenum).

    Sekiranya terdapat perubahan tidak normal pada permukaan organ sepanjang laluan tersebut, sampel tisu akan diambil menggunakan alat endoskop.

    Tisu tersebut kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk tujuan analisis.

    Kanser perut kebiasaannya mempunyai pelbagai jenis rupa melalui pemeriksaan endoskopi.

    Ia boleh kelihatan seperti ketumbuhan berbentuk cendawan, ulser atau peningkatan pada ketebalan dinding mukosa.

    Ultra bunyi endoskopi

    Alat ultra bunyi menggunakan gelombang bunyi bagi menghasilkan gambar organ yang terdapat di dalam badan.

    Pemeriksaan menggunakan alat ultra bunyi boleh dibuat terhadap kanser bagi mendapatkan maklumat tambahan seperti lapisan dinding perut, kelenjar limfa di sekeliling perut dan integriti organ lain yang terletak berdekatan dengan perut.

    Alat tersebut akan diletakkan pada penghujung endoskop dan ia akan dimasukkan ke dalam perut bagi menjalankan proses imbasan.

    Kualiti gambar yang dihasilkan oleh ultra bunyi endoskopi (EUS) adalah jauh lebih baik berbanding dengan pemeriksaan ultra bunyi konvensional.

    Ia boleh digunakan bagi melihat sejauh mana kanser sudah merebak ke dinding perut, tisu berdekatan atau kelenjar limfa di sekeliling perut.

    Prosedur biopsi

    pemeriksaan perut

    Walaupun pemeriksaan endoskopi boleh membantu mendiagnosis kanser perut, tapi dengan biopsi ia merupakan kaedah yang mengesahkan ketepatan diagnosis tersebut.

    Tanpa analisis menggunakan prosedur biopsi, diagnosis kanser perut tidak boleh dibuat dan rawatan tidak boleh diberikan.

    Terdapat kanser perut yang tertanam di dalam dinding organ perut menyebabkan ia sukar untuk dibiopsi menggunakan kaedah endoskopi.

    Dalam keadaan tersebut, alat ultra bunyi endoskopi perlu digunakan bagi membimbing masuk jarum biopsi semasa proses pengambilan sampel.

    Selain daripada tisu organ itu sendiri, sampel tisu juga boleh diambil daripada bahagian lain seperti kelenjar limfa.

    Tisu yang dihantar ke makmal akan diperiksa di bawah mikroskop bagi melihat sekiranya terdapat kanser.

    Ujian imbasan

    Penggunaan kaedah imbasan boleh memberikan gambaran yang lebih jelas kepada doktor yang merawat berkenaan dengan keadaan di dalam tubuh badan manusia.

    Prosedur ini dilakukan bagi memenuhi tujuan seperti:

    1. Mencari lokasi spesifik yang berkemungkinan kanser
    2. Mengesan sejauh mana kanser sudah merebak
    3. Untuk melihat tahap keberkesanan rawatan 

    Secara amnya, terdapat beberapa jenis alat imbasan yang boleh digunakan bagi mengesan kanser perut.

    Antaranya adalah seperti berikut.

    Siri imbasan gastrousus atas

    Ini adalah pemeriksaan organ yang terdapat pada sistem gastrousus atas menggunakan alat imbasan x-ray.

    Jika dibandingkan dengan penggunaan endoskopi, prosedur siri imbasan gastrousus atas jarang digunakan memandangkan ia tidak boleh mengambil sampel tisu pesakit.

    Tambahan pula, pengguna boleh terlepas pandang kawasan tidak normal yang mungkin mempunyai potensi kanser.

    Pesakit akan diarahkan untuk mengambil minuman yang mengandungi barium.

    Elemen tersebut akan mewarnai lapisan esofagus, perut dan usus kecil memandangkan x-ray tidak berupaya untuk menembusi barium.

    Keadaan ini akan menunjukkan sekiranya terdapat struktur tidak normal pada organ terlibat.

    Imbasan tomografi berkomputer (CT)

    Berbeza dengan imbasan x-ray biasa, imbasan CT menggunakan x-ray bagi membentuk gambaran dalaman tubuh badan manusia melalui sudut pandangan keratan rentas.

    Ia boleh digunakan bagi mengesahkan lokasi kanser pada organ perut.

    Selain daripada itu, imbasan CT juga boleh menunjukkan keadaan organ lain berdekatan dengan perut seperti hati, kelenjar limfa dan organ jauh sekiranya kanser merebak.

    Prosedur biopsi juga boleh dibuat dengan bimbingan imbasan CT.

    Pengimejan resonans magnet (MRI)

    pemeriksaan perut

    Sama seperti imbasan CT, MRI boleh menunjukkan gambaran yang lebih jelas terutamanya berkaitan dengan tisu lembut yang terdapat di dalam badan.

    Walau bagaimanapun, berbeza dengan imbasan CT yang menggunakan x-ray, MRI menggunakan gelombang radio dan magnet yang kuat.

    Imbasan tomografi pemancar positron (PET)

    Apabila menggunakan imbasan PET, penghidap akan disuntik dengan air gula radioaktif.

    Ia akan berkumpul di sel kanser dan sebuah kamera khas akan digunakan bagi mengesan pengumpulan air gula radioaktif tersebut di dalam badan.

    Jika dibandingkan dari segi kualiti imej, imbasan CT dan MRI mempunyai kualiti yang jauh lebih baik.

    Namun, imbasan PET boleh digunakan bagi mengesan tempat kanser merebak di seluruh badan dengan hanya satu imbasan.

    Terdapat juga mesin imbasan baharu yang menggandingkan kedua-dua fungsi PET dan CT.

    Gabungan kedua mesin tersebut membuatkan ia mampu mengeluarkan imej berkualiti tinggi dan memudahkan proses pengesanan sel kanser yang telah merebak.

    X-ray dada

    Imbasan x-ray berupaya untuk mengesan jika sel kanser sudah merebak ke organ peparu.

    Ia juga boleh digunakan untuk mengesan sekiranya terdapat penyakit jantung atau peparu.

    Namun, jika imbasan CT dada telah dibuat, x-ray tidak perlu diulangi semula.

    Ujian lain untuk kesan kanser perut

    Laparoskopi

    Walaupun imbasan CT dan MRI mempunyai kadar ketepatan yang agak tinggi, kadangkala, ia boleh terlepas terutamanya jika tumor tersebut bersaiz kecil.

    Doktor boleh membuat prosedur laparoskopi sebelum pembedahan atau terapi kemo/radio bagi mengesahkan lokasi kanser dan jika terdapat ketumbuhan yang lain.

    Pesakit akan ditolak masuk ke dalam bilik pembedahan dan dibiuskan.

    Kemudian, tiub fleksibel yang dilengkapi dengan kamera dan lampu akan digunakan bagi melihat keadaan pada organ perut.

    Sekiranya status penyebaran kanser masih lagi tidak diketahui, doktor boleh menyuntik masuk air garam ke dalam ruang abdomen.

    Air garam itu kemudiannya akan diperiksa. Jika ia mengandungi sel kanser, barah dianggap sudah tersebar ke organ lain walaupun penyebarannya tidak boleh dilihat melalui imbasan.

    Ujian makmal untuk pemeriksaan kanser perut

    Terdapat beberapa ujian makmal yang boleh dijalankan bagi melihat tahap kesihatan penghidap kanser perut.

    Ujian ini dibuat terutamanya kepada mereka yang akan menjalani pembedahan.

    Antaranya adalah:

    1. Ujian darah – jumlah darah merah (anemia), darah putih (jangkitan) dan darah kuning (masalah pembekuan darah).
    2. Fungsi hati
    3. Fungsi buah pinggang
    4. Ujian darah pada najis
    5. Elektrokardiogram dan ekokardiogram jika ada masalah jantung

    Konklusi

    Langkah pengesahan diagnosis bagi kanser perut perlu dilakukan secara sistematik.

    Terdapat pelbagai jenis modaliti ujian yang boleh digunakan bagi mendiagnosis masalah kanser perut.

    Oleh sebab kebanyakan individu yang menghidap kanser tersebut pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang simptom, maka pemeriksaan secara berkala jika anda mempunyai faktor risiko boleh membantu mengesannya lebih awal.

    Jika anda mengalami sebarang gejala kanser perut, buat pemeriksaan dan ujian di fasiliti kesihatan terdekat dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan