backup og meta

Kanser Perut Sering Lewat Didiagnosis, Tapi Jangan Risau, Ada 5 Pilihan Rawatan!

Kanser Perut Sering Lewat Didiagnosis, Tapi Jangan Risau, Ada 5 Pilihan Rawatan!

Ketumbuhan dalam perut (kanser) jarang didiagnosis dalam kalangan penghidap pada peringkat awal berikutan mereka kebiasaannya tidak menunjukkan tanda kanser perut.

Oleh sebab ia merupakan salah satu daripada kanser yang sukar untuk didiagnosis, kebanyakan pesakit hanya mengetahui akan status kanser mereka pada peringkat lewat.

Keadaan ini menyukarkan rawatan dan menurunkan potensi kesembuhan penyakit dalam kalangan penghidap.

Artikel ini akan memfokuskan kepada kanser perut tahap 4. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.

Fahami tentang kanser perut tahap 4

Seperti masalah kanser yang lain, ketumbuhan dalam perut turut mempunyai pengelasan berdasarkan perubahan patologi kanser yang berlaku.

Apabila kanser perut telah mencapai ke tahap 3 dan 4, ia lebih dikenali sebagai kanser perut tahap lewat.

Pengetahuan berkenaan dengan perkara ini sangat penting dari sudut pandang klinikal berikutan ia menentukan jenis protokol rawatan yang berkesan bagi penghidap.

ketumbuhan dalam perut

Oleh sebab diagnosis bagi kanser perut kebiasaannya dibuat lewat (akibat ketiadaan tanda kanser perut pada peringkat awal), maka pesakit perlu memahami rawatan yang ada untuk membantu mereka membuat keputusan.

Apa yang anda perlu faham berkenaan dengan kanser perut tahap 4, ia tidak lagi terhad kepada organ perut sahaja.

Sel kanser telah merebak ke organ lain (dekat atau jauh) dan telah menerobos masuk ke dalam kelenjar limfa pesakit.

Perkara ini membuatkan proses kesembuhan penyakit menjadi sangat sukar.

Rawatan pada peringkat lewat kanser kebiasaannya melibatkan gabungan terapi. 

Keputusan sama ada hendak meneruskan atau menukar protokol rawatan akan dibuat berdasarkan kepada tindak balas sel kanser terhadap rawatan tersebut.

Perkara seperti inilah yang akan mempengaruhi potensi kesembuhan seseorang.

Kesembuhan secara total tampak mustahil pada peringkat kanser ini namun kawalan simptom dan pertumbuhan kanser masih boleh dicapai bagi memaksimumkan tahap kesihatan penghidap.

Modaliti rawatan bagi penghidap kanser tahap akhir

ketumbuhan dalam perut

Terdapat beberapa rawatan kanser yang boleh dipreskripsikan oleh doktor kepada penghidap kanser perut tahap akhir.

Antara rawatan yang boleh menjadi pilihan adalah:

  • Pembedahan – Pakar bedah akan memotong sebahagian atau keseluruhan perut yang mempunyai ketumbuhan. Situasi ini boleh membantu meredakan masalah kesakitan dan pendarahan. Apabila sebahagian perut sudah dipotong, doktor akan menyambungkannya kepada usus kecil bagi membolehkan aliran makanan berlaku secara normal
  • Terapi radiasi dan kemo – Sama seperti rawatan bagi masalah kanser lain, kedua-dua terapi ini boleh digunakan bagi merawat simptom, melegakan kesakitan dan mengecilkan saiz tumor supaya ia boleh dibuang melalui pembedahan
  • Terapi laser – Kaedah ini melibatkan penggunaan tiub yang dipanggil endoskop untuk memusnahkan sel kanser menggunakan laser. Kaedah ini turut dikenali sebagai ablasi tumor endoskopik
  • Terapi bersasar – Rawatan ini melibatkan penggunaan ubat untuk menyerang kanser secara spesifik. Ubat yang digunakan juga boleh menguatkan sistem imun untuk menyerang sel kanser
  • Rawatan suplemental – Oleh sebab ketumbuhan dalam perut boleh menghalang proses fisiologi makan, ia boleh menyebabkan masalah malnutrisi. Bagi pesakit kanser tahap akhir, rujukan kepada pakar pemakanan boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan mereka. Doktor juga boleh mempreskripsikan suplemen atau ubat untuk melegakan simptom

Berapa lama pesakit kanser perut boleh hidup?

Seperti kanser lain, kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser perut hanya bersifat relatif.

Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi keadaan kesihatan pesakit.

ketumbuhan dalam perut

Anda perlu ingat:

  • Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi prognosis seseorang seperti usia, tahap kesihatan keseluruhan dan jenis rawatan yang diberi
  • Kadar kelangsungan hidup hanya berguna pada awal diagnosis dibuat
  • Kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser perut adalah nilai perbandingan di antara pesakit kanser tersebut dengan populasi umum yang tidak menghidap kanser
  • Statistik yang datang bersama dengan ramalan kadar kelangsungan hidup dibuat berdasarkan kepada rekod pesakit terdahulu. Teknologi dan protokol rawatan berubah sepanjang zaman dan ia boleh menjadi bertambah baik apabila kita lebih memahami akan proses patologi kanser

Jika dilihat pada data yang direkodkan dalam program SEER ( Surveillance, Epidemiology and End Results), kadar kelangsungan hidup 5 tahun secara keseluruhan bagi kanser perut adalah 31.5%.

Manakala bagi pesakit kanser tahap akhir pula adalah pada sekitar 5.3%. Data tersebut merekodkan kes bagi individu yang telah didiagnosis di antara tahun 2009 hingga 2015.

Sekiranya anda ragu-ragu, sila bertanyakan kepada doktor anda untuk keterangan lanjut.

Konklusi

Kanser perut adalah sejenis barah yang jarang didiagnosis di seluruh dunia. 

Ia berpunca daripada manifestasi tanda kanser perut yang lambat menyebabkan kesukaran untuk membuat diagnosis awal.

Jika anda mengalami tanda kanser perut atau ketumbuhan dalam perut, jangan lengahkan lagi. Jumpa dengan doktor anda sekarang untuk pengesahan dan rawatan sekiranya perlu.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Stomach cancer. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/stomach-cancer/symptoms-causes/syc-20352438. Diakses pada 17 Februari 2021.
  2. Gastric Cancer Treatment (PDQ®)–Patient Version. https://www.cancer.gov/types/stomach/patient/stomach-treatment-pdq. Diakses pada 17 Februari 2021.
  3. Cancer stat facts: stomach cancer. https://seer.cancer.gov/statfacts/html/stomach.html. Diakses pada 17 Februari 2021.
  4. Treatment Choices Based on the Extent of Stomach Cancer. https://www.cancer.org/cancer/stomach-cancer/treating/by-stage.html. Diakses pada 17 Februari 2021.
  5. Surgery for Stomach Cancer. https://www.cancer.org/cancer/stomach-cancer/treating/types-of-surgery.html. Diakses pada 17 Februari 2021.

Versi Terbaru

10/02/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Aishah Jamaludin


Artikel Berkaitan

Alami Sakit Perut Berpanjangan? Ini Mungkin Antara 11 Tanda Kanser Perut

Ada 19 Faktor Risiko Yang Boleh Menyebabkan Kanser Perut, Ubah Gaya Pemakanan Ke Arah Sihat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/02/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan