Setiap tahun, 4 Februari disambut sebagai Hari Kanser Sedunia, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya kanser dan cara pencegahannya. Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes kanser ialah tabiat merokok. Namun, ramai yang tidak sedar bahawa bahaya rokok bukan hanya terhad kepada perokok aktif, tetapi juga kepada mereka yang terdedah kepada asap rokok secara tidak langsung. Maksud perokok pasif merujuk kepada individu yang menyedut asap rokok dari perokok lain, tanpa merokok secara langsung.
Kajian telah membuktikan bahawa perokok pasif lebih bahaya daripada yang disangka kerana mereka tetap terdedah kepada toksin berbahaya dalam asap rokok.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa maksud perokok pasif atau perokok sekunder?
![Tutup hidung jika ada yang merokok di sekitar anda.](https://cdn.hellodoktor.com/wp-content/uploads/2025/02/3a1e7b84-shutterstock_2190918421.jpg)
Maksud perokok pasif, atau dikenali juga sebagai perokok sekunder, ialah individu yang tidak merokok tetapi menyedut asap rokok dari persekitaran mereka.
Ini boleh berlaku di tempat awam, rumah, atau dalam kenderaan di mana seseorang merokok.
Asap rokok yang disedut oleh perokok pasif mengandungi lebih daripada 7,000 bahan kimia, di mana sekurang-kurangnya 70 daripadanya diketahui boleh menyebabkan kanser.
Kajian menunjukkan bahawa, kesan perokok pasif bukan sahaja memberi risiko kepada pernafasan, tetapi juga meningkatkan kemungkinan penyakit kronik termasuk serangan jantung dan strok.
Oleh itu, walaupun seseorang tidak merokok, mereka tetap berdepan dengan ancaman kesihatan yang serius akibat pendedahan kepada asap rokok orang lain.
Maksud perokok pasif: adakah perokok sekunder lebih berisiko mendapat kanser berbanding perokok aktif?
Salah satu persoalan yang sering dibangkitkan ialah sama ada perokok pasif lebih bahaya berbanding perokok aktif dalam konteks risiko kanser.
Menurut kajian, perokok pasif terdedah kepada bahan kimia berbahaya dalam asap rokok dalam kadar yang tinggi kerana mereka menyedut dua jenis asap rokok:
- Asap utama – Asap yang dihembus keluar oleh perokok.
- Asap sampingan – Asap yang terus keluar dari hujung rokok yang terbakar.
Asap sampingan ini mengandungi kepekatan bahan toksik yang lebih tinggi berbanding asap yang dihembus perokok.
Ini bermakna perokok sekunder juga boleh mengalami mutasi sel yang meningkatkan risiko kanser paru-paru, kanser tekak, dan kanser pundi kencing.
Walaupun perokok aktif lebih berisiko secara keseluruhan kerana mereka menyedut asap secara langsung, tidak bermakna perokok pasif terselamat daripada risiko penyakit ini.
Pendedahan berterusan kepada asap rokok dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan peluang mereka mendapat kanser, walaupun mereka tidak pernah merokok.
Risiko kesihatan lain terhadap perokok pasif
![Hentikan tabiat merokok.](https://cdn.hellodoktor.com/wp-content/uploads/2025/02/0a57c6de-shutterstock_1139446760.jpg)
Selain risiko kanser, kesan perokok pasif turut menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan lain. Antaranya:
- Penyakit jantung dan strok: Kajian mendapati bahawa individu yang sering terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko 25% hingga 30% lebih tinggi untuk mengalami serangan jantung atau strok
- Masalah pernafasan: Perokok pasif lebih mudah mengalami jangkitan paru-paru, asma, dan bronkitis akibat iritasi pada sistem pernafasan mereka
- Risiko kepada kanak-kanak dan bayi: Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran yang penuh dengan asap rokok lebih mudah mengalami masalah pernafasan, jangkitan telinga, dan bahkan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (Sudden Infant Death Syndrome – SIDS)
- Menjejaskan sistem imun: Pendedahan kepada asap rokok juga boleh melemahkan sistem imun, menyebabkan badan lebih mudah diserang penyakit
Dengan segala kesan negatif ini, tidak hairanlah jika banyak negara kini melaksanakan larangan merokok di tempat awam bagi melindungi golongan perokok pasif.
Maksud perokok pasif: langkah pencegahan lindungi diri daripada asap rokok
Untuk mengurangkan risiko kesan perokok pasif, berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:
#1. Elakkan tempat yang membenarkan merokok
Jika boleh, jauhi tempat seperti kedai makan atau kawasan rehat yang membenarkan perokok aktif merokok berhampiran orang lain.
#2. Tegaskan peraturan di rumah dan kereta
Pastikan rumah dan kenderaan anda bebas dari asap rokok. Galakkan ahli keluarga atau rakan merokok di kawasan luar rumah yang jauh dari ahli keluarga lain.
![Cara berhenti merokok.](https://cdn.hellodoktor.com/wp-content/uploads/2025/02/2cb630f0-240109-infographic_cara-berhenti-merokok-01-1.jpg)
#3. Gunakan sistem pengudaraan yang baik
Jika anda tidak dapat mengelakkan perokok di tempat kerja atau kawasan awam, pastikan bilik atau ruang tertutup mempunyai aliran udara yang baik untuk mengurangkan tahap pencemaran asap.
#4. Sokong polisi bebas rokok
Sokong kempen kesedaran dan undang-undang larangan merokok di tempat awam untuk memastikan semua orang dapat hidup dalam persekitaran yang lebih sihat.
Kini anda telah tahu maksud perokok pasif.
[embed-health-tool-bmr]