backup og meta

Lepas Makan Pil Cegah Hamil, Nafsu Seks Makin Berkurang? Ketahui Cara Atasinya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/07/2023

    Lepas Makan Pil Cegah Hamil, Nafsu Seks Makin Berkurang? Ketahui Cara Atasinya

    Nafsu seks rendah bukan hanya petanda kepada masalah kesihatan, tapi ia juga boleh mempengaruhi hubungan antara pasangan.

    Bagi mereka yang kerap mengalami stres, anda mungkin sedar keinginan anda untuk bersenggama kurang.

    Namun ada dalam kalangan mereka yang mula rasa kurang berminat untuk bersama pasangan selepas mengambil pil pencegah kehamilan.

    Walaupun perkara ini normal, pasti anda tertanya-tanya, mengapa ia berlaku.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

    Kaitan antara pil cegah hamil dan hormon testosteron

    nafsu seks

    Kebanyakan pil cegah hamil mengandungi hormon estrogen dan progestin. 

    Kedua-dua hormon ini berupaya untuk menurunkan hormon testosteron di dalam badan.

    Walaupun hormon testosteron sering dianggap sebagai hormon lelaki, wanita juga mempunyai hormon tersebut.

    Ia mempengaruhi nafsu seks individu. Jika pil cegah kehamilan menyebabkan paras hormon tersebut menurun, nafsu seks anda turut akan menurun.

    Pun begitu, kebanyakan pil yang dipreskripsikan kepada pesakit tidak mempengaruhi paras hormon testosteron.

    Walau bagaimanapun, jika paras hormon tersebut sememangnya rendah dari mula, penggunaan pil tersebut tetap boleh mempengaruhi nafsu seks anda.

    Anda mungkin berminat:

    Nafsu seks, bukan sekadar hormon

    pasangan

    Jika anda teragak-agak hendak mengambil pil cegah hamil hanya kerana takut akan kesannya terhadap nafsu seks, anda tidak perlu bimbang.

    Keinginan anda untuk melakukan hubungan seks tidak terhad kepada hormon semata-mata.

    Pelbagai jenis faktor boleh mempengaruhi nafsu seks anda termasuklah pasangan, tempat dan masa.

    Hubungan intim dengan pasangan memainkan peranan yang penting bagi memastikan kesihatan seksual anda berada pada tahap yang optimum.

    Anda perlu lebih memberikan perhatian kepada hubungan anda dengan pasangan dan tidak obses dengan kesan sampingan pil cegah hamil semata-mata.

    Walaupun pil tersebut berupaya untuk merendahkan paras testosteron, ia tidaklah begitu signifikan sehingga boleh menyebabkan nafsu seks anda merudum serta-merta.

    Pasti ada faktor lain yang mempengaruhi keadaan semasa justeru menyebabkan anda tidak ingin bermesra dengan pasangan seperti:

  • Toleransi di antara pasangan
  • Keterbukaan dan kejujuran pasangan
  • Kekerapan anda bertengkar dengan pasangan
  • Masalah kewangan yang mungkin menjadi punca kepada selisih faham dengan pasangan
  • Anda mengalami masalah stres, keresahan, murung dan sebagainya
  • Faktor imej fizikal yang boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk menikmati hubungan seksual bersama dengan pasangan
  • Bagaimana cara untuk tingkatkan nafsu seks?

    nafsu seks

    Oleh sebab terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh menyebabkan nafsu seks anda rendah, prioriti anda adalah untuk mengenal pasti punca perkara tersebut berlaku.

    Setiap individu mempunyai masalah yang berbeza.

    Penulis tidak nafikan, ada pesakit yang mengalami kesan sampingan pil cegah hamil sehingga ia mampu menurunkan nafsu seks pengguna.

    Jika itu merupakan punca kepada permasalahan anda, rujukan kepada doktor untuk penukaran preskripsi ubat boleh membantu meredakan simptom.

    Kalau masih tidak berubah, anda perlu melakukan perubahan pada aspek gaya hidup.

    Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah:

    1. Pemakanan. Pepatah “You are what you eat” sememangnya tepat. Apa yang anda makan akan memberikan kesan kepada proses fisiologi di dalam tubuh badan anda. Pengambilan makanan tinggi kolesterol boleh menyebabkan keinginan seks menurun. Oleh itu, ambil makanan mengikut jenis dan amaun yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
    2. Kurangkan pengambilan makanan ringan. Keropok, gula-gula dan sebagainya tinggi dengan gula dan lemak yang tidak baik untuk kesihatan. Ia boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa, kembung dan mengantuk. Apabila perkara ini berlaku di bilik tidur, ia tidak akan membantu mewujudkan suasana kondusif untuk anda bersenggama.
    3. Ambil makanan yang boleh meningkatkan hormon testosteron di dalam badan. Mineral seperti zink boleh membantu meningkatkan keinginan syahwat anda secara tidak langsung. Antara makanan yang kaya dengan zink adalah ayam, makanan laut (kerang) dan kacang almond.

    Konklusi

    Nafsu seks rendah tidak boleh dipandang ringan. Ia boleh mempengaruhi kualiti hidup individu. 

    Bukan sahaja yang mengalaminya terasa, pasangan mereka juga boleh merana.

    Kesihatan seksual boleh mempengaruhi tahap kesihatan umum. 

    Maka jika anda mempunyai masalah berkaitan nafsu seks, sila rujuk dengan doktor untuk nasihat perubatan dan pemeriksaan kesihatan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan