backup og meta

Telefon Bimbit Boleh Menyebabkan Kanser? Sejauh Manakah Kebenarannya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/08/2021

    Telefon Bimbit Boleh Menyebabkan Kanser? Sejauh Manakah Kebenarannya?

    Jika anda mengikuti perkembangan semasa, pasti anda pernah dengar tentang kaitan telefon bimbit dan penyakit kanser. Selalunya, perkara ini dikaitkan dengan pancaran gelombang RF.

    Isu ini merupakan satu isu yang kontroversial dan sering diperdebatkan dari masa ke masa.

    Tapi mengapa telefon? Untuk pengetahuan anda, telefon bimbit mengeluarkan sejenis tenaga yang juga dikenali sebagai gelombang frekuensi radio ataupun gelombang RF.

    Mesin X-ray juga mengeluarkan sejenis gelombang yang dikenal pasti boleh menyebabkan kanser. Walau bagaimanapun, gelombang yang dihasilkan oleh telefon bersifat non-ionizing dan tidak berbahaya seperti sinaran X-ray.

    Namun, masih ramai lagi yang yakin bahawa telefon pintar boleh menyebabkan kanser, terutama sekali kanser pada bahagian kepala dan leher.

    Tetapi, sejauh manakah kebenaran di sebalik hal ini? 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini. 

    Mengapa ramai yang risau tentang penggunaan telefon bimbit?

    gelombang radio

    Menurut National Cancer Institute, ada 3 punca yang selalunya dikaitkan dengan telefon pintar dan kanser.

    Salah satunya ialah keupayaan telefon tersebut untuk memancarkan gelombang frekuensi radio atau turut dikenali dengan nama gelombang RF (radio frequency waves).

    Menurut mereka, bahagian yang paling dekat dengan badan seperti kepala boleh menyerap gelombang ini yang pada akhirnya akan menyebabkan kanser.

    Selain itu, pertambahan dalam bilangan pengguna telefon bimbit juga kian meningkat. Pada tahun 2017, hampir 400 juta orang mempunyai telefon bimbit sendiri di Amerika Syarikat.

    Samalah seperti di Malaysia, hampir setiap orang mempunyai telefon pintar sendiri. Malah, ada juga yang ada lebih dari satu telefon bimbit – satu untuk kerja dan satu untuk kegunaan peribadi!

    Seiring dengan perkembangan teknologi, ramai orang mula menggunakan telefon pintar dalam satu jangka masa yang lama. Semakin lama mereka menggunakan telefon bimbit, semakin tinggi risiko untuk menghidap kanser.

    Tambah lagi, walaupun teknologi di sebalik telefon telahpun berkembang, ramai yang risau mengenai menara telefon. Menurut mereka, menara yang memancarkan signal tanpa wayar ini merupakan punca utama ramai orang menghidap kanser!

    Kanser dan penggunaan telefon– jawapan di sebalik kajian

    gelombang radio

    Menurut khabar angin, telefon bukan sahaja boleh menyebabkan kanser. Malah, ia juga merupakan punca tumor pada kawasan otak.

    Ada beberapa kajian yang menunjukkan bahawa pesakit yang menghidap tumor otak mula meningkat sejak 1970an. Walau bagaimanapun, telefon bimbit masih lagi belum wujud ketika itu!

    Malah, peningkatan tersebut mungkin disebabkan perkara lain seperti kemajuan dalam teknologi pengimejan.

    1. Menurut kajian yang telah dijalankan ke atas 420,000 pengguna telefon selama 20 tahun, para penyelidik tidak menjumpai sebarang bukti yang mengaitkan kanser dan juga telefon bimbit.
    2. Sebuah lagi kajian menunjukkan terdapatnya kaitan di antara penggunaan telefon bimbit dan kanser kelenjar air liur. Namun, kajian ini tidak memberi keyakinan kerana hanya sebahagian kecil yang mempunyai tumor malignan.
    3. Satu kajian lain menunjukkan penggunaan telefon yang kerap boleh menyebabkan glioma iaitu sejenis tumor otak. Namun, kajian ini juga mendapati tiada peningkatan penyakit tumor otak dalam kalangan pesertanya.

    Tetapi, benarkah telefon bimbit boleh sebabkan kanser?

    gelombang radio

    Jawapannya ialah tidak. Malah, kajian saintifik yang telah dijalankan juga tidak menunjukkan bahawa telefon boleh menyebabkan kanser.

    Malah, tidak ada satupun penjelasan logikal yang boleh membuktikan telefon  boleh mengakibatkan kanser.

    Radiasi yang dipancarkan oleh telefon bukan sahaja bersifat non-ionizing. Malah, gelombangnya juga sangat lemah. Oleh sebab itu, radiasi ini tidak dapat merosakkan DNA, apatah lagi menyebabkan kanser.

    Sama juga dengan gelombang radio 4G atau 5G. Sehingga hari ini, masih belum ada bukti bahawa gelombang 4G atau 5G ini boleh menyebabkan kanser.

    Walau bagaimanapun, disebabkan teknologi ini masih baru, kajian sedang dilakukan dengan giat untuk mengkaji sama ada gelombang ini mampu menyebabkan kanser ataupun tidak.

    Namun, sama seperti gelombang yang dipancarkan oleh telefon anda, gelombang 4G dan 5G juga bersifat amat lemah.

    Menurut CDC, mereka masih lagi tidak mempunyai sebarang bukti yang mengaitkan kanser dengan penggunaan telefon.

    Namun, kajian saintifik tetap akan dijalankan untuk mengkaji sama ada telefon akan menyebabkan masalah kesihatan seperti kanser.

    Jika anda mempunyai sebarang kerisauan mengenai telefon dan kaitannya dengan kanser, anda boleh cuba untuk mengehadkan penggunaan telefon bimbit setiap hari.

    Bagaimana nak kurangkan pendedahan gelombang RF daripada telefon anda?

    Walaupun bukti yang sedia ada masih tidak dapat membuktikan kaitan antara telefon dengan kanser, namun kajian masih lagi giat dijalankan untuk menentukan sama ada telefon bimbit mempunyai mudarat terhadap kesihatan atau sebaliknya. 

    Sama ada telefon bimbit atau gelombang RF boleh menyebabkan seseorang itu menghidap kanser, ia masih belum pasti. Kita hanya boleh tunggu dan lihat sahaja pada masa ini.

    Oleh sebab itu, mereka yang risau tentang kesan sampingan akibat penggunaan telefon boleh lakukan perkara berikut:

    1. Gunakan mod speaker atau video chat ketika ingin bercakap dengan kawan-kawan. Cara ini akan membuatkan anda lebih jauh daripada telefon yang memancarkan gelombang RF.
    2. Hadkan penggunaan telefon anda dan anak-anak. 
    3. Elakkan daripada bercakap menggunakan telefon bimbit terlalu lama.

    Jika anda risau mengenai pendedahan terhadap gelombang RF, cubalah cara di atas. Pasti berkesan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan