backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apa Itu Kanser Perut: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/01/2023

Apa Itu Kanser Perut: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Perut, sila dapatkannya di sini.

Kanser perut merupakan sejenis barah pada organ perut. Ia turut dikenali sebagai kanser gastrik dan keadaan kesihatan ini berlaku akibat daripada pembahagian sel gastrik yang tidak terkawal.

Organ perut adalah antara organ terpenting dalam sistem pencernaan manusia. Makanan yang dikunyah akan ditelan masuk ke dalam perut melalui persimpangan gastroesofagus yang terletak di penghujung saluran esofagus iaitu di bawah otot diafragma.

Perut berupaya untuk menyimpan makanan dan merembeskan jus gastrik yang mengandungi asid hidroklorik bagi mencerna makanan.

Apabila selesai proses fisiologi tersebut, makanan akan digerakkan ke bahagian usus kecil pertama yang dipanggil duodenum.

Simptom Barah Perut

Seperti kebanyakan kanser yang lain, pada peringkat awal, kebanyakan penghidap kanser perut tidak mengalami sebarang simptom.

Proses patologi yang mendorong terjadinya kanser perut berlaku pada kadar yang sangat perlahan.

Perubahan pra kanser kebiasaannya bermula pada lapisan permukaan mukosa organ perut.

Keadaan ini jarang menyebabkan wujudnya gejala bagi masalah barah perut.

Namun, jika lokaliti permulaan kanser perut berbeza bagi penghidap kanser, mereka boleh mengalami simptom seperti:

  1. Sakit abdomen terutamanya pada kawasan atas pusat
  2. Loya
  3. Muntah
  4. Kurang selera makan atau cepat kenyang walaupun makan sedikit
  5. Hilang berat badan 
  6. Najis berdarah
  7. Pedih ulu hati

Jika anda mengalami mana-mana simptom di atas, tidak bermaksud anda mempunyai risiko kanser perut.

Keadaan kesihatan lain seperti ulser dan jangkitan mikroorganisma turut dimanifestasikan dengan simptom yang tersenarai.

Oleh sebab majoriti penghidap tidak mengalami simptom pada peringkat permulaan penyakit, hanya segelintir sahaja yang didiganosis dengan kanser perut tahap awal.

Punca kanser perut

Walaupun terdapat banyak faktor risiko yang dikaitkan dengan kanser perut, mekanisme perubahan patologi kepada organ tersebut sehingga berlakunya kanser masih lagi tidak diketahui.

Meskipun begitu, terdapat beberapa perubahan pada permukaan organ perut yang merupakan tanda pra kanser.

Sebagai contoh, bagi pesakit gastrik kronik (chronic atrophic gastritis), jumlah kelenjar yang terdapat dalam organ perut kebiasaannya rendah atau tiada kelenjar langsung.

Keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh masalah autoimun (sel pertahanan badan menyerang permukaan organ perut) atau jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori)

Kelenjar perut penting dalam proses fisiologi pencernaan kerana ia merembeskan mukus yang boleh melindungi dinding organ daripada kerosakan berikutan rembesan asid hidroklorik.. 

Kesan daripada perubahan patologi itu, pelbagai jenis masalah kesihatan boleh dimanifestasikan terhadap individu terbabit termasuklah kanser.

Terdapat juga kes kanser perut di mana mekanisme utama yang berlaku pada organ tersebut melibatkan perubahan sel perut kepada sel yang kebiasaannya terdapat pada lapisan usus kecil.

Bagaimana perubahan ini boleh menyebabkan masalah kanser masih tidak difahami sepenuhnya.

Namun, ia mungkin berpunca daripada jangkitan bakteria H pylori.

Siapa yang berisiko untuk mendapat barah perut?

Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan kecenderungan anda untuk didiagnosis dengan masalah kanser perut.

  • Lelaki lebih berisiko daripada wanita untuk mendapat kanser perut
  • Individu yang berusia 50 tahun ke atas
  • Jangkitan bakteria H pylori kronik boleh menyebabkan perubahan pra kanser pada permukaan organ perut
  • Individu yang didiagnosis dengan masalah limfoma (MALT) pada organ perut
  • Pengambilan makanan yang mengandungi kompaun nitrit atau nitrat seperti daging, ikan masin, makanan yang dipanggang serta sayur jeruk
  • Tabiat merokok 
  • Masalah berat badan berlebihan atau obes
  • Pernah menjalani pembedahan yang melibatkan organ perut
  • Anemia pernisius (masalah kekurangan darah merah disebabkan oleh kegagalan perut menghasilkan faktor intrinsik untuk menyerap masuk vitamin B12)
  • Penyakit Menetrier (lapisan permukaan perut tebal menyebabkan jumlah asid yang dirembeskan menjadi sedikit)
  • Sejarah kanser perut dalam keluarga
  • Pekerjaan tertentu seperti pelombong arang dan mereka yang terlibat dalam industri pembuatan besi dan getah

Langkah pencegahan barah perut

Tiada cara mutlak yang dapat menghindarkan mana-mana individu daripada didiagnosis dengan masalah kanser perut.

Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan melalui beberapa langkah pencegahan seperti berikut.

Perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat

Mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes berisiko tinggi untuk mendapat kanser perut.

Oleh yang demikian, kunci penyelesaian utama kepada masalah tersebut adalah pemakanan dan aktiviti fizikal.

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran (tidak berjeruk) boleh menurunkan risiko kanser perut memandangkan ia mengandungi antioksidan yang tinggi.

Selain daripada itu, alkohol juga perlu dielakkan berikutan ia berupaya untuk meningkatkan risiko kanser perut.

Aktiviti fizikal dan senaman perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan kesihatan anda berada pada tahap yang optimum.

Saranan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah supaya setiap individu untuk melakukan aktiviti berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

Elakkan daripada merokok

Merokok dan penggunaan produk tembakau bagi tujuan lain boleh meningkatkan risiko kanser perut.

Tabiat ini merupakan punca kepada pelbagai jenis kanser di seluruh dunia.

Jika anda memerlukan bantuan profesional untuk berhenti merokok, rujuk pusat kesihatan terdekat.

Rawat jangkitan H pylori

barah perut

Walaupun pakar masih lagi tidak jelas berkenaan dengan peranan bakteria H pylori dalam barah perut, rawatan jangkitan tersebut boleh membantu menurunkan risiko.

Oleh sebab jangkitan bakteria ini tidak menunjukkan manifestasi yang sama dengan jangkitan lain, terdapat beberapa cara doktor anda boleh membuat pengesahan.

  1. Ujian darah bagi mengesan antibodi yang dihasilkan khusus untuk membasmi bakteria H pylori. Antibodi tersebut boleh memberi isyarat bahawa anda masih lagi dijangkiti bakteria tersebut atau anda pernah dijangkiti namun sudah sembuh.
  2. Ujian hembus urea bagi mengesahkan kehadiran bakteria H pylori. Oleh sebab bakteria tersebut boleh menghasilkan enzim urease, ia boleh menukarkan urea kepada amonia dan karbon dioksida. Pil urea akan dilabel dengan isotop tertentu (Karbon-14 atau Karbon-13) dan kemudiannya akan diukur semasa pesakit menghembuskan nafas mereka. Jika terdapat bacaan isotop tersebut, keputusannya positif.
  3. Prosedur biopsi (pengambilan sampel tisu perut) menggunakan kaedah endoskopi. Tisu yang diambil akan dianalisis bagi melihat jika terdapat bakteria H pylori.

Ujian genetik bagi individu berisiko

Individu yang mempunyai sejarah kanser perut dalam keluarga atau pernah didiagnosis dengan sindrom kanser warisan (kanser usus, kanser payudara, sindrom Lynch) boleh membuat ujian genetik bagi mengetahui risiko barah perut.

Sindrom kanser warisan adalah individu yang mewarisi mutasi genetik menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk mendapat masalah kanser tertentu.

Hanya segelintir dalam kalangan pesakit kanser perut mempunyai sejarah kanser perut atau sindrom kanser warisan.

Namun, jika mereka berisiko dan diketahui lebih awal, maka langkah pencegahan boleh diambil sebelum keadaan kanser tersebut melarat.

Bila anda perlu berjumpa dengan doktor?

Sukar untuk kita tentukan bila masa yang sesuai untuk berjumpa dengan doktor.

Namun, jika anda mengalami simptom yang tersenarai dan khuatir akan risiko kanser, pemeriksaan doktor boleh memberikan gambaran yang lebih jelas.

Barah perut jika didiagnosis pada peringkat awal boleh dirawat dan ia mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi.

Bagi mencapai matlamat tersebut, anda perlu memberikan maklumat dan sejarah perubatan yang lengkap bagi membantu doktor membuat diagnosis.

Berikut merupakan tip yang anda boleh lakukan sebelum berjumpa doktor:

  1. Tulis simptom dan maklumat berkaitan dengannya seperti bila ia bermula, perubahan (jika semakin teruk atau baik) dan berapa kerap berlaku.
  2. Beritahu doktor anda jika mempunyai sejarah masalah kanser dalam keluarga.
  3. Bawa rakan atau ahli keluarga bersama ketika berjumpa dengan doktor. Mereka boleh bertanya soalan dan mengingati maklumat yang mungkin anda lupa.
  4. Jika tidak faham, minta penjelasan daripada doktor.
  5. Anda boleh meminta doktor untuk tulis atau lakarkan untuk anda jika ia boleh membantu anda untuk faham.

Pemeriksaan fizikal yang akan dibuat oleh doktor bergantung kepada simptom dan faktor risiko yang dikenal pasti semasa pengambilan sejarah perubatan.

Suhu, tekanan darah dan kadar denyutan nadi merupakan ukuran standard yang akan diambil berserta dengan pemeriksaan abdomen.

Jika terdapat tanda-tanda yang menunjukkan anda mungkin menghidap masalah kanser perut, ujian makmal akan dibuat bagi mengesahkan diagnosis tersebut.

Hidup dengan barah perut

Rawatan boleh menyembuhkan masalah kanser perut namun, perkara yang sering menjadi ketakutan adalah jika kanser tersebut timbul kembali.

Jadi, beberapa aspek perlu diberi penekanan berkaitan dengan hidup selepas didiagnosis dengan kanser perut.

Antaranya:

  1. Janji temu selepas rawatan kanser penting bagi memastikan masalah kanser anda tidak melarat atau timbul kembali jika sudah sembuh sepenuhnya. Pastikan anda hadir dan beritahu jika ada simptom atau masalah yang timbul selepas selesai rawatan.
  2. Tanya kepada doktor anda berkenaan dengan pelan penjagaan bagi pesakit kanser. Perkara ini boleh berkisar tentang  gaya hidup, rawatan susulan dan ujian makmal yang anda perlu lakukan kelak.
  3. Makan boleh menjadi sukar selepas anda melakukan pembedahan kanser perut. Ia berikutan organ terlibat merupakan organ penting dalam sistem pencernaan. Aduan yang lazim berkaitan dengan keadaan yang dipanggil sebagai dumping syndrome. Pesakit mengalami masalah loya, perpeluhan dan cirit birit sejurus selepas makan. Ini disebabkan oleh makanan masuk terus ke dalam usus memandangkan organ perut kecil (telah dibedah) atau tiada (telah dibuang).
  4. Pastikan anda menyimpan rekod perubatan dan insurans kesihatan anda.
  5. Jangan ambil suplemen melainkan sudah disahkan oleh doktor. Tiada kajian yang membuktikan suplemen boleh menurunkan risiko kanser perut bagi yang belum mengalaminya. Jika anda ingin mengambil suplemen selepas rawatan kanser, tanya kepada doktor terlebih dahulu.
  6. Jika kanser anda kembali semula, dapatkan rawatan dengan kadar segera.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/01/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan