backup og meta

Adakah Ini Merupakan Kunci Kepada Rawatan Kanser Payudara Agresif?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/07/2020

    Adakah Ini Merupakan Kunci Kepada Rawatan Kanser Payudara Agresif?

    Baru-baru ini, kajian telah menunjukkan kanser payudara menyimpan jumlah glikogen yang banyak. Mengapa ya? Ikuti artikel ini untuk mengetahui selanjutnya.

    Tenaga tambahan untuk merebak

    kanser payudara

    “Apa yang penting, wanita tidak perlu takut atau malu untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan”, ujar isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika berucap di Hospital Kuala Lumpur bersempena dengan Kempen Kesedaran Kanser Payudara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Beliau merupakan bekas pesakit kanser apabila menerima diagnosis pada Mac yang lalu. Selepas menjalani pembedahan, kini Siti Hasmah kembali sihat seperti biasa. Keberanian beliau dalam melawan kanser payudara seharusnya menjadi contoh buat wanita-wanita lain.

    Kanser bukanlah subjek yang mudah. Walaupun kini kita mempunyai pengetahuan asas berkenaan dengan kanser, namun sifat sel kanser yang sentiasa berubah boleh mengakibatkan rawatan sedia ada kurang berkesan. Pada 19 September 2019, satu kajian telah diterbitkan di laman jurnal akses terbuka, Plos One, berkaitan dengan kajian terhadap sumber tenaga yang digunakan oleh kanser sel yang agresif untuk melawan rawatan farmakologikal dan penyebaran ke organ-organ lain.

    Ini merupakan satu persoalan yang sering menjadi tanda tanya. Bagaimana sel kanser boleh mempunyai tenaga yang cukup untuk merebak ke organ lain dalam masa yang singkat? Bagaimana mereka (kanser sel agresif) mempunyai kebolehan yang tinggi berbanding dengan sel kanser yang normal mengakibatkan rawatan sedia ada kurang berkesan? Jawapannya terletak pada satu molekul yang dinamakan glikogen.

    Glikogen mempengaruhi tahap keagresifan sel kanser

    Menurut pengkaji, Prof Dr Sofia dari Universiti of Michigan, berbanding dengan sel kanser yang normal, sel kanser agresif mempunyai jumlah glikogen yang tinggi. Glikogen dihasilkan daripada lebihan glukosa bagi tujuan penyimpanan. Molekul ini boleh ditukar semula kepada glukosa kelak jika sel kanser tersebut memerlukan tenaga yang banyak untuk menjalankan proses biologi yang tertentu. Kajian tersebut telah melibatkan penggunaan 4 jenis sel kanser:

    • Reseptor negatif (Triple-negative breast cancer cell) – agresif
    • Sel kanser radang (Inflammatory breast cancer cell) – agresif
    • Positif reseptor hormon (Hormone receptor positive breast cancer cell)
    • Sel kanser normal (Normal breast cancer cell)

    Jumlah molekul glikogen yang disimpan oleh sel kanser agresif menghampiri jumlah glikogen yang disimpan oleh organ hati. Ini bermakna, pada saat-saat genting, sel kanser tersebut boleh menggunakan sumber glukosa yang banyak melalui molekul glikogen yang tersimpan tanpa bergantung kepada sumber lain.

    Pusat kawalan penggunaan glikogen sel kanser agresif

    kanser payudara

    Glycogen phosphorylase adalah merupakan enzim utama yang mengawal pergerakan keluar (penggunaan) molekul glikogen. Gen bagi enzim tersebut (PYGB) terletak pada kromosom 20 dan ia dihasilkan di otak dan hati. Apabila kumpulan pengkaji tersebut menyahaktifkan fungsi gen PYGB, kanser sel agresif tersebut menjadi kurang agresif.

    Ini merupakan satu penemuan yang besar. Ia mempunyai potensi untuk menjadi target utama dalam merawati pesakit yang mengalami kanser payudara agresif kelak. Penemuan ini bermakna penggunaan glikogen tersebut masih bergantung kepada enzim glycogen phosphorylase dan ia tidak mempunyai kapasiti untuk beroperasi tanpanya.

    Perubahan sel kanser bergantung kepada perubahan faktor persekitaran dan keperluan semasa. Dalam kajian ini, cara kanser sel agresif tersebut menyesuaikan diri dengan persekitaran dan keperluan untuk merebak ke organ lain adalah dengan mewujudkan penstoran jumlah glikogen yang tinggi.

    Kajian lanjut perlu dibuat untuk mengetahui sama ada enzim yang mengerakkan molekul glikogen ini merupakan kunci kepada rawatan kanser payudara agresif atau tidak. Kajian tersebut boleh melibatkan penggunaan ubat yang akan menghalang fungsi enzim glycogen phosphorylases bagi melihat sama ada ia boleh merawat atau menangguhkan proses penyebaran sel kanser ke organ lain.

    Konklusi

    Kanser payudara adalah merupakan kanser utama dalam kalangan wanita. Pada tahun 2018, setinggi 25.4% populasi wanita global telah mendapat diagnosis kanser payudara. Rawatan kanser payudara bergantung kepada tahap kanser tersebut sewaktu diagnosis. Oleh itu, ujian saringan adalah merupakan satu kaedah penting dalam mengesan kes kanser baru untuk tujuan rawatan awal. Penemuan berkenaan dengan penyahaktifan enzim glycogen phosphorylase memberi harapan baru bagi merawat kanser payudara agresif.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan