backup og meta

Krim Kilo: Kecantikan Dikejar, Sengsara Yang Dapat

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 05/07/2022

    Krim Kilo: Kecantikan Dikejar, Sengsara Yang Dapat

    Keinginan untuk kelihatan cantik adalah sesuatu kehendak yang semula jadi. Bahkan ia merupakan sebahagian daripada fitrah manusia untuk suka kelihatan cantik dan juga untuk melihat kecantikan. Khususnya untuk golongan wanita, kecantikan dan kaum hawa tidak dapat dipisahkan. Terdapat pelbagai produk penjagaan diri dan produk kosmetik yang diguna pakai demi memelihara kecantikan diri dan juga untuk menambah seri wajah mereka. Namun yang demikian, kebanyakan produk kecantikan yang berada di pasaran dijual dengan harga yang agak mahal. Lebih baik kualitinya, lebih mahal harganya. Untuk itu, penjagaan kecantikan diri adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dikekalkan. Akibat daripada tekanan harga produk kosmetik dan penjagaan diri yang mahal ini, ramai wanita bertindak mencari alternatif lain yang lebih murah. Salah satu daripada alternatif tersebut adalah dengan membeli dan menggunakan krim kosmetik yang disebut sebagai krim timbang kilo ataupun krim kilo. Ikuti perbincangan dalam artikel ini untuk memahami apa itu krim kilo dan juga isu-isu yang menyelubungi penggunaan krim kilo ini.

    Apa itu krim kilo?

    krim kilo

    Krim kilo adalah krim kosmetik yang dibeli secara pukal mengikut timbangan berat krim. Krim ini, dan juga bahan kosmetik yang lain, dihasilkan oleh sejenis kilang yang disebut sebagai kilang OEM (Original Equipment Manufacturer). Kilang ini menghasilkan pelbagai jenis bahan seperti serbuk makanan, serbuk minuman, makanan tambahan, krim sapu, krim penjagaan wajah, krim siang dan juga krim malam. Kesemua produk tersebut dihasilkan dalam kuantiti yang banyak bagi membolehkan orang ramai membeli secara pukal dan dijual semula mengikut ketetapan mereka. 

    Antara faktor utama yang menyebabkan produk kosmetik dan penjagaan diri seperti krim kilo ini mula melonjak dalam populariti adalah kerana pengiklanan daripada selebriti, artis dan juga golongan instafamous (individu yang ramai pengikut di lama instagram) melalui platform media sosial. Malahan, terdapat juga golongan-golongan ini yang mendakwa sebagai pengasas kepada produk-produk krim ini, dengan menjaja iklan dan dakwaan seperti ‘produk kami diformulasikan oleh pakar kecantikan’ atau mengaitkan kecantikan diri mereka dengan produk yang mereka jual dan sebagainya. Strategi seperti ini dilakukan untuk meningkatkan keyakinan pengguna sehingga dapat meyakinkan mereka untuk menggunakan produk yang mereka jual. Hakikatnya, hampir kesemua ‘pengasas’ ini langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang produk kecantikan dan langsung tidak terlibat dalam sebarang proses penghasilan bahan yang mereka jual. 

    Sebaliknya, bahan kosmetik seperti krim kilo ini dibeli secara pukal daripada kilang-kilang OEM dari negara seperti Thailand (kini terdapat juga beberapa kilang OEM tempatan yang menghasilkan produk yang sama) dan dibungkus semula mengikut cita rasa mereka. Ini bermakna, sesiapa sahaja yang mempunyai wang yang mencukupi mampu untuk membeli krim kilo ini dan kemudiannya, membungkus produk ini semula dalam kotak atau bungkusan jenama mereka mengikut sukatan yang mereka hendak. Produk yang siap dibungkus ini kemudiannya dipasarkan di pasaran tempatan seolah-olah ia adalah produk yang dihasilkan sendiri oleh mereka. Oleh yang demikian, di sebalik kewujudan pelbagai jenama produk kecantikan yang berbeza di pasaran, bahan yang dijual sebenarnya datang daripada sumber yang sama, cuma dijenamakan semula untuk memberikan persepsi seolah-olah terdapat perbezaan antara satu produk dengan yang lain. Disebabkan oleh ini jugalah, produk-produk ini tidak mempunyai maklumat profil keselamatan, maklumat bahan yang terkandung di dalamnya dan juga tidak mempunyai maklumat kilang di mana ia dihasilkan.

    Pulangan yang cukup lumayan

    Untuk timbangan berat sekitar satu kilogram, mengikut jenis dan spesifikasi, krim timbang kilo ini mampu dibeli dengan harga hanya sekitar RM 500. Krim kilo ini kemudiannya dijual semula dengan harga sekitar RM 25 hingga RM 30 bagi pek yang hanya mengandungi kuantiti sebanyak 5 gram, menghasilkan pulangan yang berlipat kali ganda. Jika dijual dalam bentuk set krim siang dan malam, lebih banyak keuntungan yang dapat diperoleh. Oleh itu, pembelian krim kilo ini merupakan satu prospek bisnes yang cukup lumayan. Maka tidak hairanlah mengapa ramai selebriti dan juga golongan instafamous menerjun ke dalam bisnes ini. Kelebihan berada di pihak mereka juga kerana faktor pengaruh kuat, peminat yang ramai dan juga kecantikan semula jadi mereka. 

    Bahan beracun dalam produk kosmetik

    Lazimnya, apabila sesuatu dapat dibeli dan dijual dengan harga yang lebih murah berbanding produk saingan yang berada dalam pasaran, ia mungkin ketinggalan dari segi kualiti dan juga keselamatan. Begitulah hakikatnya dengan produk krim kilo ini di mana terdapat pelbagai bahan beracun yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa. Pada bulan Ogos 2019 sahaja, 7 produk kosmetik yang berada di pasaran telah dikenal pasti dan dilarang penjualannya kepada pengguna. Antara bahan beracun yang popular dalam produk kosmetik seperti krim kilo ini adalah raksa atau merkuri, kompaun hidroquinon dan juga kompaun tretinoin. 

    Kewujudan bahan beracun seperti bahan tersebut dalam produk kosmetik adalah sesuatu yang cukup membimbangkan namun ia bukanlah satu masalah yang baru. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Agensi Regulasi Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) telah menjalankan beberapa siri siasatan ke atas pelbagai jenis produk kosmetik yang dijual di dalam negara. Hasil tindakan pihak berkuasa semenjak bertahun yang lalu, banyak produk-produk kosmetik telah dilarang penjualannya dan denda telah dikenakan kepada pihak penjual. Masyarakat awam juga telah diberi peringatan dan juga amaran untuk lebih berhati-hati agar tidak menggunakan produk-produk yang telah mereka senaraikan sebagai berbahaya.  

    Produk kosmetik yang mengandungi raksa lazimnya dipasarkan sebagai produk pemutih kulit, krim antipenuaan dan juga produk yang memberikan tona warna kulit yang lebih sekata. Raksa yang terdapat dalam kosmetik biasanya wujud dalam bentuk organik atau bukan organik. Punca mengapa ia kerap dijadikan bahan yang dicampurkan dalam bahan kosmetik adalah kerana garam melanin menghalang pembentukan melanin. Memandangkan melanin bertanggungjawab dalam menghasilkan pigmen, menghalang penghasilan melanin akan menghasilkan kulit yang lebih cerah.Selain itu, merkuri organik seperti etilmerkuri dan garam merkuri fenil turut digunakan sebagai pengawet dalam produk kosmetik.

    Secara amnya, gambaran yang menyeluruh untuk gangguan atau kesan kesihatan akibat daripada keracunan raksa adalah simptom gastrousus, gangguan neurologi dan juga disfungsi buah pinggang. Kesan kerosakan buah pinggang yang dilaporkan akibat daripada keracunan bahan ini boleh membabitkan kewujudan protein dalam air kencing sehinggalah kegagalan terus organ buah pinggang. Dalam sesetengah individu, khususnya mereka yang terdedah kepada raksa melalui pekerjaan, akan kembali pulih selepas mereka dipindahkan daripada sumber raksa untuk beberapa minggu. Namun yang demikian, apa yang cukup merisaukan adalah simptom neurologi akibat daripada keracunan merkuri ini berupaya untuk terus kekal walaupun pendedahan kepadanya telah dihentikan. 

    Raksa dalam apa-apa bentuk sekali pun berupaya untuk merosakkan sel kerana ia mengubah struktur tertier dan struktur kuarter protein dalam sel. Kerosakan sel adalah mekanisma penting dalam terjadinya simptom neurologi. Ia berupaya untuk mengganggu proses transkripsi DNA dan proses sintesis protein, termasuk sintesis protein dalam otak. Selain itu, ia turut menghancurkan retikulum endoplasmik dan ribosom. Gangguan neurologi yang banyak dizahirkan oleh simptom gangguan psikomotor adalah kerana kesan merkuri ke atas metabolisma neurotransmitter. Tambahan lagi, pendedahan raksa yang banyak ketika tempoh mengandung boleh menyebabkan cerebral palsy dalam bayi tersebut apabila dia dilahirkan. 

    Protein yang turut terjejas akibat daripada gangguan ini adalah protein hem yang terdapat dalam sel darah merah. Gangguan dalam sintesis hem (struktur dalam hemoglobin) akan menyebabkan gangguan dalam keupayaan badan untuk mengambil dan menghantar gas oksigen kepada tisu-tisu badan. Pelakatan kompaun merkuri kepada kumpulan sulfhidril dalam kompleks oksidatif fosforilasi mitokondria pula akan menyebabkan kerosakan membran organel tersebut. Memandangkan mitokondria adalah organel yang menjana tenaga dalam badan, kesan pada skala yang lebih besar akibat daripada kerosakan ini adalah ia boleh membawa kepada sindrom lesu yang kronik. 

    Garam raksa bukan organik pula mempunyai sifat menghakis yang cukup kuat. Sifat menghakis ini boleh berlaku apabila terjadinya pendedahan raksa kepada bahagian badan seperti kulit, mata dan juga saluran penghadaman.

    Kesan keracunan akibat daripada raksa bukan organik

    Dalam kes akut akibat daripada pengambilan garam raksa bukan organik, simptom yang boleh berlaku termasuklah keradangan sistem gastrousus, kesakitan di bahagian orofarinks, cirit-birit berdarah, sakit perut memulas dan juga disfungsi buah pinggang. Tambahan kepada kesan-kesan ini, keracunan kronik daripada garam raksa bukan organik pula menyebabkan getaran lidah dan bibir, penghasilan air liur melampau, gigi menjadi longgar, penghakisan lapisan dalaman mulut dan tekak, susut berat badan, dan juga hilang selera makan yang boleh membawa kepada anoreksia. Garam raksa bukan organik pula mempunyai sifat menghakis yang cukup kuat. Sifat menghakis ini boleh berlaku apabila terjadinya pendedahan raksa kepada bahagian badan seperti kulit, mata dan juga saluran penghadaman.

    Dari sudut keracunan sistem respiratori, kebanyakan simptom yang dihasilkan adalah sama dengan raksa unsur. Dengan pendedahan yang banyak terhadap wap raksa, keradangan dan penghakisan bronkus boleh berlaku dan berupaya untuk membawa kepada kegagalan respiratori. Gangguan sistem respiratori ini juga boleh disertai oleh simptom gangguan saraf seperti bergetar anggota badan atau eretisme (keadaan rangsangan badan yang melampau). Antara simptom eretisme adalah gangguan tingkah laku yang teruk, perubahan personaliti, rangsangan emosi melampau, kemurungan, letih lesu dan dalam beberapa kes tertentu, boleh mengakibatkan delirium dan juga halusinasi. Keradangan gusi dan juga penghasilan air liur yang melampau juga boleh berlaku. 

    Dari sudut yang lebih menyeluruh pula, kehilangan cecair dalam badan yang banyak dan nekrosis tubul akut boleh berlaku. Apabila merkuri bukan organik diserap ke dalam darah, kepekatan tertinggi (85-90%) terdapat dalam buah pinggang. Ia dikumpul di dalam struktur khusus di dalam buah pinggang iaitu tubu proksimal. Dari segi kesan ke atas sistem saraf, tidak banyak perbezaan simptom dengan kesan keracunan raksa unsur kerana raksa secara amnya memang cukup berupaya untuk mencederakan sistem saraf manusia. Simptom gangguan saraf akibat raksa termasuklah anggota badan bergetar (tremor), gangguan sukar untuk tidur (insomnia), gangguan memori, gangguan fungsi otot, pening kepala, dan juga gangguan kognitif. Simptom saraf subklinikal atau sederhana dapat dilihat dalam pekerja yang terdedah kepada raksa dalam udara pada paras sekitar 20 μg/m3 atau lebih, dalam tempoh beberapa tahun. 

    Kesan keracunan akibat raksa organik

    Dalam pendedahan yang sedikit, merkuri organik, khususnya metilmerkuri, tidak menghasilkan sebarang simptom yang teruk namun pendedahan yang tinggi berupaya untuk mengakibatkan simptom gastrousus seperti dalam keracunan merkuri yang lain. Sungguhpun begitu, kesan penghakisan merkuri organik tidaklah sekuat penghakisan dinding mulut yang dihasilkan oleh raksa bukan organik. Seperti yang disebut dalam bab raksa unsur, kesan keracunan merkuri organik yang paling senang dilihat adalah gangguan terhadap sistem saraf dan juga keupayaan kognitif. Keracunan metilmerkuri bukanlah sesuatu yang asing, ia pernah berlaku di beberapa perairan negara Jepun seperti di Minamata dan juga di Niigata. Dalam kes keracunan ini, pesakit mengalami getaran bahagian badan yang tidak terkawal di samping gangguan psikatri dan keupayaan kognitif. 

    Dalam badan, merkuri organik boleh diubah menjadi raksa bukan organik dan berupaya untuk mencetuskan kerosakan buah pinggang dan juga kesan lain akibat raksa bukan organik. Ia juga boleh mengganggu integriti sistem imun seseorang kerana metilmerkuri dikaitkan dengan penurunan aktiviti sel NK dan juga ketidakseimbangan paras sel Th2 kepada sel Th1.

    Raksa wujud dalam beberapa bentuk fizikal dan bentuk kimia tertentu yang mampu untuk melalui proses biotransformasi. Dalam ujian klinikal makmal, paras raksa dalam badan diukur berdasarkan sampel air kencing dan juga sampel darah. Sampel air kencing adalah sampel terbaik dalam mengukur raksa bukan organik dan juga raksa unsur. Kuantiti yang melebihi nilai 100 μg/L akan menghasilkan simptom neurologi manakala kuantiti yang melebihi 800 μg/L pula dikaitkan dengan kematian. Kelemahan ukuran sampel air kencing adalah ia tidak mampu untuk mengukur raksa organik seperti metilmerkuri kerana raksa organik dicernakan melalui tinja. Dalam intoksikasi akut, kepekatan metilmerkuri adalah tinggi namun parasnya berubah dalam keracunan kronik. 

    Seperti yang dinyatakan, selain raksa, racun berkala lain juga turut ditemui. Berdasarkan garis panduan regulasi, produk yang mengandungi bahan racun berkala seperti hidroquinon, tretinoin dan juga difenhidramin memerlukan kawalan yang lebih ketat dan tidak boleh dipasarkan begitu sahaja sebagai bahan kosmetik awam. Sebaliknya, ia perlu didaftarkan dengan Badan Kawalan Ubat (DCA) dan hanya boleh digunakan selepas mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor. 

    Tanpa penyeliaan dari sudut kuantiti dan penggunaan hidroquinon, ia boleh menyebabkan tidak balas alahan, keradangan kulit dan juga peningkatan risiko untuk menghidap kanser kulit. Bahan kosmetik yang mengandungi tretinoin pula dipasarkan sebagai krim anti jerawat dan untuk mengurangkan kedutan pada kulit. Namun ia adalah bahan terkawal yang boleh mengakibatkan keguguran janin atau kecacatan bayi jika seseorang yang menggunakannya itu sedang berbadan dua.

    Bagi mengelakkan penggunaan bahan beracun, pengguna digalakkan untuk menyemak terlebih dahulu produk kosmetik yang mereka ingin gunakan di laman web NPRA. Jual beli bahan beracun dalam kosmetik tersebut adalah salah di bawah Akta Kawalan Ubat dan Kosmetik 1984 dan hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah denda RM 25,000 atau penjara sehingga 3 tahun. 

    Jangan kerana inginkan kecantikan, sengsara yang dapat. Langkah am yang boleh adan ambil adalah dengan mengelakkan sepenuhnya daripada penggunaan bahan kosmetik timbang seperti krim kilo. Jika terdapat keraguan tentang profil bahan kosmetik anda, lakukan semakan terlebih dahulu melalui platform yang disediakan oleh NPRA. Jika anda telahpun menggunakan produk yang dilarang oleh pihak KKM dan juga NPRA, pastikan anda menghentikan penggunaan barang tersebut dan dapatkan pemeriksaan rapi dan nasihat daripada doktor anda bagi mengesan sebarang keracunan atau potensi keracunan yang berbahaya. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 05/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan