backup og meta

Penjagaan Geriatrik: Lindungi Warga Emas Dengan Vaksin

Penjagaan Geriatrik: Lindungi Warga Emas Dengan Vaksin

Demografik dunia sedang berubah – menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan individu berusia 60 tahun dan ke atas dijangka akan meningkat daripada 600 juta (pada tahun 2000) kepada 2 bilion pada tahun 2050. Tidak terkecuali daripada fenomena penuaan populasi ini, dijangkakan 7.5% daripada penduduk Malaysia pada tahun 2020 adalah daripada golongan berusia 65 tahun dan ke atas. 

Demografik baru yang perlu dilindungi

Penuaan populasi ini berlaku akibat daripada kemajuan dalam sektor kesihatan, pertumbuhan ekonomi dan juga keharmonian di peringkat sosial. Untuk sekian lamanya, polisi kesihatan negara berfokuskan ke arah pencegahan kematian pramatang khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan juga kematian akibat komplikasi ketika bersalin. Tidak dapat dinafikan bahawa penekanan dalam aspek-aspek tersebut telah membantu meningkatkan bilangan populasi dan juga jangka hayat rakyat Malaysia. 

Sebagai contoh, kadar kematian bayi baru lahir (infant mortality rate) telah menurun kepada 6.7 kematian untuk setiap 1,000 kelahiran hidup (live births) berbanding 14.3 kematian (untuk setiap 1,000 kelahiran hidup) pada tahun 1990. Jangka hayat rakyat Malaysia juga telah meningkat kepada 75.3 tahun pada tahun 2016 berbanding 70.3 pada tahun 1990. 

Di sebalik kejayaan ini, lahirnya kesan sampingan yang telah dijangka – penuaan populasi. Menurut statistik, median umur rakyat Malaysia telah meningkat daripada 21.6 tahun pada tahun 1990 kepada usia 28.2 tahun pada tahun 2015. Tahun hadapan, golongan berusia 65 tahun ke atas dijangka berada dalam lingkungan 2.5 juta individu. Dengan peningkatan, wujudnya keperluan untuk melindungi mereka melalui pemerkasaan bidang penjagaan geriatrik.

Vaksin dan penuaan populasi

Fokus yang perlu diberikan oleh sektor kesihatan kini adalah untuk mempromosikan penuaan yang sihat (healthy aging). Ini kerana dengan peningkatan umur, berlakunya perubahan fisiologi badan khususnya terhadap daya tahan sistem imun. Perubahan atau penuaan fisiologi ini menyebabkan mereka berisiko untuk menghidap penyakit seperti dementia dan juga lebih cenderung untuk dijangkiti jangkitan berbahaya. 

Kajian mendapati banyak insiden penyakit berjangkit seperti influenza, penyakit bawaan pneumococcal dan juga virus herpes zoster adalah paling tinggi dalam kalangan orang tua. Ko-morbiditi dan faktor penuaan sistem imun (immunosenescence) memainkan peranan penting dalam keterjadian insiden ini. Bukan sahaja ia memudahkan lagi seseorang warga emas itu untuk dijangkiti, jangkitan-jangkitan ini kemudiannya berupaya untuk menerukkan lagi morbiditi sedia ada, mempercepatkan penurunan fungsi kognitif dan juga kematian. 

Beban jangkitan boleh dicegah ini dilihat semakin meningkat dalam golongan berusia akibat daripada keberkesanan vaksin dalam kalangan kanak-kanak. Di kawasan yang mempunyai liputan vaksin dalam kanak-kanak yang baik (seperti di negara – negara Eropah),  jangkitan tetanus dan difteria adalah paling tinggi dalam kalangan orang tua yang tidak divaksinkan.

Menurut Profesor Dr David E. Bloom, Pakar Ekonomi dan Demografik daripada Harvard University, pemberian vaksin perlu dimasukkan dalam strategi pencegahan penyakit kronik dan penyakit penuaan. 3 vaksin utama yang boleh mula diterapkan dalam polisi kesihatan semasa adalah vaksin influenza, pneumococcal dan juga herpes zoster.

“Dalam memantapkan penjagaan geriatrik, selari dengan misi penuaan yang sihat, kerajaan perlu mengubah pendekatan lama yang lebih kepada penjagaan dan rawatan penyembuhan (untuk warga emas), kepada langkah-langkah pencegahan yang mampan (seperti penggunaan vaksin),” kata Profesor Dr David Bloom ketika ditemui di ibu pejabat Sanofi Malaysia. 

 

Dengan penuaan populasi yang sedang melanda negara kita, anjakan polisi ini dilihat perlu dan tepat pada masanya. Persis peribahasa popular dalam bidang kesihatan awam, “An ounce of prevention is worth more than a pound of cure“. Sama-sama kita mendokong usaha ke arah penuaan yang sihat.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

WHO | Promoting health through the life-course http://www.who.int/life-course/en/ (accessed Nov 20, 2019).

Weinberger, B. Vaccines for the Elderly: Current Use and Future Challenges. Immun Ageing 2018, 15. https://doi.org/10.1186/s12979-017-0107-2.

Teresa Aguado, M.; Barratt, J.; Beard, J. R.; Blomberg, B. B.; Chen, W. H.; Hickling, J.; Hyde, T. B.; Jit, M.; Jones, R.; Poland, G. A.; et al. Report on WHO Meeting on Immunization in Older Adults: Geneva, Switzerland, 22–23 March 2017. Vaccine 2018, 36 (7), 921–931. https://doi.org/10.1016/j.vaccine.2017.12.029.

Malaysia Infant mortality rate, 1960-2018 – knoema.com https://knoema.com//atlas/Malaysia/Infant-mortality-rate (accessed Nov 20, 2019).

Philip, R. K.; Attwell, K.; Breuer, T.; Di Pasquale, A.; Lopalco, P. L. Life-Course Immunization as a Gateway to Health. Expert Review of Vaccines 2018, 17 (10), 851–864. https://doi.org/10.1080/14760584.2018.1527690.

Life Expectancy in Malaysia https://www.worldlifeexpectancy.com/malaysia-life-expectancy (accessed Nov 20, 2019).

Burden of four vaccine preventable diseases in older adults. – PubMed – NCBI https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26752065 (accessed Nov 20, 2019).

A Life-Course Approach to Vaccination Can Drive Healthy Aging | Health Affairs https://www.healthaffairs.org/do/10.1377/hblog20130522.031512/full/ (accessed Nov 20, 2019).

Versi Terbaru

24/06/2020

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Ini 7 Perubahan Yang Boleh Berlaku Pada Jantung Anda Apabila Usia Semakin Meningkat!

Penjagaan Orang Tua Di Rumah Memang "Tricky". Ni Tips Untuk Anda


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 24/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan