Jika anda ada pilihan dan masih mampu untuk berjalan kaki, sila lakukan demikian. Jangan asyik ingin naik motor atau kereta untuk pergi ke tempat yang dekat. Terdapat banyak kelebihan bagi mereka yang kerap berjalan kaki.
1. Meningkatkan peredaran darah
Ia juga mencegah penyakit jantung, merendahkan tekanan darah serta menguatkan jantung. Apabila anda banyak berjalan, jantung akan bekerja lebih kuat. Memandangkan jantung adalah sejenis otot, ia akan menjadi kuat apabila selalu menerima tekanan (dalam batasan yang selamat) seperti otot-otot yang lain.
Peredaran darah yang baik menjadikan sel-sel badan lebih sihat.
2. Menguatkan tulang dan otot
Berjalan kaki boleh mengelakkan kehilangan jisim tulang yang disebut sebagai osteoporosis. Tekanan yang diberikan ke atas tulang menjadikan ia lebih kuat. Selain itu, sendi juga akan menjadi lebih sihat dengan banyak berjalan. Ini dapat mengurangkan risiko penyakit sendi seperti osteoartritis.
Selain tulang, otot juga mendapat manfaatnya memandangkan tulang sendiri digerakkan oleh otot. Otot yang kuat berfungsi lebih baik dan lebih lambat mencapai rasa letih.
3. Memberikan mood yang baik
Apabila anda melalkukan aktiviti fizikal, badan akan melepaskan sejenis hormon yang disebut sebagai endorfin. Hormon ini bertanggungjawab melahirkan mood yang baik dan senang sekaligus dapat mengurangkan stres yang dialami dalam kehidupan.
4. Mengawal berat badan
Anda boleh mengekalkan berat badan sihat semudah ini. Berjalan kaki dengan laju selama 30 minit boleh membakar sehingga 200 kalori. Ia tidak memerlukan kos dan komitmen yang terlalu banyak. Jika susah untuk mencari waktu khusus, anda boleh jadikan ia amalan berkala. Contohnya, naik tangga berbanding lif dan letakkan kenderaan lebih jauh daripada pejabat.
5. Meningkatkan keseimbangan dan koordinasi
Bagi orang yang berumur, keseimbangan adalah sesuatu yang sangat penting. Jika terjatuh, banyak bahaya yang boleh berlaku termasuk patah tulang dan kecederaan di kepala. Oleh itu, keseimbangan dan koordinasi adalah sangat penting dalam mencegah perkara yang diingini daripada berlaku.
Mulakannya hari ini. Tanpa mengeluarkan kos yang banyak, anda boleh menjalani kehidupan yang lebih sihat. Jom berjalan kaki!
[embed-health-tool-bmi]