Bersunat atau berkhatan adalah sesuatu yang sangat dituntut bagi seorang muslim dan sudah menjadi norma yang sangat biasa dalam kalangan masyarakat kita kini yang hidup berbilang kaum. Namun, tahukah anda bila usia sesuai untuk bersunat?
Bukan sahaja individu Melayu Islam yang perlu melakukan prosedur ini, masyarakat Cina, India malahan masyarakat di seantero dunia juga kini sudah mula melakukannya.
Namun begitu, terdapat beberapa pendapat mengenai usia sesuai untuk bersunat bagi kanak-kanak lelaki. Ada yang kata semasa bayi lebih baik dan ada juga yang kata perlu tunggu sehingga usia kanak-kanak.
Jadi, yang mana satu? Untuk mengetahui jawapannya, jom kita sama-sama ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!
Apa itu bersunat?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, haruslah kita tahu sedikit sebanyak tentang perbuatan ini terlebih dahulu. Untuk pengetahuan anda, berkhatan atau bersunat adalah satu prosedur pemotongan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau ‘prepuce’.
Prosedur yang paling tua di dunia ini sangat dituntut untuk dilakukan oleh individu muslim. Namun kini telah banyak dilakukan oleh masyarakat di seantero dunia kerana prosedur ini mendatangkan pelbagai manfaat di samping mudah untuk dilakukan.
Akan tetapi, untuk apa ia dilakukan? Adakah terdapat sebarang manfaat terhadap kesihatan kita?
Apa manfaat bersunat bagi kanak-kanak lelaki?
Menurut kajian, prosedur ini boleh mendatangkan pelbagai jenis manfaat kepada individu yang menjalaninya. Antaranya adalah:
#1. Alat kelamin mudah dibersihkan
Prosedur bersunat akan menyebabkan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau ‘prepuce’ dibuang.
Lapisan ini sebenarnya sangat mudah untuk dijangkiti bakteria yang boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit jika anak lelaki anda tidak membersihkannya dengan cermat.
Oleh itu, alat kelamin anak lelaki anda akan lebih mudah dibersihkan selepas membuangnya
#2. Kurang risiko mendapat penyakit
Pelbagai jenis penyakit dapat dielak atau dicegah daripada menjangkiti anak lelaki anda dengan melakukan prosedur bersunat, antaranya:
- Penyakit saluran air kencing
- Penyakit kelamin pada diri sendiri atau pasangan perempuan
- Kanser zakar
- Kanser serviks pada pasangan perempuan
- ‘Phimosis’ iaitu ketidakmampuan untuk menarik kulup atau ‘paraphimosis’
Persoalannya, bila prosedur ini paling sesuai dilakukan? Semasa bayi atau kanak-kanak?
Bila usia sesuai untuk bersunat?
Sebenarnya, tidak terdapat sebarang usia sesuai untuk bersunat yang spesifik bagi anak lelaki anda menjalankan prosedur berkhatan. Ia terpulang kepada kesediaan anak dan anda sebagai ibu bapa.
Di negara kita, kanak-kanak lelaki biasanya menjalankan prosedur ini ketika dalam lingkungan usia 5 hingga 12 tahun dan ada juga yang memilih untuk melakukannya ketika anak lelaki mereka masih bayi.
Ini adalah tidak berbahaya kerana ia tidak akan menyebabkan sebarang perbezaan pada proses tumbesaran kanak-kanak. Jadi, anda masih lagi tertanya-tanya?
Sebaiknya, berjumpalah dengan pakar perubatan untuk berbincang mengenai hajat anda untuk melakukan prosedur berkhatan buat anak lelaki anda sebelum membuat sebarang keputusan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-bmi]