backup og meta

Diet Rendah Karbohidrat Boleh Sebabkan Kanser Usus, Benarkah?

Diet Rendah Karbohidrat Boleh Sebabkan Kanser Usus, Benarkah?

Atkins, Dukan, Paleo… yang mana satukah pelan diet rendah karbohidrat yang sedang anda ikuti? Tahukah, bahawa anda lebih berisiko untuk mendapat kanser usus jika anda mengamalkan pelan diet tersebut?

Ikuti artikel ini untuk maklumat berkaitan diet rendah karbohidrat selanjutnya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Kolorektal, sila dapatkannya di sini.

Kurang Karbo, Kurang Berat

Diet rendah karbohidrat (atau karbo) adalah pelan pemakanan yang amat popular pada masa kini.

Banyak kajian saintifik telah membuktikan keberkesanannya menurunkan berat badan dalam masa yang singkat.

Konsep yang dipelopori melalui amalan pemakanan ini berasaskan kepada kawalan terhadap paras insulin bagi memastikan penurunan peratusan lemak badan berlaku dengan lebih efektif.

Untuk memahami konsep di sebaliknya, anda perlu mengetahui sedikit sebanyak berkenaan dengan asas kepada proses pencernaan makanan.

Glukosa merupakan unit terkecil bagi nutrisi makro, karbohidrat.

Apabila kita makan makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi, insulin akan dirembeskan bagi membantu proses pengagihan glukosa kepada sel-sel yang memerlukan sumber tenaga.

Insulin bertindak sebagai kunci biokimia yang berupaya membawa masuk glukosa ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga.

Setiap sel mempunyai kapasiti glukosa maksimum yang boleh dihuni dalam satu masa. Persoalannya, apabila kesemua sel sudah mempunyai sumber tenaga yang cukup, ke mana lebihan glukosa akan pergi?

Mudah sahaja. Lebihan ini akan ditukar menjadi glikogen dan disimpan sama ada di dalam organ hati atau otot.

Glukosa tidak boleh duduk di dalam salur darah untuk tempoh masa yang lama kerana ia boleh berinteraksi dengan molekul protein dalam proses berbahaya yang dikenali sebagai glikasi.

Justeru, jika simpanan glikogen kita sudah mencukupi, lebihan glukosa akan disimpan di dalam sel-sel lemak kerana sel ini mempunyai struktur yang ringkas berbanding dengan sel lain.

Apabila dilihat kepada model fisiologi bagaimana terjadinya sel lemak, kita boleh simpulkan bahawa cara yang paling berkesan untuk mengurangkan berat badan atau peratusan lemak badan adalah dengan mengurangkan makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi.

Maka, pelan pemakanan diet rendah karbohidrat merupakan salah satu cara yang efektif dalam mengawal berat badan.

Kanser usus dan diet rendah karbohidrat

diet rendah karbohidrat

Kajian yang dibuat pada bulan April 2019 telah menunjukkan bahawa mereka yang mengambil makanan berasaskan karbohidrat yang sedikit mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat segala bentuk kanser.

Ini berdasarkan kepada dapatan kajian yang melibatkan hampir 25,000 subjek dari tahun 1999 hingga 2010.

Mereka yang mengamalkan pemakanan rendah karbohidrat didapati mempunyai risiko setinggi 35% untuk mati berpunca daripada masalah kanser berbanding dengan populasi umum.

Kajian ini telah disahkan oleh 7 kajian-kajian lain yang mendapati bahawa, dalam kalangan 450,000 individu, mereka yang mengamalkan diet rendah karbohidrat mempunyai risiko setinggi 8% untuk mati disebabkan oleh kanser.

Namun, anda perlu tahu bahawa kanser boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai jenis faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum kita membuat rumusan.

Kajian ini dilaksanakan melalui borang kaji selidik tanpa melibatkan konsultasi secara langsung.

Secara teorinya, mereka yang mengamalkan gaya pemakanan ini, terutamanya mereka yang mengehadkan pengambilan karbohidrat kepada 30 gram sehari selalunya mengambil makanan yang rendah serat.

Serat yang terkandung di dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin mempunyai potensi untuk menghalang berlakunya insiden kanser usus.

Jika anda mengambil jumlah makanan serat yang mencukupi, anda akan menurunkan risiko untuk mendapat kanser tersebut sebanyak 20%.

Walaupun kita tahu berkenaan dengan fakta ini, 9 daripada 10 individu dewasa gagal untuk memenuhi keperluan nutrisi serat sebanyak 30 gram dalam masa sehari.

Gaya pemakanan ‘seimbang’ perlu menjadi fokus utama untuk hidup sihat, bukan hanya diet merapu

diet rendah karbohidrat

Bagi memastikan kesihatan individu berada pada tahap optimum, amalan pemakanan seimbang perlu ditekankan.

Konsep yang perlu diajari berteraskan kepada keseimbangan pengambilan nutrisi makro dan mikro.

Sebagai contoh, mereka yang mengamalkan gaya pemakanan keto (mengambil majoriti lemak di dalam diet harian) cenderung untuk tidak mengambil buah.

Ini berikutan buah-buahan mengandungi peratusan gula yang kebiasaannya menjadi pantang larang kepada mereka yang mengamalkan gaya pemakanan tersebut.

Walaupun anda berkemungkinan berjaya menurunkan berat badan, pengambilan makanan rendah serat tidak memberikan kebaikan kepada sistem gastrousus.

Ini meningkatkan risiko kanser kolorektal, meskipun proses patologinya berlaku secara perlahan dan tidak mendadak.

Namun, penurunan berat badan yang boleh dinikmati oleh mereka yang menjaga pantang makan berupaya untuk menghindarkan individu daripada faktor risiko obesiti.

Ini boleh membantu meningkatkan peluang untuk mencegah kanser daripada berlaku.

Jika anda ingin mengamalkan diet yang spesifik, jangan tiru bulat-bulat. Pertimbangkan sekali keperluan anda untuk hidup sihat dan bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Konklusidiet rendah karbohidrat

Pengambilan serat dalam pemakanan akan memberikan kualiti hidup terbaik dalam jangka masa panjang.

Buat masa ini, tiada kajian yang menunjukkan diet rendah karbohidrat seperti diet ketogenik akan menyebabkan peningkatan kanser usus secara langsung.

Namun perlu kita ingat bahawa mereka yang mengambil diet seperti ini kebiasaannya mengambil jumlah serat yang tidak cukup dalam masa sehari.

Dalam proses merawat penyakit obesiti ini, jangan kita abaikan aspek kesihatan yang lain.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Ketogenic diet and colorectal cancer. (https://fightcolorectalcancer.org/blog/keto-diet-and-colorectal-cancer/). Diakses pada 13 Oktober 2020.
  2. Ketogenic Diets and Cancer: Emerging Evidence. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6375425/). Diakses pada 13 Oktober 2020.
  3. Keto, fat and cancer: It’s complicated. (https://www.fredhutch.org/en/news/center-news/2019/10/keto-fat-cancer-its-complicated.html). Diakses pada 13 Oktober 2020.
  4. Carbohydrates. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/in-depth/carbohydrates/art-20045705. Diakses pada 13 Oktober 2020.
  5. Low carbohydrates diets. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/carbohydrates/low-carbohydrate-diets/ Diakses pada 13 Oktober 2020.

Versi Terbaru

14/02/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Halba, Rempah Dengan 1001 Khasiat, Boleh Juga Menghalang Kanser Kolon?

Ini 7 Punca Kanser Usus, Kanser Ketiga Paling Lazim Di Dunia! #4 Memang Bahaya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/02/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan