Benarkah kanser buah dada lelaki juga sebenarnya wujud? Ya, golongan lelaki juga boleh berisiko untuk terkena penyakit ini walaupun penyakit ini kerap berlaku kepada wanita sahaja.
Namun begitu, golongan lelaki juga tidak boleh memandang remeh terhadap penyakit ini tetapi sebaliknya mereka perlu berwaspada terhadap simptom-simptom yang mereka mungkin alami.
Apakah simptom penyakit ini dan bagaimana rawatannya pula? Ikuti artikel ini sehingga tamat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.
Kekerapan kanser buah dada lelaki
Ya, lelaki juga berisiko untuk mendapat kanser payudara tetapi peratusannya amatlah rendah.
Dianggarkan kurang daripada 1% kes kanser payudara berlaku dalam kalangan lelaki dan hanya seorang dalam seribu lelaki didiagnosis memiliki kanser payudara.
Walau bagaimanapun, kadar kematian akibat kanser payudara dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi disebabkan kesedaran yang lebih sedikit.
Mereka seringkali tidak menganggap bahawa ketulan pada bahagian payudara adalah kanser, menyebabkan mereka lewat didiagnosis dan mendapatkan rawatan.
Kanser buah dada lelaki
Untuk pengetahuan anda, kedua-dua golongan lelaki dan wanita dilahirkan dengan tisu dan sel payudara.
Walaupun golongan lelaki tidak berkemampuan menghasilkan susu badan, sel dan tisu payudara golongan ini masih mampu berkembang menjadi kanser.
Pada kebiasannya, kanser buah dada lelaki dikesan melalui ketulan keras di bawah puting dan areola.
Kebanyakan kes kanser payudara dalam kalangan lelaki adalah Infiltrating Ductal Carcinoma (IDC), iaitu sel yang berada di sekitar salur atau ducts mula menyerang tisu lain yang berada di sekitarnya.
Amat jarang untuk golongan lelaki didiagnosis dengan kanser payudara disebabkan oleh keradangan.
Faktor risiko kanser payudara lelaki
Terdapat beberapa faktor risiko kanser yang boleh terjadi dalam kalangan lelaki, iaitu:
- Umur yang semakin meningkat
- Pendedahan diri terhadap radiasi
- Tahap hormon estrogen yang tinggi
- Sejarah keluarga yang pernah mempunyai kanser payudara, terutamanya kanser payudara yang berkaitan dengan gen BRCA2.
- Sindrom Klinefelter
- Penyakit hati
- Obesiti
- Penyakit testikel atau pembedahan keatas testikel
Tanda dan simptom
Kanser payudara bagi golongan ini mempunyai simptom yang sama seperti mana kanser payudara wanita. Antara tanda awal kanser payudara ialah:
- Kewujudan ketulan yang tidak menyakitkan
- Berlakunya penebalan pada bahagian tisu payudara
- Perubahan keadaan kulit yang meliputi payudara anda seperti kemerahan dan kedutan
- Perubahan keadaan puting payudara
Anda perlu berjumpa dengan doktor perubatan secepat mungkin sekiranya anda mendapati sebarang perubahan atau kelainan daripada biasa yang terdapat pada payudara anda.
Pengesanan awal boleh mengurangkan risiko kematian akibat kanser ini selain meningkatkan pilihan rawatan kanser.
Jangan fikir bahawa anda adalah seorang lelaki, anda tidak mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara.
Selagi mana anda memiliki payudara, selagi itulah anda tetap berisiko untuk mendapat kanser ini.