brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Daun Belalai Gajah, Herba Penuh Khasiat Sesuai Untuk Rawatan Alternatif Kesihatan!

Daun belalai gajah, atau nama saintifiknya Clinacanthus nutans merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Acanthaceae. Tumbuhan ini juga mempunyai pelbagai nama lain seperti belai merat, kateh murai, pokok kencer dan juga Sabah Snake Grass. Ada banyak khasiat daun belalai gajah, antaranya adalah untuk merawat kanser.

Daun Belalai Gajah, Herba Penuh Khasiat Sesuai Untuk Rawatan Alternatif Kesihatan!

Tetapi, daun belalai gajah mempunyai banyak lagi manfaat lain. Sebagai contoh, ia telah digunakan secara turun temurun untuk merawat masalah ruam pada kulit, gigitan serangga, lesi yang disebabkan oleh herpes dan gaut.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai khasiat daun belalai gajah serta manfaatnya kepada kesihatan kita? Mari ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Rawatan Tradisional & Herba, sila dapatkannya di sini.

Khasiat daun belalai gajah terhadap kesihatan

Daun belalai gajah telah digunakan secara tradisional oleh orang Asia disebabkan manfaatnya terhadap kesihatan. Di negara kita, daun ini akan direbus dan diminum sebagai teh herba.

Kadangkala, daun ini dimakan mentah atau dicampur bersama jus epal, air tebu atau teh hijau untuk menjadikannya lebih enak untuk diminum.

Di Thailand, daun belalai gajah juga amat popular di kalangan pengamal ubat-ubatan tradisional. Daun ini juga boleh didapati di Malaysia, Indonesia, Afrika, Brazil dan Amerika Tengah.

Antara khasiat daun belalai gajah ialah:

1. Mempunyai sifat anti radang

khasiat daun belalai gajah

Belalai gajah mempunyai sifat anti radang, sebab itulah ia digunakan untuk merawat gigitan haiwan dan lesi disebabkan oleh herpes atau penyakit kayap.

Dalam perubatan tradisional Thailand, daun ini akan ditumbuk dan disapukan pada lesi atau ruam kulit. Lama-kelamaan, lesi ini akan mengecil dan pulih. Ini membuktikan bahawa kegunaan C. nutans amat berkesan untuk merawat kayap dan herpes.

Krim topikal yang mengandungi ekstrak ethanol dari daun ini telah digunakan untuk merawat jangkitan virus herpes dan kayap. Malah, C. nutans juga digunakan sebagai bahan anti radang untuk mengurangkan bengkak.

2. Digunakan secara tradisional untuk merawat bisa gigitan haiwan

Belalai gajah telah digunakan secara turun-temurun sebagai penawar bisa ular atau haiwan beracun seperti kala jengking dan lebah. Namun, kajian menunjukkan daun ini tidak memberikan sebarang kesan untuk merawat racun ular tedung Naja siamensis.

Walau bagaimanapun, menurut sebuah lagi kajian, ekstrak daun C. nutans mungkin dapat mengelakkan pemecahan sel disebabkan bisa kala jengking Heterometrus laoticus. Oleh sebab itu, ia mungkin berkesan sebagai penawar bisa kala jengking.

3. Mempunyai sifat anti bakteria

khasiat daun belalai gajah

Siapa sangka, antara khasiat daun ini ialah keupayaannya untuk merawat jerawat.

Pakar berpendapat, daun ini dapat menghasilkan asid organik tertentu yang dapat mengehentikan bakteria penyebab jerawat.

Antara bakteria yang terlibat ialah bakteria Propionibacterium acnes dan Staphylococcus epidermis, bakteria lazim yang akan berkumpul pada kulit yang berminyak.

4. Khasiat daun belalai gajah untuk merawat kanser

Belalai gajah juga didapati dapat memperlahankan penyebaran kanser. Ekstrak chloroform dalam daun ini didapati dapat menghentikan penyebaran beberapa jenis kanser, terutamanya kanser perut.

Malah, menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, pesakit kanser yang diberikan ubat ekstrak belalai gajah didapati sembuh daripada beberapa jenis kanser.

Malah, ekstrak C. nutans juga tidak toksik dan selamat untuk digunakan sebagai terapi kanser.

5. Belalai gajah untuk pesakit diabetes

khasiat daun belalai gajah

Daun ini telah digunakan secara turun temurun untuk merawat diabetes. Ia didapati dapat mengurangkan kadar gula dalam darah dan mengawal kolesterol dalam badan.

Malah, menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Food Science & Nutrition, C. nutans terbukti dapat mengurangkan kadar gula dalam darah. Namun, kajian ini dijalankan ke atas tikus yang menghidap diabetes.

Walau bagaimanapun, ujian klinikal dan jangka panjang perlulah dilakukan untuk menentukan keupayaan sebenar daun ini dalam merawat diabetes.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, ada banyak khasiat daun belalai gajah terhadap kesihatan.

Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Walaupun C. nutans dilihat berkesan dalam merawat pelbagai penyakit, ia tidak boleh digunakan sebagai rawatan utama.

Malah, masih banyak lagi kajian lain yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan sebenarnya.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 5 hari lalu