Definisi
Apa itu Kelesuan Haba?
Kelesuan haba adalah masalah yang berkaitan dengan haba yang boleh berlaku selepas anda terdedah kepada suhu tinggi, dan sering disertai oleh penyahhidratan (dehydration).
Terdapat dua jenis kelesuan haba:
- Kurang air. Tanda-tanda termasuklah dahaga yang berlebihan, kelemahan, sakit kepala, dan hilang kesedaran.
- Kurang garam. Tanda-tanda termasuklah loya, muntah, kekejangan otot, dan pening kepala.
Walaupun kelesuan haba tidak seserius strok haba, ia tidak sepatutnya diambil ringan. Tanpa campur tangan yang sewajarnya, kelesuan haba boleh berkembang menjadi strok haba, yang boleh merosakkan otak dan organ penting lain, dan juga menyebabkan kematian.
Apakah kebarangkalian Kelesuan Haba?
Kelesuan haba adalah sangat biasa. Ia boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh ditangani dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom Kelesuan Haba?
Simptom-simptom biasa dari kelesuan haba ialah:
- Kekeliruan;
- Air kencing berwarna gelap (tanda penyahhidratan);
- Pening;
- Pengsan;
- Keletihan;
- Sakit kepala;
- Kekejangan otot atau perut;
- Mual, muntah, atau cirit-birit;
- Kulit pucat;
- Berpeluh dengan berlebihan;
- Degupan jantung yang cepat;
- Kulit sejuk, lembap bulu roma meremang semasa panas;
- Kelemahan, nadi yang cepat;
- Tekanan darah rendah apabila berdiri.
Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Jika anda merasakan bahawa anda mengalami kelesuan haba:
- Hentikan semua aktiviti dan berehat;
- Pindah ke tempat yang lebih sejuk;
- Minum minuman sejuk atau minuman isotonik.
Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.
Punca
Apakah punca Kelesuan Haba?
Puncanya adalah pada kegagalan badan anda untuk menyejukkan diri. Dalam cuaca panas, badan anda menyejukkan diri terutamanya dengan berpeluh. Penyejatan peluh akan mengawal suhu badan anda. Walau bagaimanapun, apabila anda bersenam dengan lasak atau cuaca terlalu panas (dalam keadaan panas dan lembap), badan anda akan kurang dapat menyejukkan diri dengan cekap. Akibatnya, badan anda mungkin mengalami kekejangan haba, bentuk penyakit akibat kepanasan yang paling ringan. Anda biasanya boleh merawat kejang haba dengan meminum cecair atau minuman sukan yang mengandungi elektrolit (Gatorade, Powerade, dll), pergi ke tempat yang lebih sejuk, seperti tempat yang berhawa dingin atau teduh, dan berehat.
Selain cuaca panas dan aktiviti berat, punca kelesuan haba juga termasuklah:
- Penyahhidratan, yang mengurangkan kebolehan badan anda untuk berpeluh dan mengekalkan suhu normal.
- Pengambilan alkohol, yang boleh menjejaskan keupayaan tubuh anda untuk mengawal suhu badan.
- Berpakaian terlalu tebal, terutamanya pakaian yang tidak membenarkan peluh tersejat dengan mudah.
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kelesuan Haba?
Terdapat banyak faktor risiko untuk kelesuan haba, seperti:
- Usia: Bayi dan kanak-kanak yang berumur kurang dari 4 tahun dan orang dewasa yang berusia lebih dari 65 tahun mempunyai risiko kelesuan yang lebih tinggi. Keupayaan tubuh mengawal suhu masih tidak terbentuk sepenuhnya pada bayi dan boleh berkurang dengan kewujudan penyakit, ubat-ubatan atau faktor-faktor lain pada orang dewasa yang lebih tua.
- Ubat-ubatan tertentu: Ubat-ubatan yang memberi kesan ke atas keupayaan tubuh anda untuk terus terhidrat dan bertindak balas dengan pantas terhadap haba, termasuklah beberapa ubatan yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dan masalah jantung (penyekat beta, diuretik), ubatan mengurangkan gejala alahan (antihistamina), ubat penenang atau ubat yang mengurangkan gejala psikiatri seperti delusi (antipsikotik). Tambahan pula, beberapa dadah haram, seperti kokain dan amphetamine, berpotensi meningkatkan suhu teras badan anda.
- Obesiti: Mempunyai berat badan berlebihan boleh menjejaskan keupayaan tubuh anda untuk mengawal suhu dan menyebabkan tubuh anda mengekalkan lebih banyak haba.
- Perubahan suhu mendadak: Jika anda tidak biasa dengan kepanasan, anda lebih mudah terdedah kepada penyakit yang berkaitan dengan haba, seperti kelesuan haba. Melangkah ke iklim yang hangat dari yang sejuk atau tinggal di kawasan yang mengalami gelombang haba yang awal boleh menyebabkan anda berisiko mendapat penyakit yang berkaitan dengan haba, kerana badan anda tidak mempunyai peluang untuk membiasakan diri dengan suhu yang lebih tinggi.
- Indeks haba yang tinggi: Indeks haba adalah nilai suhu tunggal yang menganggap bagaimana suhu dan kelembapan di luar membuat anda merasa. Apabila kelembapan adalah tinggi, peluh anda tidak dapat tersejat dengan mudah dan badan anda mengalami kesukaran untuk menyejukkan badan, menjadikan anda terdedah kepada kelesuan dan strok haba. Apabila indeks haba adalah 910 F (330 C) atau lebih tinggi, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjadi kekal sejuk.
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Kelesuan Haba didiagnosis?
Jika anda memerlukan rawatan perubatan akibat kelesuan haba, penyedia rawatan perubatan akan mengenal pasti bahawa anda sedang mengalami kelesuan haba, atau mereka mungkin akan mengambil suhu anda untuk mengesahkan diagnosis dan mengetepikan diagnosis strok haba. Sekiranya doktor anda mengesyaki kelesuan haba anda mungkin telah bertambah teruk kepada strok haba, anda mungkin akan memerlukan ujian tambahan, termasuklah:
- Ujian darah untuk memeriksa natrium atau kalium darah yang rendah dan kandungan gas dalam darah anda.
- Ujian air kencing untuk memeriksa kepekatan dan komposisi air kencing dan untuk memeriksa fungsi buah pinggang anda, yang boleh terjejas oleh strok haba.
- Ujian fungsi otot untuk memeriksa rhabdomyolysis – kerosakan serius pada tisu otot anda.
- Ujian pengimejan untuk memeriksa sebarang kerosakan pada organ dalaman anda.
Bagaimana pesakit Kelesuan Haba dirawat?
Sekiranya anda tidak mula berasa lebih baik dalam masa satu jam selepas menggunakan rawatan kendiri, dapatkan rawatan perubatan segera. Anda boleh diberikan cecair intravena (IV) untuk membantu anda menghidrat semula. Merendamkan diri anda dalam air sejuk, melembapkan kulit anda, meletakkan diri anda di hadapan kipas, menggunakan pek sejuk atau ais dan selimut penyejuk adalah beberapa teknik yang boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan anda.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kelesuan Haba?
Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani kelesuan haba:
- Rehat di tempat yang sejuk. Masuk ke bangunan yang berhawa dingin adalah yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya, cari tempat yang redup atau duduk di hadapan kipas angin. Baring secara menelentang dengan kaki anda lebih tinggi daripada paras jantung anda.
- Minum cecair sejuk. Memadai dengan air kosong atau minuman sukan. Jangan minum sebarang minuman beralkohol, yang boleh menyumbang kepada penyahhidratan.
- Cuba apa-apa langkah penyejukan. Jika boleh, mandi dengan air sejuk, berendam dalam air sejuk atau letakkan tuala yang direndam dalam air sejuk pada kulit anda.
- Longgarkan pakaian. Tanggalkan apa-apa pakaian yang tidak perlu dan pastikan pakaian anda ringan, tidak ketat dan tidak terikat.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
[embed-health-tool-bmi]