Ish…apasal kuat sangat bau klorin ni? Hmmm..baru lepas cuci kot ni. Jom la terjun.. Eh….nanti dulu, ada rahsia yang perlu kita bongkar sebenarnya. Nak tahu apa rahsianya? Bacalah perkongsian artikel ini.
Bukan sekadar bau klorin
Siapa suka mandi kolam? Lagi-lagi kalau dekat taman tema dan mandi beramai-ramai dengan kawan-kawan atau ahli keluarga. Sudah pasti akan rasa seronok dan gembira. Orang kata salah satu aktiviti riadah yang menyihatkan, bukan?
Apabila mandi di kolam mesti akan menghidu bau klorin. Selalunya kita akan menganggap ia adalah satu perkara normal dan terus terjun masuk kolam. Tetapi sebenarnya bau yang anda hidu itu bukanlah klorin semata-mata.
Bau kuat seakan bahan kimia yang anda hidu setiap kali mandi di kolam merupakan bau yang dipanggil chloramines. Ia terhasil daripada gabungan beberapa bahan. Haa…ingin tahu apa bahannya? Ia adalah kombinasi klorin dengan peluh, minyak badan serta air kencing (urin). Euuwwww…
Jumlah kandungan
Kajian yang diterbitkan dalam Environmental Science & Technology Letters, penyelidik mengakui ia adalah sukar untuk mengukur dan menentukan jumlah kandungan air kencing secara tepat.
Walau bagaimanapun, menurut ahli kimia dari University of Alberta, Xing-Fang Li, beliau dan rakan penyelidik yang lain boleh menyatakan secara kasar berapa jumlah air kencing yang berada di dalam kolam dengan mengukur tahap pemanis buatan yang terkandung di dalam air kencing kebanyakan individu.
Melalui analisis pengiraan kajian yang dilakukan, saintis menganggarkan satu kolam renang komersial yang berukuran 220,000 galon mengandungi hampir 20 galon air kencing. Manakala kolam renang di kediaman, berukuran 20 x 40 kaki, 5 kaki dalam, dianggarkan mempunyai dua galon air kencing.
Mungkin jumlah kandungan itu pada anggapan anda tidaklah banyak, ia hanya lebih kurang satu peratus sahaja. Namun, air kencing itu walaupun dalam jumlah yang kecil boleh menyebabkan wujudnya isu kesihatan bagi sesetengah individu. Ini belum dikira dengan bau urin yang tidak akan hilang. Hmmm…geli bukan?
Tindak balas klorin
Ia bukan hanya menjijikkan dan kotor tetapi ia juga berisiko untuk mengembangkan masalah melibatkan kesihatan. Klorin bertindak balas dengan air kencing untuk membentuk sebilangan sebatian berpotensi toksik yang dipanggil sebagai produk disinfeksi.
Antara sebatian berpotensi toksik yang dihasilkan oleh bau klorin yang dikenali sebagai chloramines ini adalah seperti cyanogen chloride yang dikelaskan sebagai chemical warfare agent dan nitrosamines yang dikatakan berpotensi menyebabkan kanser. Walaupun masih belum cukup bukti atau kajian untuk mengesahkan mengenai nitrosamines ini, tetapi sekurang-kurangnya anda boleh mula untuk mengambil langkah berwaspada, bukan?
Penjagaan kebersihan
Perkongsian artikel ini bukanlah berniat untuk menghentikan anda daripada mengunjungi atau mandi kolam. Tetapi adalah lebih kepada untuk meningkatkan kesedaran anda mengenai pentingnya menjaga kebersihan diri.
Pastikan anda mandi atau basahkan badan sebelum masuk ke dalam kolam renang. Tabiat ini boleh membantu menyingkirkan peluh atau kekotoran yang melekat pada badan. Jangan lupa untuk mandi dan cuci badan setiap kali selepas keluar daripada kolam renang, okay?
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Awas! Bahaya Jika Air Kencing Berbau Busuk
- Minum Air Kencing Untuk Sihat. Betul Ke Ni?
- Awas! Bahaya Lelaki Kencing Berdiri
[embed-health-tool-bmi]