backup og meta

Penyakit Jantung Mengungguli Punca Kematian Sejak Tahun 2000

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 20/08/2019

    Penyakit Jantung Mengungguli Punca Kematian Sejak Tahun 2000

    Daripada 56.9 juta kematian seluruh dunia pada tahun 2016, lebih separuh (54%) daripadanya disebabkan oleh 10 punca teratas. Penyakit jantung iskemik dan strok pula merupakan dua sebab kematian terbesar yang merangkumi 15.2 juta kematian pada tahun 2016. Malah, kedudukan ini kekal sebegini sejak tahun 2000.

    Imej ihsan WHO
    Imej ihsan WHO

    Adakah penting untuk mengetahui statistik punca kematian?

    Sudah tentu ia sangat penting. Mengetahui fakta ini membantu dalam merangka pelan serta tindakan yang boleh diambil bagi meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat. Ia juga membantu menilai adakah sistem dan langkah yang telah diambil berkesan atau tidak.

    Setiap negara mempunyai statistik yang berbeza disebabkan banyak faktor tertentu. Antara faktor utama ialah ekonomi. Jika dilihat pada punca kematian utama di negara berpendapatan rendah, jangkitan saluran pernafasan bawah menjadi punca utama berbanding penyakit jantung iskemik. Ia mungkin disebabkan oleh akses yang kurang terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan serta langkah pencegahan yang lemah.

    Manakala di negara berpendapatan tinggi pula, kebanyakan sebab kematian berpunca daripada gaya hidup sedentari dan pemakanan yang kurang sihat. Oleh itu, kadar obesiti secara amnya lebih tinggi dalam kalangan negara berpendapatan tinggi.

    Semua faktor ini sangat penting bagi pihak berkuasa dalam menangani masalah kesihatan yang wujud dalam masyarakat.

    Mengapa penyakit jantung kekal di tangga teratas selepas hampir 20 tahun?

    Cabaran kesihatan utama dunia pada hari ini ialah penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD). Jika kita lihat 10 atau 20 tahun yang lalu, penyakit berjangkit seperti tibi, HIV, malaria dan salmonella telah menyebabkan banyak kematian.

    Dengan perkembangan teknologi perubatan, langkah pencegahan, serta strategi kawalan penyakit yang lebih berkesan, kebanyakan penyakit berjangkit berjaya ditangani dengan baik.

    Walau bagaimanapun, penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, strok dan diabetes telah mengambil tempat menggantikan penyakit berjangkit tersebut. Punca utamanya ialah gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat. Malangnya, mengubah tabiat dan mentaliti masyarakat itu jauh lebih susah berbanding menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan.

    Meskipun teknologi perubatan semakin berkembang, NCD tidak akan dapat ditangani dengan baik tanpa menjalani gaya hidup dan pemakanan yang sihat di samping langkah-langkah pencegahan seperti ujian saringan dan rawatan awal yang efektif.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 20/08/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan